Berhubung dengan ucapan semasa perbahasan Titah DiRaja oleh Perdana Menteri Kelapan yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat semalam (15 Februari 2023) yang terus meniupkan semboyan kemaraan agar PN dan seluruh komponennya bangkit untuk cekal bekerja dan berkhidmat demi rakyat.
Pada masa sama mengambil peluang atas kegagalan kerajaan campuran PH-BN yang menghampiri 100 hari pentadbiran mereka, namun tidak menunjukkan perkembangan positif untuk membantu rakyat sepertimana yang pernah diusahakan kerajaan PN.
Sehubungan itu, adalah wajar para pemimpin dan pendukung PN menyemarakkan lagi seruan Tan Sri Muhyiddin itu.
Umum mengetahui PH yang hanya mempunyai 11% sokongan masyarakat majoriti Bumiputera, tetapi berjaya menerajui kerajaan serta bergabung pula dengan UMNO-BN yang semakin dihindari dan ditolak orang Melayu telah saban hari terbukti gagal dalam menyelesaikan isu rakyat.
Apatah lagi untuk kelihatan bersungguh-sungguh melunaskan apa yang terpahat dalam manifesto PH atau setidaknya berbincang dengan komponen BN bagi menjayakan secara bersama agenda rakyat!
Namun apa yang disajikan hanyalah agenda politik ‘Machiavellian’ demi memperkukuh kuasa oleh kerajaan campuran Anwar dan Zahid ini.
Kerajaan campuran Anwar-Zahid semata-mata berstrategi mencari helah politik bagi melemahkan musuh dan usaha untuk mengaburi pemikiran rakyat, namun rakyat tidak bodoh untuk termakan segala formula jahat dan basi yang dipelopori Anwar sebegitu timbalannya Zahid.
Oleh kerana itu adalah wajar para pemimpin PN juga bangkit dalam pada merapatkan saf di samping menggembleng tenaga menyumbang kemampuan kita demi bakti kepada masyarakat. Kita perlu ambil keenam-enam pentadbiran negeri sebagai bukti bahawa PN adalah wadah sebenar pilihan rakyat! Maka gerak kerja ke arah itu perlu digagaskan secara bersama.
Armada Bersatu selaku salah satu elemen Pemuda PN bersedia menterjemah khidmat kami dalam memperkukuh jentera untuk kekal menjadi ramuan menambat jiwa anak muda, malah itulah yang tanpa henti Armada di segenap peringkat lakukan sehingga kini.
Dalam pada itu selaku Ketua Penerangan Armada Malaysia, saya turut menyeru kekuatan ditumpukan untuk menawan Selangor yang sekian lama berada di bawah pentadbiran PH, namun kini tepu tanpa sebarang penambahbaikan.
PN mempunyai pemimpin yang berpengalaman mentadbir Selangor itu sendiri, tak lain tak bukan Datuk Seri Azmin Ali yang mana beliau bukan sahaja telah menambahbaik pentadbiran Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim, malah beliaulah yang telah merevolusikan Selangor dalam menjadi negeri berkebajikan yang memanfaat rakyat di Selangor dengan pelbagai produk.
Antara produk itu ialah skim Smart Selangor termasuk Kad Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor, Tajaan Pendidikan Anak Selangor, Rumah Selangorku, Smart Sewa dan bermacam lagi.
Malah sewaktu DS Azmin Ali menjadi Menteri MITI, beliau telah merancakkan perkembangan pelaburan tanah air sehingga mencapai rekod pembangunan pelaburan tertinggi dan terpantas secara tahunan dalam sejarah negara.
Kita berharap pemimpin seperti Datuk Seri Azmin Ali terus menabur bakti untuk kejayaan masyarakat dan perkembangan PN. PN dan Bersatu amat menagih dan memerlukan khidmat dan kebijaksanaan beliau untuk segandingan bersama teraju utama lain dalam PN seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Faizal Azumu dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dengan kebersamaan dan keberangkalian biarpun akan ada lebih ramai pemimpin tersohor menyertai PN, jasa dan khidmat DS Azmin Ali tiada galang gantinya.
Bersatu kita teguh
Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
Ketua Penerangan Armada Malaysia,
Timbalan Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional Malaysia
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.