Konvensyen Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung Sabtu lalu dengan tema mengangkat suara rakyat bakal menjadi salah satu penentu keberkesanan strategi yang sedang dilaksanakan.
Di tengah-tengah jangkaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), usaha PN mengukuhkan gabungan, konvensyen kali ini merupakan usaha penting untuk memperkemaskan barisan di antara parti-parti komponen.
Dalam ucapan dasar Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau mahu PN bergerak seiring kehendak universal dengan menjamin wujudnya keadilan dan ketelusan yang dapat membina keyakinan rakyat iaitu pemimpin yang dipilih mewakili mereka mengutamakan pembangunan yang lestari dengan mengambil kira konsep pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama.
Hari ini akar umbi harus berusaha untuk menjadi suara rakyat, kita perlu menerapkan serta mengamalkan budaya berfikir secara matang bagi menekankan kepimpinan untuk memastikan setiap tindakan yang mereka lakukan tidak memberi imej dan persepsi negatif yang boleh diklasifikasikan sebagai perbuatan menggadaikan hak jati diri agama dan bangsa.
Perikatan Nasional juga komited dalam usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan awam dan swasta agar dapat merealisasikan pelaksanaan dasar-dasar pembangunan negara yang cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Umum mengetahui langkah memperkasakan peruntukan mengenai hal Islam dalam Perlembagaan dan menolak provokasi bagi maksud penyamarataan, pencerobohan tauhid dan gagasan pluralisme agama yang bercanggah dengan Perlembagaan telah diperjuangkan oleh PNsejak awal penubuhan.
Dengan cabaran ekonomi – kos hidup rakyat, pekerjaan dan kesejahteraan sepanjang pandemik Covid-19 – PN telah membuktikan bahawa ia mampu melawan kekuatan pembangkang dengan menjadi parti yang mendukung konsep ‘welfare state’ yang lebih memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Kesimpulannya, PN memahami realiti kehidupan rakyat dan keperluan jajaran politik baharu. Anjakan paradigma dari segi pendekatan politik dan cara memperkasakan agama bangsa dan negara adalah perlu.
Mahathir Hj Mohd Rais
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan