
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Mara yang baharu berkuat kuasa Jumaat lepas. (Gambar Twitter)
Walaupun tidak pernah memenangi sebarang pertandingan dalam Pilihan Raya Umum (PRU), bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki kini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu berkuat kuasa Jumaat lalu.
Pelantikan itu dibuat oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri di kementerian itu, kelmarin.
“(Asyraf Wajdi) telah dilantik, bukan desas-desus lagi. Beliau telah dilantik dan saya telah watikahkannya, pada hari Jumaat yang lalu (kelmarin),” jawabnya ringkas menurut BH.
Zahid berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Kota Tinggi, hari ini (Ahad, 12 Mac 2023).
Terdahulu, Zahid diminta mengulas berhubung foto beliau sedang menyampaikan surat pelantikan kepada Asyraf Wajdi yang tular di Twitter.
Ciapan dimuat naik seorang pengguna Twitter semalam mengundang reaksi tidak senang rakyat yang mempertikaikan pelantikan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.
Jawatan Pengerusi MARA sebelum ini disandang Datuk Azizah Mohd Dun.
Asyraf pernah bertanding di Pasir Puteh, Kelantan pada PRU-14, namun kalah dengan majoriti 1,360 kepada calon PAS, Datuk Nik Mohamad Zawawi Salleh dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon PKR diwakili oleh Datuk Kamarudin Md Nor.
Pada PRU-15, 19 November tahun lalu, Asyraf Wajdi yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO kalah lagi – kali kedua – dalam cubaannya untuk menjadi Ahli Parlimen.
Untuk berdepan PRU-15, Asyraf Wajdi berpindah kawasan ke kubu kuat UMNO/BN di Parlimen Gerik, Perak, dengan harapan memenangi hati pengundi di situ.
Bagaimanapun, tindakan UMNO/BN meletakkannya di kerusi berkenaan dengan mengetepikan anak tempatan menerima padah apabila Asyraf Wajdi tumbang ditangan calon Perikatan Nasional (PN), Fathul Huzir Ayob.
Fathul Huzir memperoleh 15,105 undi, menang majoriti 1,377 undi, sementara Asyraf Wajdi memperoleh 13,728 undi, manakala calon PH, Tarmizi Mohd Jam (5,779 undi).
Namun, lantikan Asyraf itu dilihat bertentangan dengan keputusan Jemaah Menteri kerajaan PH-BN yang menamatkan lantikan politik dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebaik menjadi Kerajaan Pusat.
Pada Disember 2022, Jemaah Menteri kerajaan PH-BN dilaporkan telah membuat keputusan untuk menamatkan lantikan politik dengan serta-merta.
Ia membabitkan jawatan pengerusi dan lembaga pengarah di badan berkanun Persekutuan, syarikat menteri kewangan (diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.
Sebelum ini, pemimpin PH ketika menjadi pembangkang mengkritik kerajaan PN yang melantik Ahli Parlimen Parit ketika itu, Datuk Mohd Nizar Zakaria, sebagai Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikritik teruk oleh PH yang dikatakan tindakan terdesak mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen UMNO dan PAS dengan menawarkan jawatan berkenaan.
Malah, bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak juga pernah menempelak pemimpin PH yang tidak habis-habis bercakap mengenai pentadbiran PN yang membuat siri lantikan politik untuk mengetuai badan kerajaan dan GLC.
Dakwa Najib, sebelum PRU-14 pada 2018, PH mengikrarkan janji bertulis untuk mengakhiri semua lantikan politik.
“PH yang janji tak akan ada lantikan politik jika menang. PH yang mungkir janji dengan membuat lantikan politik secara berbaris-baris,” kata Najib dalam hantaran Facebook pada 13 April 2020.
Sesetengah pihak pula melihat pelantikan Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA – agensi yang rapat dengan Bumiputera – adalah strategi politik Zahid dan UMNO untuk menarik semula undi Melayu menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.
Agenda Daily.