Saya ingin mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia bahawa kita masih belum menang dalam peperangan melawan Covid-19.
Kealpaan kita dalam mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, mengelakkan tempat-tempat yang sesak dan mengasingkan diri apabila bergejala, hanya akan memberi peluang untuk virus ini bermutasi dan menjadi lebih mudah dijangkiti.
Kita pernah berjaya menurunkan bilangan kes positif harian Covid-19, bilangan kes kematian akibat Covid-19 dan mengurangkan kemasukan pesakit Covid-19 ke ICU.
Dan antara penyumbang kepada kejayaan ini adalah kadar liputan vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa di dalam negara yang tinggi.
Pada waktu itu, kita sangat bimbang dengan kehadiran varian Delta dan majoriti penduduk ingin mendapatkan vaksin Covid-19.
Tetapi apabila liputan vaksinasi lengkap dalam negara mencapai lebih 90 peratus, ramai antara kita mula merasa selesa dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Keselesaan itu telah menyebabkan ramai yang tidak mahu menerima dos penggalak apabila telah layak dan seolah-olah tidak menghiraukan variant of concern (VOC) Omicron yang telah dikesan di 18 buah negara.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berulang kali menyatakan bahawa keberkesanan vaksin merosot dalam tempoh 3 hingga 6 bulan selepas menerima vaksinasi lengkap.
Kita mungkin jadi mangsa kepada kejayaan kita sendiri akibat daripada kealpaan kita. Ada yang mengatakan tidak perlu dos penggalak kerana bilangan kes telah turun, hospital tidak lagi sesak dan kematian juga telah menurun.
Saya ingin tegaskan sekali lagi, jangan ambil mudah perkara ini. Sekiranya anda telah layak untuk menerima dos penggalak dan telah diberikan janji temu, sila penuhi janji temu tersebut dan ambillah dos penggalak.
Dengan Kewujudan VOC Omicron, KKM sangat menggalakkan pengambilan dos penggalak.
Warga emas dan individu dengan komobiditi disaran untuk tidak membuat perjalanan ke luar negara dan mengelakkan dari menghadiri kawasan awam yang sesak.
Khairy Jamaluddin
Menteri Kesihatan