Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan Yang di-Pertua,
1. Putrajaya menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas titah menzahirkan keprihatinan terhadap kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta pembangunan negara.
Di dalam perbahasan pertama ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih buat sahabat-sahabat pengundi P125 Putrajaya kerana telah memberi kepercayaan kepada saya. InsyaAllah, saya komited untuk ikhtiarkan yang terbaik bagi warga Putrajaya.
Tuan Yang di-Pertua,
2. Malaysia telah melalui satu tempoh pembangunan ekonomi yang dinamik dan penuh cabaran sejak dari kita mencapai kemerdekaan. Kita bermula sebagai sebuah negara berasaskan pertanian dan seterusnya perindustrian. Sektor ini terus berkembang dan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan asing dengan pembukaan kilang-kilang.
3. Pada waktu itu, mengambilkira infrastuktur yang ada, kebolehan serta kos tenaga kerja, Malaysia adalah antara negara yang terkehadapan berbanding dengan negara membangun yang lain. Namun, apabila negara lain, khususnya di rantau ini, mula bergerak ke sektor perindustrian dan menawarkan kos tenaga kerja yang lebih rendah serta pelbagai inisiatif untuk menarik pelabur, pelaburan asing mula bergerak ke negara tersebut.
4. Data menunjukkan, sebelum bermula krisis ekonomi Asia Tenggara pada tahun 1997, Malaysia menguasai 24% FDI yang masuk ke negara Asia Tenggara. Namun, di antara tahun 2000-2020, Malaysia cuma mendapat 8% daripada keseluruhan FDI yang masuk ke rantau ini.
5. Umumnya, pengeluaran produk dan perkhidmatan yang bernilai ditambah tinggi di dalam negara, serta penggunaan teknologi tinggi dan automasi, adalah masih rendah. Kebergantungan kepada buruh asing yang lebih murah telah memberi kesan negatif kepada usaha memodenkan pengeluaran.
6. Isu-isu struktur dalam ekonomi ini menjadi antara punca kita terperangkap dalam middle-income trap, dengan izin, atau perangkap pendapatan sederhana.
7. Gaji meningkat dengan amat perlahan. Pada masa yang sama, kos sara hidup terus meningkat dari tahun ke tahun. Apabila gaji meningkat dengan perlahan dan kos sara hidup meningkat dengan lebih cepat, maka rakyat mula merasai tekanan kos sara hidup.
Tuan Yang Di-Pertua,
8. Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 (WKB2030) dilancarkan oleh Perdana Menteri ke-7 pada 5 Oktober 2019 sebagai kesinambungan kepada Wawasan 2020. Berbeza dengan Wawasan 2020, WKB memfokuskan kepada keberhasilan, mempunyai sasaran yang jelas serta menekankan kepada pemantauan pelaksanaan.
9. Pelbagai masalah struktur dan cabaran dalam ekonomi negara, termasuk yang selalu dibangkitkan oleh kerajaan hari ini, sebenarnya telah diambil kira sewaktu WKB2030 dirangka.
10. Tempoh 2021-2030 ini merangkumi dua Rancangan Malaysia, iaitu RMKe-12 dan RMKe-13. Wawasan ini telah menjadi asas pembangunan ekonomi negara dibawah Perdana Menteri ke-7, ke-8 dan ke-9. RMK ke12 juga telah diselaraskan dengan WKB2030.
11. Soalan saya, adakah Wawasan Kemakmuran Bersama ini akan terus menjadi asas kepada pembangunan negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10? Sekiranya tidak, mohon dijelaskan sebabnya.
PEMBASMIAN KEMISKINAN
Tuan Yang Di-Pertua,
12. Sewaktu YB Pagoh menjadi Perdana Menteri, kerajaan telah mula menyediakan satu pangkalan data tunggal melibatkan penerima pelbagai bantuan kerjaan. Perancangan ketika itu adalah untuk memastikan kerajaan mempunyai maklumat yang menyeluruh tentang bantuan dan subsidi yang diterima oleh setiap individu daripada pelbagai kementerian dan agensi secara “real time”, termasuk bantuan yang diterima di peringkat negeri.
Ini bagi memastikan tiada rakyat yang memerlukan bantuan dipinggirkan dan pertindihan bantuan dapat dielakkan. Apakah status pembangunan pangkalan data tunggal ini?
Tuan Yang Di-Pertua,
13. Dalam tawaran Perikatan Nasional untuk PRU-15, ada disebut tentang pewujudan sebuah agensi tunggal yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi menyelaras bantuan dan subsidi untuk rakyat. Dengan menggunakan pengkalan data tunggal yang lengkap, agensi ini akan dapat memastikan rakyat yang layak menerima bantuan tidak akan tertinggal. Agensi ini akan dimodelkan seperti Centrelink di Australia.
Jika sebelum ini pemberian bantuan adalah berdasarkan kumpulan pendapatan, B40, M40 dan T20, melalui agensi ini setiap keluarga yang memerlukan bantuan akan dinilai secara lebih menyeluruh, bukan sekadar berdasarkan pendapatan isi rumah mereka semata-mata. Ini boleh mengelakkan keadaan dimana isi rumah M40 yang amat memerlukan tercicir daripada menerima bantuan.
Adakah kerajaan bercadang untuk menubuhkan sebuah agensi sehenti yang mempunyai fungsi seperti yang dinyatakan ini?
14. Selain itu, sewaktu Unit Perancang Ekonomi di terajui oleh menteri sebelum ini, Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Tahun 2022-2025 telah diperkenalkan. Program Pembasmian Kemiskinan tegar ini akan menggunakan pendekatan kumpulan sasar berasaskan isi rumah, komuniti atau hibrid.
Selanjutnya, Program ini akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan aktiviti penjanaan pendapatan, pembangunan kapasiti dan kapabiliti serta minda yang sesuai berdasarkan potensi lokaliti serta profil peserta. Adakah program ini masih diteruskan dibawah kerajaan baharu? Jika tidak, mohon penjelasan Menteri.
TADBIR URUS NEGARA
Tuan Yang Di-Pertua,
15. Saya ingin menyentuh tentang tadbir urus negara, khususnya berkaitan pemusatan kuasa kepada seorang individu bagi pengurusan kewangan negara. Kita seharusnya mengambil iktibar daripada pelbagai skandal kewangan maha besar yang berlaku pada zaman kerajaan Barisan Nasional, khususnya di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-6.
16. Menyedari kesan buruk akibat pemusatan kuasa ini, ramai sahabat kita dalam PH ketika berada di blok pembangkang telah memperjuangkan supaya Perdana Menteri tidak turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan. Antara yang lantang menyuarakan perkara ini adalah YB Pandan, YB Segambut dan YB Kota Raja.
17. Selain itu, di bawah Janji 12 dalam Manifesto Pakatan Harapan bagi PRU14, disebut bahawa “Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan Menteri lain, terutamanya Menteri Kewangan.
18. Jelas, pemimpin Pakatan Harapan sendiri dengan sedar tidak bersetuju pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan. Tapi amat menyedihkan apabila YAB Tambun selaku Perdana Menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan, sahabat semua senyap menikus. Bukan itu saja, YAB Tambun juga memegang satu lagi portfolio, iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan yang telah ditukar kepada Jabatan Wilayah Persekutuan.
19. Untuk rekod, Perdana Menteri terakhir yang menjadi Menteri Kewangan ialah Perdana Menteri ke-6. Perdana Menteri selepas itu, Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Sri Ismail Sabri tidak memegang sebarang portfolio menteri.
Tuan Yang Di-Pertua,
20. Apabila bercakap tentang kepentingan pemisahan kuasa Perdana Menteri dengan Menteri Kewangan, kita tidak bercakap tentang manamana individu. Ini bukan soal “Ooooo….tak pe, kalau YAB Tambun pegang kedua-duanya ok je”. Ini bukan soal YAB Tambun!
21. Kita perlu faham bahawa pemusatan kuasa boleh meningkatkan risiko salah guna kuasa kerana tidak ada semak dan imbang. Satu sistem tadbir urus kewangan negara yang utuh dan kukuh hendaklah diwujudkan bagi memastikan negara tercinta ini diwariskan kepada anak cucu dalam keadaan kewangannya yang baik.
22. Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar diwujudkan satu akta yang menghalang Perdana Menteri untuk turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.
Tuan Yang Di-Pertua,
23. Kenyataan YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bahawa tidak menjadi masalah untuk melantik anak beliau sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan selagi mana tidak menerima gaji adalah satu lagi isu tadbir urus yang perlu diberi perhatian.
Kenyataan sedemikian menggambarkan seolah-olah tidak salah untuk mana-mana Menteri atau Timbalan Menteri melantik anak isteri mereka sebagai penasihat di dalam kementerian selagi mana mereka tidak menerima gaji.
Oleh itu, saya memohon agar YAB Tambun menarik semula kenyataan tersebut bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam konteks tadbir urus yang baik.
PENJAWAT AWAM
Tuan Yang Di-Pertua,
24. Penjawat awam adalah tonggak dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Saya pernah bekerjasama rapat dengan ramai penjawat awam daripada pelbagai latar belakang kepakaran dan bangsa sewaktu berkhidmat di Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Mereka sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan berusaha memberikan yang terbaik.
25. Sebab itu, saya begitu tersentak apabila membaca tulisan seorang pemimpin Pakatan Harapan, iaitu Timbalan Ketua Menteri, Pulau Pinang, P Ramasamy.
26. Hujah Ramasamy ialah: perkhidmatan awam telah lapuk atau tepu – puncanya kerana perkhidmatan awam didominasi oleh orang Melayu – penyelesaiannya ialah untuk kerajaan PH pimpinan Tambun pecahkan dominasi tersebut.
27. Hujahan beliau adalah satu penghinaan kepada perkhidmatan awam dan juga orang Melayu! Kenyataan ini melampau dan boleh menghancurkan keharmonian negara. Adakah Kementerian Dalam Negeri telah mengambil tindakan ke atas kenyataan berbaur perkauman ini?
Selain itu, adakah kerajaan merancang untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam dan mengurangkan jumlah orang Melayu dalam perkhidmatan awam sepertimana yang didesak oleh Ramasamy?
Tuan Yang Di-Pertua,
28. Anggota perkhidmatan awam telah dilatih untuk melaksanakan amanah mengikut perancangan kerajaan semasa (government of the day) tanpa mengira parti mana yang menjadi pemerintah atau siapa yang menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, kepercayaan kepimpinan kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam adalah amat penting dalam memastikan penyampaian khidmat yang terbaik kepada rakyat.
29. Sebagaimana yang ditegaskan oleh YB Pagoh semalam, tindakan kerajaan PH-BN meletakkan beberapa orang pegawai tertinggi perkidmatan awam ke dalam “pool” atau peti sejuk adalah tindakan yang amat tidak wajar.
30. Ada juga KSU Kanan yang terbukti menjalankan tugas dengan cemerlang diletakkan di kementerian yang jauh lebih kecil dengan jawatan yang tidak setara. Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada mereka.
31. Apakah salah mereka? Jika tidak ada kesalahan yang dibuktikan, mengapakah hukuman telah dijatuhkan lebih awal? Tindakan sebegini adalah satu kerugian kepada negara kerana khidmat dan kepakaran mereka tidak digunakan secara optimum. Tindakan tersebut adalah tidak adil kerana memberi gambaran negatif seolah-olahnya mereka telah membuat satu kesalahan yang besar atau prestasi perkhidmatan mereka amat teruk.
32. Dengan ini, saya minta Perdana Menteri mengemukakan jumlah pegawai kanan kerajaan yang ditempatkan di jawatan kumpulan (pool) mengikut gred dan senarai pegawai kanan JUSA B ke atas yang terlibat dalam pertukaran kementerian sejak kerajaan PH-BN mengambil-alih pemerintahan negara.
PENDIDIKAN
Tuan Yang Di-Pertua
33. Pendidikan merupakan antara tunjang untuk membangunkan negara pada masa hadapan. Semasa saya di Kementerian Pendidikan, antara tumpuan utama adalah mempergiatkan usaha ke arah pendigitalan pendidikan, sejajar dengan pelaksanaan MyDigital.
Tidak dinafikan bahawa pandemik Covid-19 secara tidak langsung telah mempercepatkan pendigitalan pendidikan melalui pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, pemeriksaan kertas SPM secara atas talian dan semakan keputusan SPM secara dalam talian.
34. KPM telahpun menyediakan draf akhir dasar pendidikan digital pada Oktober 2022 tetapi tidak sempat dibentangkan kepada Jemaah Menteri berikutan pembubaran Parlimen. Tumpuan utama dasar ini adalah untuk melahirkan generasi fasih digital dan berdaya saing. Dasar dirangka bagi memupuk bakat digital yang berpengetahuan, berkemahiran dan beretika dalam penggunaan teknologi digital.
Adakah perkara ini telah dibentangkan untuk kelulusan Jemaah Menteri? Jika tidak, bila akan dibentangkan? Bilakah dasar ini akan dilaksanakan?
35. Selain itu, bagi memenuhi keperluan pelaksanaan pendidikan digital, KPM dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri akan menyediakan rangkaian akses Internet (gentian optik) dengan lebar jalur berkelajuan tinggi, KPM.Net.
Ini bagi membolehkan akses internet yang lebih menyeluruh di dalam kawasan institusi bawah KPM seperti bilik darjah, asrama, dewan, dan bilik guru. Di samping itu, peralatan ICT serta alat PdP digital yang lengkap dan sempurna juga disediakan untuk menyokong pelaksanaan pendidikan digital.
36. Sebelum pembubaran Parlimen, memorandum Jemaah Menteri berkenaan perkara ini telah sedia untuk dibentangkan bagi mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
37. Adakah KPM akan meneruskan inisiatif KPM.Net ini? Bilakah inisiatif ini akan mula dilaksanakan? Jika tidak diteruskan, apakah perancangan KPM untuk meningkatkan akses internet di seluruh institusi Pendidikan bawah KPM.
PUTRAJAYA
Tuan Yang Di-Pertua,
38. Saya seterusnya ingin menyentuh beberapa perkara yang melibatkan kesejahteraan warga Putrajaya. Terdapat keperluan mendesak untuk kerajaan membuat penyelenggaraan ke atas kuarters kakitangan awam di Putrajaya. Jika dibiarkan terlalu lama, keadaan akan semakin teruk dan kos untuk membaik pulih akan lebih tinggi.
Saya cadangkan supaya kerajaan sediakan peruntukan khas penyelenggaraan kuarters Kerajaan Persekutuan di seluruh negara sekurang-kurangnya sebanyak RM2.5 bilion setahun untuk tempoh 2023 hingga 2025 sepertimana dalam tawaran Perikatan Nasional bagi PRU15.
39. Bagi terus memelihara kebajikan penjawat awam di Putrajaya, saya minta supaya kerajaan menambah bilangan taska dan tadika di pejabat kerajaan dan premis kuarters kerajaan. Minta Perdana Menteri kemukakan senarai taska dan tadika di pejabat kerajaan dan premis kuarters kerajaan sedia ada di Putrajaya serta jumlah enrolmen. Berapa lagi akan dibina/disediakan pada tahun 2023 dan 2024.
40. Berkaitan dengan parkir bagi penjawat awam di Putrajaya, saya mencadangkan kerajaan melalui Perbadanan Putrajaya (PPj) agar menyediakan pas khas kepada penjawat awam yang menggunakan parkir berbayar milik PPj.
Pas khas tersebut boleh menawarkan fleksibiliti penggunaan tanpa had keluar masuk setiap hari pada waktu bekerja di semua parkir milik PPj. Adakah PPj mempunyai perancangan untuk mempertimbangkan cadangan ini?.
Tuan Yang Di-Pertua,
41. Sebagai sebuah bandar terancang, saya mencadangkan agar Putrajaya dijadikan sebagai model bandar mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dengan menyediakan kemudahan bersesuaian, termasuk kemudahan riadah dan sukan yang sesuai untuk mereka.
42. Dalam konteks Pendidikan kepada anak-anak Putrajaya, saya minta supaya KPM dapat segara mengatasi masalah kepadatan murid di sekolah. Sepertima mana janji kerajaan lama terdahulu, di mana sekolah di Putrajaya perlu kekal sebagai persekolahan satu sesi.
Khusus bagi murid bekerperluan pendidikan khas (MBPK) pula, KPM hendaklah menambah bilangan kelas bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) supaya anak-anak bekeperluan khas ini dapat terus belajar dalam keadaan selamat dan selesa.
PENUTUP
43. Setakat ini sahaja perbahasan saya bagi Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sempena Pembukaan Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas.
Sekian, terima kasih
Datuk Dr Radzi Jidin
Ahli Parlimen Putrajaya
Naib Presiden Bersatu.