1. Mengapa banyak muncul penyakit kronik pada musim raya? Seringkali dikaitkan dengan pengambilan hidangan berkaitan apa?
Sering kali apabila musim perayaan tiba, sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Tahun Baru Cina dan sebagainya, pastinya ada penyakit biasa yang menyerang, terutamanya di kalangan individu yang tidak menitikberatkan aspek kesihatan.
Ini kerana sesetengah daripada kita menganggap musim perayaan adalah masa untuk mengambil peluang merasai pelbagai jenis makanan enak yang disediakan terutama ketika menghadiri majlis rumah terbuka atau menziarahi keluarga dan rakan rakan. Pada musim pandemik ini pula, mungkin ada yang membeli pelbagai makanan yang mungkin tidak begitu berkhasiat melalui servis penghantaran makanan.
Sebenarnya aspek kesihatan mesti dititikberatkan tanpa mengira masa dan bukan diambil sambil lewa pada bulan-bulan tertentu kerana ini boleh memberi kesan buruk kepada diri sendiri.
Adakalanya, bukannya penyakit kronik yang tiba-tiba muncul pada musim raya, tetapi pesakit yang sudah menghidap penyakit kronik mungkin mengalami kemerosotan dari segi penjagaan dan kawalan penyakit, dan ini menyebabkan pesakit mengalami gejala-gejala tertentu dan juga kesan-kesan akut yang boleh memudaratkan dan membahayakan kesihatan.
Pengambilan hidangan yang tidak seimbang, makan secara berlebihan dan pilihan makanan yang tidak sesuai atau tidak sihat, sebagai contoh makanan yang mengandungi kandungan garam yang tinggi, kandungan gula yang tinggi, dan lemak yang berlebihan sememangnya meninggikan risiko untuk memudaratkan kesihatan.
Ada juga pesakit yang pertama kali dikesan untuk menghidap penyakit tertentu pada musim perayaan disebabkan kawalan dari segi paras gula atau tekanan darah melampaui batasan dan menjadikan pesakit tersebut mengalami gejala yang serius julung kalinya pada musim perayaan.
2. Apakah jenis penyakit yang selalu didapati pada musim perayaan?
Salah satu penyakit yang sering didapati pada musim perayaan ialah keracunan makanan. Faktor-faktor yang menyebabkan keracunan makanan ialah makanan tidak dimasak dengan sempurna (contohnya bila kuantiti besar makanan dimasak pada satu masa), makanan ditinggalkan pada suhu bilik dalam tempoh yang lama, makanan tidak disimpan dengan baik dan kaedah penyediaan makanan yang tidak bersih.
Jika tidak diuruskan atau dirawat dengan betul, keracunan makanan boleh menjadi sesuatu yang serius.
Selain itu, pesakit yang menghidap penyakit kronik mungkin mengalami kemerosotan dalam pengawalan penyakit dan memerlukan rawatan untuk mengawal misalnya paras gula untuk pesakit kencing manis dan paras tekanan darah untuk pesakit hipertensi atau darah tinggi.
Ini mengelakkan daripada krisis atau kecemasan seperti strok, serangan jantung atau paras gula tinggi sehingga membahayakan nyawa.
3. Bolehkah pesakit mengabaikan penjagaan diri semasa beraya dan ‘pantang’ semula selepas itu?
Saya ada ramai pesakit yang sangat berdisiplin pada bulan puasa. Ada yang berjaya kurangkan berat badan dan mengawal paras gula dengan cantik semasa bulan Ramadan. Setelah sebulan mengawal diri dan menahan lapar pada bulan Ramadan, sememangnya Hari Raya Aidilfitri adalah hari yang ditunggu-tunggukan untuk menikmati pelbagai makanan enak dan lazat.
Namun perlu diingatkan, dalam keinginan atau keghairahan kita menikmati juadah raya, kuantiti pengambilan makanan perlu dijaga.
Walaupun seseorang sudah ada penyakit, mereka harus diingatkan bahawa penjagaan penyakit secara konsisten dan menyeluruh akan membantu mengelakkan daripada pesakit mendapat komplikasi daripada penyakit. Misalnya untuk pesakit kencing manis, jika kawalan gula tidak baik, pesakit berpotensi untuk mendapat komplikasi seperti kerosakan buah pinggang, retinopati diabetes (iaitu masalah mata yang berkaitan dengan diabetes) dan masalah dengan saraf.
Jika penyakit darah tinggi dan kencing manis tidak dikawal elok, kemungkinan berlakunya komplikasi seperti masalah jantung, strok dan sebagainya.
4. Apakah penyakit tiga serangkai yang selalu menjadi masalah di kalangan masyarakat.
Penyakit yang sering diberi nama tiga serangkai ini merupakan penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung koronari.
Penyakit-penyakit ini dikaitkan dengan faktor gaya hidup yang tidak sihat. Jika ketiga-tiga penyakit ini tidak dirawat lebih awal atau tidak dikawal, akan mengakibatkan serangan jantung atau kegagalan jantung. Penyakit ini menjadi punca kematian paling tinggi di Malaysia tidak kira sama ada lelaki atau perempuan.
Penyakit -penyakit ini memang menjadi sesuatu yang penting pada sepanjang masa. Sebagai contoh, dianggarkan bahawa seramai 18 peratus orang dewasa di Malaysia menghidap penyakit kencing manis, dan separuh daripada pesakit ini tidak mengetahui bahawa mereka ada penyakit tersebut.
Separuh daripada masyarakat Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan dan 30 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit darah tinggi.
5. Mengapa makanan yang diambil secara berlebihan akan menjejaskan kesihatan?
Sekiranya kita makan secara berlebihan pada musim raya, ini boleh mengakibatkan berat badan meningkat dan ini akan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
Kenaikan berat badan secara mendadak akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.
6. Ada situasi di mana badan sebelum ini sihat, namun selepas raya didapati mendapat penyakit yang tidak dijangka.
Kemungkinan sebelum ini pesakit ini sudah mempunyai kecenderungan untuk menghidap penyakit tertentu, dan mungkin mempunyai factor risiko yang tinggi misalnya berat badan berlebihan atau sejarah ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan.
Apabila faktor risiko ini bergabung dengan gaya hidup yang tidak sihat, penyakit pun boleh mula menjadi lebih nyata dan dikesan.
7. Bagaimana cara untuk mengawal selera makan agar tidak berlebihan pada waktu raya?
Perkara yang perlu diberi perhatian dari segi pemakanan tidak kira semasa menghadiri rumah terbuka atau pada hari-hari biasa adalah keseimbangan, dan kesederhanaan. Setiap sajian yang diambil haruslah memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana terutama bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik bagi mengelakkan timbulnya masalah.
8. Apakah pilihan makanan atau alternatif lain untuk mengurangkan peratusan mendapat penyakit raya?
Kurangkan pengambilan atau kuantiti makanan yang manis, berlemak dan masin contohnya seperti air berkarbonat atau kordial, kuih muih manis dan lauk pauk yang mengandungi kandungan tinggi santan dan minyak.
Pilihlah makanan seperti sayur-sayuran hijau, makanan berserat tinggi, buah-buahan dan makanan yang mempunyai indeks glisemik rendah seperti bijirin dan roti bergandum penuh berbanding dengan roti putih.
9. Bagaimana untuk menambahkan motivasi diri untuk mengurus kesihatan agar penyakit tidak bertambah teruk?
Sememangnya semasa musim Raya, bolehlah makan, tetapi mesti ada hadnya dan para pesakit perlu berdisiplin untuk menjaga kesihatan.
Selalu ingat, walaupun penyakit kronik mungkin tidak menyebabkan seseorang berasa kesakitan sekarang, jika tidak dikawal elok, lama-kelamaan pesakit akan mengalami komplikasi yang mungkin menyebabkan kecacatan atau meragut nyawa.
10. Kongsikan tip untuk mengawal kesihatan pada musim raya.
Pesakit yang menghidap penyakit kronik harus mengambil ubat mengikut waktu tidak kira di mana mereka berada. Elakkan daripada mengabaikan pengambilan ubat. Saya pernah ada pesakit yang terpaksa masuk wad dalam minggu Raya disebabkan oleh tekanan darah terlalu tinggi atau paras gula terlalu tinggi sehingga tahap merbahaya. Apabila saya bertanya kepada mereka, sebenarnya mereka sama ada tak membawa ubat balik ke kampung atau langsung lupa mengambil ubat semasa sibuk dengan persiapan untuk beraya.
Bagi pesakit kencing manis, mereka perlu mempunyai waktu makan yang teratur dan tidak harus mengambil makanan berkanji dalam jumlah yang banyak pada satu masa. Lebih sesuai untuk mengambil hidangan yang kecil secara berkala daripada kuantiti besar pada satu satu masa.
Pengambilan air dan makanan manis perlu dihadkan dan tidak boleh diambil berulang kali. Contohnya, lemang, ketupat, biskut atau kuih manis dan air berperisa perlu dikurangkan.
Bagi pesakit darah tinggi pula, mereka perlu mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam dan lemak. Elakkan daripada mengambil kuah secara berlebihan dan kurangkan penggunaan perasa tambahan dalam masakan seperti kicap dan sos. Makanan yang berminyak dan berlemak juga perlu dikurangkan seperti makanan bergoreng, santan, dan penggunaan mentega dalam kuih.
Senaman yang sesuai harus dilakukan secara konsisten untuk menjaga kesihatan, terutama pada musim perayaan.
Sebagai kesimpulan, jagalah kesihatan diri baik-baik. Kami sendiri yang bertanggungjawab untuk memelihara kesihatan diri, lebih-lebih lagi pada masa yang kritikal dan mencabar pada zaman pandemik ini.
Dr Chooi Kheng Chiew
Pakar Endokrinologi, Diabetes dan Perubatan Dalaman