Tular video sebahagian petikan ucapan saya dengan barisan kepimpinan dan jentera Pemuda UMNO Terengganu yang memberi gambaran seolah olah hubungan UMNO dan PAS makin terlerai menjelang PRU-15 akan datang.
Harus difahami konteks dan latar keseluruhan ucapan saya dalam program tertutup tersebut tatkala menerangkan akan keperluan jentera Pemuda UMNO untuk bersiap-siaga berhadapan dengan PRU-15 “KALAU DITAKDIRKAN UMNO TERPAKSA MASUK KE GELANGGANG SEBAGAI BARISAN NASIONAL MELAWAN PAS”*
Sebagai Ketua Jentera Pemuda BN dan UMNO, sudah tentu saya perlu mempersiapkan minda pemuda akan beberapa kemungkinan senario yang boleh berlaku menjelang PRU, berasaskan fakta-fakta semasa seperti berikut:
1. Keputusan terkini Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang telah memutuskan hubungan dengan PPBM dalam PRU-15 akan datang;
2. Jika keputusan tidak bersama PPBM ini kekal, persoalan pokok adalah bagaimana pula pendirian PAS yang kini menjadi salah satu komponen dalam Parti Perikatan Nasional?
3. Apakah PAS masih mahu mengekalkan kesepakatan dengan BN melalui MN atau terus bersama PN menghadapi PRU-15?
Apa jua senario di atas, sudah tentu Jentera Pemuda BN perlu bersiap-siaga untuk hadapi apa jua kemungkinan termasuk bersendirian sebagai BARISAN NASIONAL.
Walau bagaimanapun, Pemuda UMNO tetap menaruh harapan tinggi agar hubungan baik dan permuafakatan antara UMNO dan PAS yang dibina melalui akar umbi, sehingga termeterainya PIAGAM MUAFAKAT NASIONAL pada 14 September 2019 atas linangan air mata, akan terus diperkukuh dan dipertahankan!
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
21 Mac 2021