Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari semua sihat wal afiat.
1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan rahmat-Nya kita dapat bersama-sama pada petang ini untuk mengikuti Majlis Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka sempena Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan diadakan pada 20 November nanti
2. Suasana pilihanraya negeri pada kali ini cukup berbeza berbanding sebelumnya, termasuklah pendekatan yang digunakan oleh calon dan parti yang bertanding. Ini adalah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
3. Namun begitu, di sebalik kekangan ini, ledakan semangat juang dan kesungguhan calon-calon Perikatan Nasional terus membara, tidak luntur walau apa pun badai yang mendatang. Iltizam mereka untuk menawarkan bakti dan budi serta menyemai kasih kepada seluruh rakyat negeri Melaka adalah satu komitmen penting yang Perikatan Nasional pertaruhkan. Kita menawarkan kepada rakyat negeri Melaka pemimpin-pemimpin berwibawa sebagai peneraju motto kita: Melaka Bangkit Gemilang. Saya amat yakin, gabungan kepimpinan calon Perikatan Nasional yang bertanding kali ini mampu membawa aspirasi rakyat negeri Melaka yang tentunya ingin melihat Melaka bangkit sebagai sebuah negeri yang gemilang.
PRIHATIN MELAKA, MELAKA BANGKIT GEMILANG
4. Perikatan Nasional berikrar akan membawa perubahan besar kepada pendekatan pentadbiran negeri Melaka. Pentadbiran kita akan bertunjangkan nilai integriti dan ketelusan. Ini bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat senantiasa menjadi nadi dan keutamaan pentadbiran negeri.
5. Perikatan Nasional telah merangka satu tawaran yang inklusif dan menyeluruh kepada seluruh rakyat negeri Melaka. Ini bagi memastikan tiada golongan yang dipinggirkan daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi.
6. Justeru, Perikatan Nasional telah menyediakan Ikrar berteraskan 6 tunjang utama, berpacukan 11 strategi dan berlandaskan 74 pendekatan. Ikrar yang ditawarkan ini bukan omongan kosong, mahupun janji bulan dan bintang. Ikrar ini adalah satu komitmen bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk nanti adalah berteraskan suara rakyat yang mahu melihat Melaka Bangkit Gemilang sebagai sebuah negeri yang maju, prihatin rakyat dan dipimpin oleh sebuah pasukan kepimpinan yang berintegriti. Tumpuan Kerajaan baharu Perikatan Nasional yang akan dibentuk kelak akan berpaksikan kepada Keutuhan Ekonomi, Keprihatinan Kepada Rakyat, Kerancakan Sektor Pelancongan, Kelestarian Alam Sekitar, Kecekapan Infrastruktur serta Keteguhan Dan Kejujuran Pentadbiran.
Saudara dan saudari yang saya kasihi, khususnya yang berada di negeri Melaka,
Tunjang 1: Keutuhan Ekonomi
7. Dalam aspek ekonomi, Melaka mempunyai potensi yang cukup besar untuk dimaju dan dipacu ke tahap yang jauh lebih tinggi. Ini termasuklah dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan agro makanan serta pelancongan. Oleh yang demikian, Perikatan Nasional akan memastikan ekonomi negeri Melaka dibangunkan supaya lebih utuh dan mampan. Ini termasuklah tumpuan kepada industri strategik dan berimpak tinggi serta fokus kepada pendigitalan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Melalui pendekatan ini, lebih banyak peluang perniagaan dapat dijana dan tentunya para peniaga di Melaka dapat memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, bahkan boleh meningkat berlipat kali ganda. Pulangan kepada negeri pula akan diterjemahkan melalui pembangunan pesat yang dapat dinikmati oleh setiap lapisan rakyat di negeri Melaka.
8. Dengan limpahan ekonomi, lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi dapat ditawarkan untuk rakyat di negeri Melaka. Ini termasuklah graduan TVET, Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara yang masih ingin aktif berkhidmat. Bagi kumpulan berpendapatan rendah pula, pelbagai aktiviti ekonomi tambahan dalam sektor pertanian, perikanan dan perkhidmatan akan disediakan untuk mereka menambah pendapatan masing-masing.
Tunjang 2: Keprihatinan Kepada Rakyat
9. Keprihatinan rakyat adalah prinsip utama Ikrar Perikatan Nasional. Dalam konteks ini, Perikatan Nasional akan memastikan aspek kesihatan mental dan jasmani, perumahan, kemudahan rekreasi serta pendidikan untuk setiap lapisan masyakarat diberikan perhatian sepenuhnya. Bagi membina bakat masa hadapan yang hebat dalam kalangan anak watan Melaka, pendidikan merupakan asas penting yang wajib diperteguhkan. Antara pendekatan Perikatan Nasional adalah dengan meningkatkan prestasi pendidikan rendah dan menengah serta meletakkan Melaka dalam ranking 3 negeri terbaik dalam pencapaian keputusan peperiksaan awam di Malaysia. Selain itu, Hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diwujudkan di negeri Melaka melalui kerjasama dengan kementerian, agensi berkaitan dan pihak swasta tempatan dan antarabangsa.
10. Kerajaan Perikatan Nasional juga akan memberikan perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz. Bagi memastikan persekitaran yang kondusif, bantuan penyelenggaraan akan diberikan kepada semua sekolah tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
11. Selain itu, bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada Guru Tahfiz, Guru KAFA dan juga Guru Tadika di bawah seliaan JAIM. Ini adalah bagi menghargai jasa dan bakti guru-guru untuk mendidik anak-anak dalam apa jua keadaan.
12. Keprihatinan Perikatan Nasional kepada rakyat adalah merangkumi semua golongan masyarakat, termasuklah belia dan wanita. Ini turut melibatkan golongan suri rumah, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU). Pelbagai program bantuan, latihan kemahiran dan khidmat nasihat akan disediakan, khususnya dalam memperkasa dan mengoptimumkan penglibatan kumpulan sasar ini dalam aktiviti ekonomi dan sosial. Perhatian turut diberikan kepada koperasi usahawan wanita yang bergiat aktif dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Selain itu, Dewan Undangan Negeri Belia Melaka akan diwujudkan bagi membina dan menggilap generasi pemimpin masa depan dari kalangan anak muda jati Melaka.
13. Perikatan Nasional memahami bahawa pandemik COVID-19 memberi kesan yang cukup mendalam kepada rakyat dan kesannya masih terasa sehingga kini. Bagi meringankan impak pasca COVID-19, bayaran lesen perniagaan dan bayaran sewa tapak kepada penjaja dan peniaga kecil akan dikurangkan. Ini bagi meringankan beban kewangan dan memberi ruang kepada mereka untuk kembali berniaga.
14. Perikatan Nasional menyedari dalam tempoh yang sukar ini, perbelanjaan untuk menyambut kelahiran anak juga memberi kesan kepada sebahagian rakyat. Oleh yang demikian, bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada semua anak yang dilahirkan di negeri Melaka pada tahun 2021.
Saudara saudari yang saya kasihi,
Tunjang 3: Kerancakkan Sektor Pelancongan
15. Melaka sememangnya terkenal dengan tempat-tempat bersejarah yang menarik dan menjadi tumpuan pelancong. Namun, sektor pelancongan, khususnya di Melaka terjejas teruk apabila berlakunya pandemik COVID-19. Setelah hampir dua tahun sektor pelancongan suram akibat pandemik COVID-19, maka Perikatan Nasional akan mengambil pendekatan untuk merancakkan semula industri pelancongan di Melaka. Dengan kedudukan yang sangat strategik, sektor pelancongan negeri Melaka mempunyai potensi yang cukup besar untuk dibangun dan diperluaskan secara optimum. Oleh itu, Perikatan Nasional ingin menawarkan program yang inovatif dan berimpak tinggi.
16. Bagi melancarkan lalu lintas, terutamanya pada waktu puncak atau musim percutian, Kerajaan Perikatan Nasional Negeri Melaka yang akan dibentuk nanti akan menyediakan lebih banyak kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat di kawasan pelancongan dan diselaraskan dengan sistem “park and ride”.
17. Perikatan Nasional juga akan menggiatkan usaha pemulihan industri pelancongan, termasuk pelancongan kesihatan antarabangsa bagi menjadikan Melaka destinasi pilihan pelancongan kesihatan. Selain itu, pendekatan menjadikan Melaka sebagai tempat persinggahan pelancong kapal persiaran yang menyusuri Selat Melaka dan pusat penganjuran Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) akan dipergiat dengan menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan dan aktiviti sampingan.
18. Melaka juga akan dipromosikan sebagai destinasi aktiviti rekreasi, termasuk sukan air dan sukan lasak, yang menjadi tarikan masa kini. Bagi menyokong inisiatif ini, program Bandaraya Melaka Bebas Kenderaan akan diperkenalkan di lokasi dan waktu tertentu di hujung minggu bagi pelancong dalam dan luar negara.
19. Perhatian akan diberikan kepada pemulihan, pemuliharaan serta penjagaan lokasi tarikan pelancong, pesisiran pantai dan bangunan warisan. Perikatan Nasional mahukan limpahan ekonomi sektor pelancongan bukan hanya kepada pengusaha atau syarikat besar, tetapi turut memberi impak kepada seluruh rakyat Melaka melalui peluang pekerjaan dan perniagaan, khususnya kepada penjaja dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana berkaitan pelancongan.
Tunjang 4: Kelestarian Alam Sekitar
20. Kelestarian alam sekitar juga merupakan paksi dan tunjang utama Perikatan Nasional. Bagi mendepani cabaran perubahan iklim, fokus akan diberikan kepada peningkatan penggunaan teknologi hijau, penggunaan tanah secara optimum serta pengurusan sisa pepejal. Usaha memulih dan memulihara ekosistem kawasan sungai, pesisir pantai dan marin juga akan dipergiat bagi melestari kawasan dan memperkaya sumber laut. Dengan ini, rakyat di negeri Melaka akan dapat hidup dalam persekitaran yang bersih dan sihat. Kelestarian alam sekitar juga penting untuk terus menjadikan Melaka sebagai pusat tarikan pelancong dari luar dan dalam negara.
Tunjang 5: Kecekapan Infrastruktur
21. Rintihan rakyat Melaka mengenai masalah banjir, bekalan air bersih, kesesakan trafik dan akses internet adalah antara perkara yang telah berlarutan sekian lama dan terpaksa diharungi oleh mereka tanpa penyelesaian yang kunjung tiba. Menyelami keperitan yang perlu dilalui oleh rakyat di negeri Melaka, Perikatan Nasional berikrar akan memperkukuh penyediaan infrastruktur yang cekap, termasuk pembinaan dan naik taraf jalan serta naik taraf sistem saliran dan tebatan banjir. Pelan induk penyuraian trafik juga akan disediakan bagi melancarkan lalu lintas, terutama di kawasan tumpuan pelancong. Sejajar dengan keperluan akses Internet sepanjang masa, perluasan liputan Internet 5G akan dipercepatkan dan kemudahan hotspot wifi secara percuma disediakan di tempat terpilih seperti pusat pelancongan, perniagaan dan pendidikan. Kemudahan ini akan memberi manfaat kepada setiap pelusuk negeri Melaka.
Tunjang 6: Keteguhan Dan Kejujuran Pentadbiran
22. Keteguhan dan kejujuran dalam pentadbiran Kerajaan negeri Melaka adalah tunjang penting untuk menjayakan setiap strategi dan pendekatan yang dirancang. Agenda untuk memperkasa perkhidmatan awam negeri dipergiat melalui pendigitalan dan penglibatan secara terus dengan rakyat. Pemerkasaan ini juga turut melibatkan tadbir urus yang cekap dan berintegriti bagi agensi serta syarikat milik kerajaan negeri.
23. Ini adalah aspek penting kewujudan sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang berpaksikan kecekapan, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang menjadi asas sebuah pentadbiran kerajaan yang baik atau good governance. Saya percaya rakyat negeri Melaka telah berasa amat terkilan dengan laporan-laporan media mengenai pelbaga dakwaan salah laku yang melibatkan penyelewengan khazanah kekayaan negeri Melaka oleh pihak-pihak yang rakus dan tidak bertanggungjawab.
24. Pilihanraya Negeri Melaka ini adalah peluang untuk rakyat di negeri Melaka memperbetulkan keadaan ini. Rakyat di negeri Melaka mesti mengambil langkah yang berani untuk melakukan perubahan. Tiada gunanya kita menyerahkan kepimpinan kerajaan Negeri kepada mereka yang kita sendiri tahu akan meneruskan tabiat kepimpinan yang rakus kuasa dan tamak haloba untuk kelompok kelompok tertentu dan diri sendiri. Kekayaan negeri Melaka mesti diurus dengan jujur, amanah dan berintegriti agar hasil kemakmurannya dapat dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Kepimpinan yang berintegriti dan prihatin rakyat inilah yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional kepada seluruh rakyat di negeri Melaka. Inilah ikrar dan komitmen Perikatan Nasional.
PENUTUP
Saudara-saudari rakyat Melaka,
25. Bagi memastikan tawaran Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka ini dipenuhi, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan akan ditubuhkan dan dianggotai anak jati Melaka daripada golongan profesional dan berpengalaman. Ini adalah manifestasi kesungguhan Perikatan Nasional untuk memastikan ikrar yang dibuat untuk rakyat di negeri Melaka ini akan direalisasikan menerusi satu daya usaha yang gigih dan telus.
Saudara dan saudari rakyat negeri Melaka sekalian,
26. Sejarah menceritakan tentang kegemilangan Melaka lama dahulu. Saya yakin semangat dan kekuatan ini sebenarnya masih ada dalam diri warga negeri Melaka. Sayangnya semangat dan kekuatan ini tidak diterjemah dan dimanafaatkan sepenuhnya oleh pimpinan kerajaan negeri sebelum ini. Saya percaya perang politik yang berterusan dalam kalangan mereka sendiri menyebabkan hasrat untuk memaju dan mengembalikan kegemilangan Melaka terbantut.
27. Cukuplah pengalaman pahit yang saudara dan saudari serta kita semua lalui sebelum ini. Untuk kali ini, saya menyeru agar seluruh rakyat Melaka bersatu hati dan memberi mandat kepada Perikatan Nasional untuk bersama-sama melakarkan satu sejarah baharu – Melaka Kembali Bangkit Gemilang.
28. Marilah kita bersama-sama menadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. moga-moga hasrat murni kita ini akan dikabulkan oleh Allah jua.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحيمِ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. حَمْدًا يُوَافِيْ نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيْدَهُ.
يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِيْ لِجَلاَلِ وَجْهِكَ الْكَرِيْمِ وَعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Engkau tiupkanlah semangat penyatuan dan perpaduan dalam kalangan kami
Engkau perteguhkanlah jiwa dan raga kami
Untuk bersama-sama berjuang membela nasib bangsa dan tanah air kami
Dengan penuh kejujuran, ketelusan dan kebersihan hati
Demi mengembalikan kegemilangan sebuah negeri
Yang padanya bermula sejarah peradaban tanah air yang kami cintai
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Engkau pertautkanlah hati-hati kami dalam semangat persaudaran-Mu
Engkauh tetapkan hati-hati kami agar terus berada di jalan yang diredhai oleh-Mu
Engkau kurniakanlah kejayaan dan kemenangan kepada kami, Ya Allah
Agar dapat kami bina sebuah tanah air yang maju, makmur dan sentosa
Tanah air yang gemilang dan dilimpahi rahmat keampunan-Mu, Ya Allah
Baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ
سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ وَسَلامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
28. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan IKRAR PERIKATAN NASIONAL UNTUK MELAKA.
29. Prihatin Rakyat, Melaka Bangkit Gemilang!
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengerusi Perikatan Nasional