Ketika menyelak sehelai demi sehelai akaun Facebook individu berpengaruh yang diikuti sejak lama dulu, Tok Akhi terpegun apabila membaca kiriman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, lewat malam tadi.
Tulisan Najib malam tadi berkisar kepada jangkitan Covid-19 di kalangan murid sekolah di seluruh negara yang sekarang ini agak membimbangkan.
Membandingkan sekolah-sekolah di luar sana dengan Malaysia, beliau mendakwa ia lewat dibuka apabila ‘lockdown’ dilaksanakan. Dan, Najib juga menggesa kerajaan menilai semula risiko Covid-19 bagi sektor pendidikan.
Kita berterima kasih dan menghargai pandangan beliau yang prihatin kepada murid sekolah dan sektor pendidikan. Pastinya, Kementerian Pendidikan juga mengutamakan keselamatan anak cucu kita yang belajar di sekolah selepas dibuka beberapa minggu lalu.
Namun, apa yang menyedihkan ialah tanggapan beliau terhadap dua menteri Kabinet yang disifatkannya sebagai tidak berguna.
“Sila abaikan kenyataan dua orang menteri PN (Perikatan Nasional) tak guna itu yang kata sekolah akan diteruskan serta suruh ibu bapa jangan risau sebab KPM ada cara tangani Kluster Pendidikan,” kata Najib dalam tulisannya.
Sekilas ikan di air kita sudah tahu jantan betina. Demikian, siapa yang beliau maksudkan itu kita fahami 50/50.
Walaupun, tidak disebutkan nama dua menteri yang dikatakan ‘tak guna’ itu, ia menjurus kepada Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin daripada parti yang menurunkan Najib daripada kerusi empuk di Perdana Putra – Bersatu.
Dan, seorang lagi yang Tok Akhi rasa dimaksudkannya ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba daripada UMNO yang dilihat lebih cenderung kepada Bersatu, atau mungkin juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin daripada Bersatu.
Tulis Najib lagi:
“Sebab itu, saya mohon kerajaan menilai semula risiko Covid bagi sektor pendidikan. Jika tidak dibuat, mungkin ianya mampu membawa malapetaka yang amat besar. Adakah tiada siapa dalam kerajaan yang sedar dengan kemungkinan ini?”.
Ya! Kita semua khusus ibu bapa sedar mengenai pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lalu. Dan, kita juga melihat kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengekang wabak itu, selain membantu rakyat meneruskan kehidupan.
Kita sedar ramai yang terjejas akibat Covid-19. Bukan negara kita sahaja yang berdepan keadaan tidak menentu terutama dari segi ekonomi akibat pandemik itu.
Rakyat juga sudah sedar mengenai usaha keras kerajaan untuk membantu mereka. Namun, disebabkan segelintir pihak yang tidak puas hati, contohnya seperti Najib – yang mungkin ada udang di sebalik batu – berterusan merosakkan fikiran rakyat, maka kerajaan dianggap gagal.
Apabila Najib menanam dalam fikiran rakyat bahawa dua menteri PN itu tidak berguna maka rakyat pun akan menyalahkan kerajaan. Inilah strategi yang dilakukan. Memindahkan fokus rakyat daripada kesalahan yang dilakukannya, kepada isu lain.
Tapi, Tok Akhi percaya, malah terbukti menerusi kaji selidik dijalankan Merdeka Center, di mana populariti kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, terutama di kalangan bangsa Melayu dan belia, terus meningkat.
Ini menandakan rakyat memahami dan yakin dengan pentadbiran kerajaan PN yang dianggotai Bersatu, PAS, UMNO, MCA dan MIC, untuk terus memerangi pandemik Covid-19, memulihkan semula ekonomi negara dan menjana pendapatan terbaik untuk rakyat.
Jangan kata Tok Akhi mengampu kerajaan PN kerana Tok Akhi juga pernah menulis menyokong dan membenarkan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu. Tok Akhi menggunakan akal fikiran melihat masa depan negara supaya menjadi lebih baik, bukan bersikap ‘panas baran’ seperti Najib.
Tok Akhi
Shah Alam.