1. Baru-baru ini, terdapat beberapa tohmahan dan andaian yang timbul dari pelbagai pihak mengenai ketelusan dan keikhlasan Kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam penggunaan segala dasar bagi mencapai matlamat ini.
2. Satu perkara yang perlu ditekankan adalah mengenai pengisytiharan darurat bagi mengekang wabak COVID-19, untuk memastikan agar ekonomi Malaysia mampu pulih segera. Sehubungan itu, Kerajaan ingin menjelaskan bahawa keutamaan tunggal sepanjang tempoh darurat adalah penggunaan segala dasar dan perundangan sedia ada bagi melindungi nyawa dan mata pencarian rakyat. Mengambil kira keperluan peruntukan tambahan dalam keadaan yang sering berubah dan ketidaktentuan krisis COVID-19, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memerlukan fleksibiliti untuk meluluskan perbelanjaan tambahan bagi mengatasi krisis kesihatan, dan memenuhi keperluan mendesak yang berbangkit bagi menangani kesan langsung pandemik ini terhadap kedudukan ekonomi masing-masing.
3.Sehubungan itu, pewartaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 telah mengambil kira beberapa perkara seperti berikut:
a. Dalam tempoh penguatkuasaan darurat, seksyen mengenai peruntukan kewangan semasa membolehkan perbelanjaan tambahan dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan (Menteri Kewangan) atau Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi sesuatu Negeri. Pindaan ini selaras dengan temporary financial provision dalam Seksyen 3 Emergency (Essential Powers) Ordinance No 3, 1969 (Ordinan No. 3, 1969) dan 14 pemberitahuan berkaitan kewangan yang telah dibuat dari tahun 1969 hingga 1971, sebagai asas dalam menyediakan pindaan kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
b. Seksyen yang berkaitan dengan peruntukan kewangan sementara dalam ordinan darurat bukanlah satu perkara yang baharu. Urusan berkaitan pembentangan belanjawan tahunan dan belanjawan tambahan telah dilaksanakan semasa tempoh darurat dari tahun 1969 hingga 1971.
c. Pemasyhuran pindaan kepada ordinan ini juga dimuktamadkan selepas KDYMM Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dengan keperluan tindakan segera bagi menjamin dan mengekalkan kesihatan awam, kelangsungan ekonomi dan ketenteraman awam.
AKAUNTABILITI DAN KETELUSAN TADBIR URUS KEWANGAN TETAP DIKEKALKAN
4. Dari segi akauntabiliti dan ketelusan, pihak Kementerian Kewangan telahpun menerbitkan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PB 1.4, Tatacara Anggaran Perbelanjaan Tambahan Bagi Tempoh Darurat(*1), yang menggariskan panduan, hal-hal berkaitan tadbir urus perbelanjaan tambahan, dan juga proses yang terlibat berkaitan pengurusan perbelanjaan tambahan sepanjang tempoh darurat.
5. Tadbir urus yang digariskan akan memastikan bahawa peruntukan tambahan bagi tahun ini adalah perbelanjaan yang amatlah diperlukan. Kedudukan kewangan Kerajaan juga turut diambil kira oleh Kementerian Kewangan sebelum sebarang permohonan dipertimbangkan. Sehubungan itu, ingin saya mengulangi ulasan saya pada 22 Mac 2021(*2) di mana saya menegaskan bahawa:
- Hutang berkanun Kerajaan yang merangkumi penerbitan MGS, MGII dan MITB adalah dihadkan kepada 60% daripada KDNK.
- PinjamanLuarNegeridanHutangBilPerbendaharaanmasing-masing dihadkan sebanyak RM35 bilion dan RM10 bilion.
- Walaupun Ordinan ini berkuatkuasa, had hutang masih tertakluk kepada akta jenis-jenis hutang masing-masing.
- Setakat hujung 2020(*3), tahap hutang berkanun Kerajaan adalah sebanyak RM820.7 bilion atau 58.0% daripada KDNK, dan dijangka akan mencecah 58.5% pada hujung tahun ini. Manakala bagi Pinjaman Luar Negeri dan Hutang Bil Perbendaharaan pula, tahap hutang kedua- dua instrumen ini masing-masing adalah RM28.3 bilion dan RM6.5 bilion.
6. Selain itu, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Tatacara Kewangan 1957 tidak membenarkan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan mengurus. Oleh itu Kerajaan perlu memastikan perbelanjaan mengurus tidak melebihi hasil Kerajaan.
7. Secara keseluruhan, sebarang perbelanjaan tambahan yang dibuat perlu mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada bagi menentukan disiplin dan prosedur yang perlu dipatuhi Kerajaan. Ordinan ini tidak mengenepikan atau membatalkan had hutang berkanun, mahupun keperluan Baki Akaun Semasa. Malah, dengan keperluan siaran perbelanjaan menerusi pewartaan, ini bermakna Kerajaan adalah telus dan berusaha memastikan akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam melaksanakan perbelanjaan, khususnya dalam tempoh darurat ini.
ORDINAN HANYA MENYENTUH PERBELANJAAN TAMBAHAN LUAR JANGKA YANG PERLU
8. Saya juga ingin menjelaskan mengenai proses kelulusan perbelanjaan tambahan Kerajaan Persekutuan oleh Dewan Rakyat. Secara lazimnya, Kementerian Kewangan akan meluluskan permohonan peruntukan tambahan terlebih dahulu melalui Kumpulan Wang Luar Jangka, Simpanan Luar Jangka atau Surat Kuasa Berbelanja sebelum mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat. Sebagai contoh, perbelanjaan tambahan oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019 hanya dibentangkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada pertengahan tahun 2020 untuk persetujuan dan kelulusan Parlimen. Oleh yang demikian, salah satu tujuan pindaan ordinan ini dibuat adalah untuk membolehkan perbelanjaan tambahan bagi tahun 2020 diluluskan dengan segera, mengambil kira perbelanjaan tambahan 2020 ini telahpun dibelanjakan pada tahun lepas. Pada masa yang sama, Akaun Awam Kerajaan Persekutuan 2020 juga sedang dalam proses audit untuk dimuktamadkan.
9. Tambahan pula, ordinan ini hanya menyentuh perbelanjaan tambahan, dan tidak sekali-kali menyentuh berkenaan penyediaan belanjawan tahunan. Ini bermakna serupa seperti RMKe-12, Kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2022 (iaitu belanjawan untuk tahun hadapan) di Parlimen, selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan.
10. Perlu ditekankan bahawa tujuan pengisytiharaan darurat oleh YAB Perdana Menteri pada 11 Januari 2021 adalah untuk memastikan tindakan yang tangkas dan segera untuk menangani penularan wabak COVID-19 bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi. Langkah-langkah juga adalah bersifat sementara, dan bukan kekal. Sebaik sahaja darurat diisytiharkan tamat, segala tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan sepanjang tempoh ini akan dibentang dan disoal jawab semasa sesi Parlimen dan Dewan Rakyat kelak.
11. Kesimpulannya, faktor utama dan terpenting adalah pematuhan garis panduan mengenai tadbir urus kewangan yang baik serta ketelusan perbelanjaan Kerajaan di dalam tempoh ini. Ordinan ini akan menyokong perbelanjaan yang perlu diutamakan untuk memastikan negara terus kekal di landasan pemulihan dan pengukuhan ekonomi tahun ini.
KERAJAAN TETAP KOMITED KEPADA USAHA MENANGANI COVID-19 DAN USAHA PEMULIHAN EKONOMI
12. Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia telah mengunjurkan bahawa ekonomi negara akan pulih antara 6.0 hingga 7.5%, selaras dengan unjuran organisasi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia pada kadar 6.5% dan 6.0%. Dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sistematik, langkah kawalan pergerakan secara bersasar dan pematuhan SOP yang ketat, saya yakin kita dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik dan mampan.
13. Kerajaan terus komited kepada objektif konsolidasi fiskal melalui Strategi Hasil Jangka Sederhana dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana. Akta Tanggungjawab Fiskal yang sedang diusahakan akan memperkuatkan rangka kerja fiskal jangka sederhana seperti pengutamaan perbelanjaan, penambahbaikan sistem cukai, penguatkuasaan yang lebih cekap dan membanteras ketirisan dalam perbelanjaan.
14. Buat masa ini, fokus utama Kerajaan adalah untuk melonjakkan ekonomi, serta menangani masalah struktur demi pertumbuhan dan ketahanan sosio- ekonomi. Sekiranya terdapat keperluan bagi perbelanjaan tambahan untuk menyokong rakyat dan perniagaan, yakinlah bahawa Kerajaan akan menguruskannya dengan komitmen yang tegas dan telus terhadap disiplin fiskal.
YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
7 April 2021