Ordinan baru diwartakan merendahkan kebertanggungjawaban awam

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bimbang dengan Ordinan Darurat yang baru diwartakan pada 31 Mac 2021 yang membenarkan Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar meluluskan belanjawan tambahan secara sepihak serta menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa kelulusan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

IDEAS mengakui keperluan segera untuk mengurangkan kesan negatif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, namun dengan mengabaikan secara keseluruhan peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dalam perintah darurat merupakan satu perkara yang tidak perlu dilakukan disebabkan terdapat fleksibiliti dalam Perlembagaan yang membenarkan kerajaan menggunakan proses Parlimen ketika waktu kecemasan.

Perlembagaan Persekutuan  mengehendaki Parlimen memainkan peranan penting dalam melaksanakan semak dan imbang ketika menggunakan wang rakyat. Perlembagaan memberikan mandat kepada kerajaan untuk mendapatkan kelulusan Parlimen untuk perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan, kecuali perbelanjaan tanggungan, pinjaman berkanun, dan beberapa perbelanjaan berkaitan dana amanah. Perkara 104 di dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan, dengan pengecualian kepada tiga jenis perbelanjaan tersebut, “tiada wang boleh diambil keluar daripada Kumpulan Wang Disatukan melainkan jika wang itu…dibenarkan untuk dikeluarkan melalui Akta Perbekalan”.

Apabila ada keperluan segera, Perlembagaan memberikan fleksibiliti tetapi menghendaki pihak kerajaan untuk mendapatkan kelulusan Parlimen. Jika “amaun yang diuntukkan melalui Akta Perbekalan bagi apa-apa maksud tidak mencukupi, atau bahawa telah timbul keperluan perbelanjaan bagi suatu maksud yang baginya tiada amaun diuntukkan melalui Akta Perbekalan”, Perkara 101 Perlembagaan memberikan peluang kepada kerajaan untuk menggunakan wang terlebih dahulu dan membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan sebaik sahaja Parlimen bersidang.

Jika mustahil untuk Rang Undang-undang Perbekalan mendapat kelulusan, Perkara 102 memberikan mandat kepada Parlimen untuk meluluskan perbelanjaan sebelum meluluskan Akta Perbekalan andai diperlukan segera. Mesej yang terkandung dalam

Perlembagaan Persekutuan  amat jelas, iaitu kerajaan harus bertanggungjawab kepada Parlimen jika ingin menggunakan wang rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh membahaskan isu ini, katanya: “Apabila fleksibiliti sudah tersedia dalam Perlembagaan, tiada keperluan untuk pihak kerajaan mengadakan pindaan ordinan ini serta mengenepikan terus Parlimen dalam membuat keputusan berkenaan Kumpulan Wang Disatukan.

“Di samping itu, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong juga telah membenarkan Parlimen bersidang ketika perintah darurat. Pihak Kerajaan perlu menggunakan peluang ini untuk mendapatkan kelulusan Parlimen untuk dasar-dasar kewangan serta membuktikan kerajaan akan menangani krisis kesihatan ini (yang memerlukan sumber kewangan besar) dengan bertanggungjawab. Malah, kerajaan telah pun membenarkan sektor perniagaan untuk dibuka sepenuhnya minggu ini maka semakin rapuh justifikasi untuk tidak menamatkan darurat awal dan Parlimen kembali bersidang.

“Dalam perkembangan lain, kita menjangkakan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan meningkat kepada 58% pada tahun ini (membuatkannya lebih hampir kepada paras siling hutang 60% yang telah dipertingkatkan pada suku pertama tahun 2021), perbelanjaan berhemah, pengawasan dan kebertanggungjawaban  dalam perbelanjaan awam amat diperlukan sekarang.

“Akhirnya, langkah ini menimbulkan persoalan jika kerajaan merancang untuk melanjutkan perintah darurat melangkaui bulan Ogos. Ketika status demokrasi Malaysia sedang mengalami kemerosotan yang membimbangkan beberapa bulan belakangan ini, serta tindakan terkini kerajaan meluluskan Ordinan Darurat ‘berita palsu’ sebelum ini pada bulan Mac, persoalan harus ditanya jika kerajaan Perikatan Nasional merancang  melakukan semua yang termampu untuk menghalang sidang Parlimen semata-mata untuk kekal memegang kuasa.”