Saya nak betulkan penggunaan bahasa dan pemahaman salah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai ‘Cash is King’ melalui perspektif dan pemahaman saya.
Saya bukan nak membela Najib, sekadar membetulkan pemahaman salah beliau mengenai ‘Cash is King’.
Selebihnya kita cerita lain kali.
Dari segi makna frasa ‘Cash is King’, Najib sepatutnya tidak perlu nak ubah dengan menyebut ‘Wang (tunai) itu Rakyat.’
Satu dunia sudah faham maksud ‘Cash is King’, nak ubah buat apa lagi. Bila ubah jadi ‘Cash is People’, orang terkejut, keliru dan tak boleh dielakkan ia menjadi bahan jenaka popular mengalahkan Sepahtu.
Sebetulnya, ini bukan kali pertama Najib cakap benda yang sama ini. Cuma, sebelum ini tiada sesiapa pun orang Najib menasihati atau membetulkan pemahaman salahnya ini.
Saya rasa apa yang Najib patut buat ialah beliau perlu secara gentleman mengaku memang betul ‘Cash is King’ kerana hakikatnya dengan wang, apa juga boleh dilakukan dan bermacam-macam masalah boleh diselesaikan.
Dengan wang, yang dilambangkan sebagai raja itu, ia boleh digunakan untuk membantu apa juga masalah rakyat. Di sini lah baru ‘Rakyat’ timbul.
Tidak ada duit cakap kosong sahajalah. Jadi, ‘Cash is King’.
Ini yang patut Najib cakap, bukan nak ubah ‘Cash itu Rakyat’. Najib sebenarnya cuba jelaskan maksud ‘Rakyat’ itu tetapi mesej tak sampai dan sukar diterima sebab premis asasnya sudah salah.
Sekali lagi, saya hanya menulis dari segi bahasa dan pemahaman frasa ‘Cash is King’, tidak lebih daripada itu. Sama ada cakap diterjemah kepada tindakan, itu di luar skop tulisan ini.
Itu sahaja
Mior Kamarul Mior Shahid
Bekas Ketua Pengarang
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.