1) Malaysia sepertimana negara-negara lain di dunia sekarang, masih bergelut dengan wabak Covid-19 yang kini telah “melahirkan” pelbagai varian (jenis) virus tersebut akibat mutasi (perubahan DNA) yang pantas. Keadaan ini sedikit sebanyak mampu mencabar keberkesanan vaksin untuk wabak tersebut dalam jangka panjang.
2) Penghasilan vaksin pula bukan sesuatu yang mudah. Harga vaksin Covid-19 pun tidaklah murah. Tidak banyak negara yang mampu menghasilkan vaksin tersebut walaupun ia sebuah negara maju seperti Singapura dan Jepun, apatah lagi Malaysia dalam waktu yang singkat pula. Namun hendak atau tidak, vaksin adalah antara usaha manusia untuk melawan virus dan mengurangkan risiko kematian akibat darinya.
3) Kadang-kadang mereka yang kuat mengkritik mengenai Covid dan vaksin ini tiada asas pengajian dalam subjek biologi (di peringkat sekolah menengah) pun, tapi bila berbicara seolah-olah dia serba tahu hingga mengaitkannya dengan pelbagai teori konspirasi, fiskyen sains dan tahyul. Apabila kita cuba menerangkan dari sudut fakta sains, kelompok serba tahu ini memesongkannya ke arah politik pula.
4) Hakikatnya Covid-19 masih berlegar di luar sana, masih ramai yang telah dijangkiti, dan kematian kerananya pun masih wujud dari semasa ke semasa walaupun dalam jumlah kecil berbanding kadar mereka yang pulih. Ini menimbulkan dilema di pihak kerajaan. Jika diperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Prosedur Operasi Piawai (SOP), dikhuatiri ia memperparahkan lagi keadaan ekonomi rakyat serta negara.
5) Segala teknologi terkini telah dan sedang diguna-pakai oleh pihak berkuasa bagi mengawal wabak ini dari terus merebak. Sekarang tanggungjawab juga terletak di tangan rakyat kita sendiri, sama ada mahu berdisiplin menjaga SOP, atau terus mencari salah pihak lain. Yang memusuhi kita bersama tetap juga Covid-19. Ia tidak mengenal ideologi politik, kaum atau agama.
6) Di sebalik kewaspadaan kita mengenai Covid-19, terselit watak watak-watak opportunis yang terus berdrama mahu menimbulkan ketidak-stabilan dalam politik negara. Watak-watak gila politik ini hampir setiap hari mulut mereka berkumat-kamit menghasut rakyat supaya menumbangkan kerajaan Malaysia yang sedang melawan Covid-19 ini. Bagaikan menangguk di air yang keruh, watak-watak itu memaksa pula agar diadakan Pilihanraya Umum (PRU) dalam waktu terdekat.
7) Siapa watak-watak terdesak itu? Mereka adalah watak yang sama pernah menyamun wang rakyat hingga sarat dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa ketika berkuasa dominan dahulu. Mereka jugalah antara pengkhianat bangsa yang sanggup menggadai kepentingan negara dan hak Bumiputera serta Muslim hingga Dasar Ekonomi Baru (DEB) pun gagal mencapai matlamatnya. Mereka ini kita kenali sebagai Kluster Mahkamah.
8) Kluster Mahkamah ialah sekelompok binatang politik (biasanya berumur) yang sudah terlalu lama menjadi “warlord” dalam arena politik negara. Mereka menjadikan wadah “Ketuanan Melayu” sebagai tirai untuk melindungi ketamakkan serta kepentingan peribadi dan kelompok kecil lingkungan mereka sahaja, hampir seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
9) Walaupun ada yang telah dijatuhi hukuman bersalah kerana korupsi, kelompok Kluster Mahkamah ini masih tebal muka berbicara soal agama dan bangsa. Mungkin kerana mereka yakin rakyat Malaysia khususnya orang Melayu boleh ditipu berulang kali dengan nada simpati dan provokasi isu-isu sensitif. Mereka propagandakan kononnya Melayu tiada pilihan lain untuk selamat kecuali berada di bawah cengkaman mereka kembali seperti sebelum PRU ke-14 lalu.
10) Benar kerajaan Perikatan Nasional (PN) pernah atau sedang didukung oleh Kluster Mahkamah ini bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar jika negara terus dipengaruhi puak ultra liberal di pihak Pakatan Harapan (PH). Namun kemunafikan Kluster Mahkamah ini akhirnya terserlah, kerana bukan sahaja rakyat Malaysia dibohongi mereka, malah ahli akar umbi fanatik mereka pun terang-terang dikhianati apabila Kluster Mahkamah ini mendukung watak “PM Tepi” dari PH yang menganggap dirinya “Guru” kepada seorang yang korup!
ITULAH DIA MUSUH SEBENAR BANGSA DAN NEGARA KITA
Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu