Tan Sri Muhyiddin Yassin Perdana Menteri Malaysia, secara tuntas telah menyatakan kerajaan pimpinannya tidak alpa dalam usaha membantu rakyat ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Berbagai kaedah terbaik diperkenalkan walaupun dihujani dengan pelbagai kritikan yang mempersendakan usaha kerajaan ini.
Sambil menyeru agar rakyat sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, Perdana Menteri juga berkata bahawa kerajaan sentiasa fokus menjaga kebajikan rakyat dengan mewujudkan berbagai skim bantuan yang diperlukan walaupun negara dihimpit dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid19 yang melanda dunia.
Dalam sesi temu bual bersama YAB Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV malam tadi, Muhyiddin juga berkata kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan PKP sepenuhnya di seluruh negara kerana memikirkan rakyat perlu dijana ekonomi mereka terutama yang terlibat dengan perniagaan dan perusahaan kecil.
Lantaran itu rakyat disarankan supaya lebih berwaspa ketika berada di lapangan dengan mematuhi SOP.
Perdana Menteri sendiri menyedari bukan semua yang diusahakan kerajaan dapat diterima oleh semua rakyat namun kerajaan katanya tidak terhenti untuk menyeimbangi kepentingan nyawa dan kehidupan.
Menurutnya kerajaan tidak mahu ekonomi negara runtuh akibat tidak ada keseimbangan dalam tindakan mengharungi cabaran dan gelombang covid-19.
Dalam pada itu kerajaan juga sedang merangka belanjawan 2022 yang tentunya lebih menjurus kepada kebajikan rakyat.
Walaupun kedengaran suara-suara sumbang yang memperlecehkan tindakan kerajaan ini, namun suara sumbang itu bukanlah sesuatu yang konstruktif untuk diberikan keutamaan apatah lagi suara sumbang itu lebih bermotifkan politik.
Tidak ada yang baik bagi desperado politik ini melainkan hendak melihat kegagalan kerajaan dalam merangka pelan tindakannya.
Desakan mereka ini mahukan Muhyiddin melepaskan jawatan PM bukan kerana kegagalan kerajaan seperti yang didakwa malah sebenarnya mereka ini lebih terdorong dengan politik kebencian yang sentiasa melekat terhadap kerajaan PN.
Politik kebencian ini bukan sahaja menjadi sentimen jahat malah ia telah menjadi pandemik di kalangan mereka selagi api kebencian ini tidak berjaya diperhangatkan.
Rakyat dilihat tidak terpesona dengan hayunan kesumat ini kerana rakyat lebih mementingkan kesejahteraan diri mereka daripada terjebak dengan hasutan puak-puak yang jengkel ini.
Muhyiddin dilihat lebih perkasa apabila tidak melayani golongan yang korup mentaliti ini. Terfikir juga dalam fikiran ini apa relevannya kerajaan menuruti kehendak pecacai politik ini seolah-olah mereka itu lebih cerdik dalam mencanai dasar-dasar kerajaan. Sebenarnya golongan ini ketandusan isu dan mendambakan isu sebegini untuk dimanipulasi.
Apa sahaja yang dicetuskan oleh kerajaan pasti tidak menggembirakan mereka kerana isu berkenaan lebih berimpak tinggi jika dibandingkan dengan lontaran kesumat mereka.