Saya kira sudah terlalu banyak contoh insiden kelancangan mulut dan biadabnya tindakan sesetengah pihak yang tanpa segan silu bercakap mengenai hal sulit seperti aib dan ciri kehormatan wanita.
Berulang kali diperjelaskan bahawa tanggungjawab menjaga adab, memelihara kehormatan dan membawa semula elemen malu serta menanam sifat haya’ dalam komuniti itu merupakan satu bebanan dan amanah yang cukup besar. Peguam, Fatihah Jamhari dan saya telah mengulas lanjut isu sama melalui Bernama Radio dan IKIM FM.
Hari ini perkara sama berulang apabila kita dijelikkan dengan kisah seorang aktor bercerita tentang tingkah laku seorang pelakon wanita yang wataknya diperkosa dalam sebuah filem secara eksplisit malah didedahkan pada khalayak tentang keadaan nafsu beliau yang membuak-buak ketika itu di sebuah rancangan sketsa komedi yang ditularkan semula di Twitter.
Diiringi pula dengan komen mengapi-api serta gelak tawa si pengacara, tetamu jemputan dan para hadirin. Memualkan.
Dahulu digembar-gemburkan di sosial media mengenai bentuk alat sulit perempuan atas nama “liberalisasi hak wanita”.
Kali ini diceritakan tanpa malu tentang aib seorang individu yang sudah bertaubat malah telah meninggalkan industri penuh maksiat itu namun dengan tidak semena-mena aib itu ditertawakan dan ‘ditayang’ semula ke dunia akibat rendahnya akhlak & adab beberapa ‘penghibur’ seni tersebut.
Manusia diberi akal untuk berfikir, namun nafsu seringkali mengatasi akal dalam banyak perkara. Salah satu cara bagi mengawal dan menghentikan amarah serta ledakan nafsu seseorang ialah melalui jalan perundangan dan pendidikan berterusan.
Maqasid syariah turut membenarkan tindakan undang-undang kerana agama dan keturunan seseorang wajib dipelihara demi maslahah syarak dan umum.
Peringatan keras Rasulullah S.AW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ma’qil bin Yasar R.A apabila Baginda bersabda:
لَأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لَا تَحِلُّ لَهُ
Maksudnya: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang kamu dengan jarum daripada besi itu adalah lebih baik buat dirinya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya. [Riwayat Al-Thabrani (486)]
Begitu juga firman Allah S.W.T yang menyebut:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada golongan yang beriman hendaklah mereka itu menundukkan pandangan mereka. [Surah Al-Nur (30)]
Sebagai ahli masyarakat, hak undang-undang kita bila berhadapan perkara ini ialah untuk melaporkan kepada SKMM atas sebab kandungan jelik dan berbaur lucah. Doa-doa agar kandungan itu dilupuskan & pihak berkuasa menyiasat perkara ini.
Selain itu, perlu diboikot juga semua drama, filem atau sketsa yang mempunyai unsur romantis, tidak menutup aurat apatah lagi paparan aksi di ranjang. Terlalu banyak yang merapu dari yang memberi manfaat.
Kalau malas fikir soal halal haram, kasihanilah anak-anak kita, generasi muda. Statistik tontotan porn*grafi, kes zina, anak luar nikah, mangsa gangguan seksual serta rogol bawah umur bukan sedikit.
Kepada barisan pelawak dan artis, kalian mudah menutur itu ini atas alasan “hiburan” tapi bayangkan jika kena batang hidung sendiri (pada isteri, adik, kakak atau anak sendiri), kesannya bukan kepalang. Rogol adalah jenayah yang boleh membunuh individu serta ahli keluarga mangsa, dari luar dan dalam. Moga dijauhkan.
Manakala, tanggungjawab pihak kerajaan untuk membanteras gejala lucah ini adalah dengan membentangkan Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU) sesegera mungkin dan sementara itu boleh melaksanakan peraturan atau polisi yang lebih menjaga kehormatan & maruah ahli masyarakat secara serius.
Sebagai contoh, sekat kemasukan elemen hiperseksualiti dalam industri hiburan dan memberi penalti sekiranya ada artis yang buat jenaka rogol. Adapun perlu juga diperkasakan secara meluas, iklan berciri infografik yang menerangkan tentang konsep & perihal RUU tersebut di stesen TV nasional serta media massa.
Kalau boleh saya ulas sedikit mengenai isu Qawwamah (kepimpinan lelaki ke atas wanita), suami pelakon yang berhijrah itu adalah contoh seorang pasangan yang berperwatakan Qawwam.
Beliau menegur tegas secara berhemah malah menasihati pihak produksi di samping cuba menjaga aib isteri sejurus selepas “lawak r*gol” itu tersebar.
Sebenarnya boleh sahaja beliau terus buat laporan polis atau failkan tuntutan saman malu (agar mana2 produksi atau individu seni lebih berhati-hati selepas ini) tetapi mereka ambil keputusan untuk keluarkan kenyataan balas sahaja. Kita hormat pendirian mereka. Syabas si suami.
Nur Farihah Meor
Aktivis masyarakat
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.