Mengimbas kembali peristiwa Langkah Sheraton

Saya tertarik dengan satu pandangan revisionis tentang Langkah Sheraton, yang mengemukakan bahawa kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dijemput untuk menyertai rampasan kuasa bagi membentuk sebuah kerajaan Melayu, tetapi beliau telah menolak tawaran itu kerana syaratnya DAP perlu ditolak.

Mungkin pandangan tersebut bertujuan untuk memberi ingatan kepada pimpinan DAP supaya bersyukur dan tidak mempersoalkan tindakan Datuk Seri Anwar berunding dengan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak dari UMNO. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tentang inisiatif PKR untuk membentuk kerajaan melalui rundingan dengan ‘kluster mahkamah’.

Tetapi adalah lebih baiik ia dilakukan tanpa mengubah sejarah.

Pada 1 Julai 2019, tidak lama selepas tersebarnya rakaman yang didakwa melibatkan aksi seks Datuk Seri Azmin Ali, seorang penyokong Azmin bertemu dengan saya dan memberitahu bahawa DAP perlu memilih antara Anwar dan Azmin, dan bersedia menerima akibat jika tidak memilih Azmin.

Saya memberitahunya bahawa DAP mempunyai tanggungjawab untuk memastikan peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung secara lancar.

Pada Oktober 2019, cubaan rampasan kuasa oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Azmin Ali telah dipintas dan tidak berjaya dilakukan.

Pada waktu itu, sentimen perkauman dibangkitkan untuk menampilkan DAP sebagai parti pengganas, komunis dan sebuah parti perkauman yang mesti dibuang daripada kerajaan.

Rancangan mereka adalah untuk membawa 17 Ahli Parlimen UMNO dari kumpulan Hishammuddin, 18 Ahli Parlimen PAS dan 18 Ahli Parlimen GPS, berjumlah 53 untuk menggantikan Ahli-ahli Parlimen DAP (42 orang) dan Amanah (11 orang), juga 53 jumlahnya.

Dengan membuang DAP dan Amanah, mereka tahu bahawa mereka membuang bilangan yang diperlukan untuk memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri. Tanpa sokongan DAP dan Amanah untuk membolehkan Anwar menjadi PM, Azmin percaya dan yakin bahawa dia boleh mengambil alih PKR.

Terus ke Januari dan Februari 2020, pimpinan DAP dan Amanah giat memujuk penyokong Anwar dan Dr Mahathir untuk menyejukkan suhu politik dan memastikan peralihan kuasa berlaku dengan jayanya antara kedua-dua tokoh tersebut selepas persidangan APEC pada November.

Dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Februari 2020, Azmin secara terbuka berkempen supaya Dr Mahathir terus bertugas sehingga hujung penggal, sementara pemimpin DAP dan Amanah, termasuk saya, berhujah dengan penuh semangat supaya gabungan Pakatan Harapan terus berpegang kepada peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar selepas APEC. Rakaman audio yang tersebar jelas membuktikan bagaimana DAP dan Amanah membela Anwar, dengan masing-masing menanggung risikonya.

DAP kekal setia menyokong kerajaan Mahathir-Anwar/Anwar-Mahathir demi memastikan peralihan kuasa berlaku dengan lancar, dan sebuah kerajaan dibentuk dengan jayanya.

Sepanjang minggu selepas Langkah Sheraton dari 23 ke 29 Februari, saya terlibat dalam banyak mesyuarat dan pertemuan bersama lingkaran dalaman Anwar, dan setiap daripadanya saya punyai rekod dan nota peribadi.

Idea untuk menjemput Anwar untuk membentuk kerajaan tanpa DAP tidak pernah bangkit, kerana tujuan asal utama Langkah Sheraton adalah untuk mengeluarkan Anwar daripada sifir terbabit. – 22 Mac 2021.