Sudah dua minggu Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) telah ditubuhkan bagi menangani wabak Covid-19 yang kini berada pada tahap membimbangkan di kawasan ini.
GKV STF mempunyai pasukan yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pakar-pakar daripada luar KKM.
Pasukan ini bekerja keras bagi melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk membendung impak wabak Covid-19 ini kerana keutamaan kami adalah untuk menyelamatkan nyawa.
Peningkatan kes dan kematian Covid-19 menunjukkan betapa seriusnya keadaan sekarang dan ini amat membimbangkan. Malah, jangkitan Covid-19 kini telah menular dengan meluas dalam komuniti sehinggakan kapasiti hospital di Greater Klang Valley termasuklah unit rawatan rapi (ICU) telah mencecah tahap maksimum.
Mengapakah angka kes positif terus meningkat di Greater Klang Valley walaupun kadar pemberian vaksinasi telah ditingkatkan?
Ramai yang mempersoalkan hal ini. Justeru, adalah penting untuk kita fahami bahawa penularan wabak ini adalah jauh lebih besar berbanding jumlah kes positif yang dikesan setiap hari.
Ramai individu yang tidak mengalami gejala atau pre-symptomatic tidak menyedari bahawa mereka telahpun dijangkiti dan boleh menyebarkan virus ini kepada orang lain. Perlu diingatkan bahawa keberkesanan vaksin mengambil masa dan keberkesanan adalah dua minggu selepas melengkapkan dos kedua.
Jadi, vaksin ini memerlukan masa untuk bertindak balas dan melindungi individu tersebut. Malah, kemunculan varian Delta dalam komuniti yang mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi turut menyumbang kepada peningkatan kes ini.
Tambahan pula, berdasarkan data-data dari negara-negara yang merekodkan kadar vaksinasi yang tinggi, jangkitan virus ini masih boleh berlaku disebabkan oleh varian Delta walaupun terdapat pengurangan ketara pesakit yang masuk ke hospital dan pesakit yang bergejala teruk.
Apakah langkah utama yang perlu dilakukan untuk membendung wabak Covid-19?
GKV STF telah merangka beberapa langkah yang strategik bagi mengoptimumkan perkhidmatan perawatan, mengurangkan penularan virus dan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada komuniti dan petugas kesihatan.
Melihat kepada situasi terkini, strategi pengurusan wabak telah berubah daripada membendung kepada mitigasi dalam usaha mencegah kematian dan meminimumkan penyebaran penyakit. Beberapa inisiatif utama termasuklah:
1. Meningkatkan kapasiti katil, penjagaan ICU, bekalan oksigen, mobilisasi tenaga kerja dan penglibatan sukarelawan. Langkah untuk memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta juga dapat membantu dalam meningkatkan kapasiti katil di hospital kerajaan. Malah, bantuan daripada pihak tentera dari segi tenaga kerja dan logistik amatlah berharga;
2. Mengukuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dengan melaksanakan Virtual CAC kepada individu yang tidak bergejala dan bergejala ringan serta memperkukuhkan pengurusan pemantauan pesakit di rumah;
3. Menawarkan lebih banyak ujian RTK-Ag di klinik-klinik kesihatan dan kepada pengamal-pengamal perubatan am melalui penjualan kit ujian kendiri yang diluluskan oleh MDA bagi membolehkan lebih banyak ujian dijalankan. Kit ujian kendiri yang menggunakan air liur juga boleh didapati di farmasi bagi membolehkan orang ramai melakukan ujian sendiri di rumah;
4. Meningkatkan sokongan kepada barisan hadapan di hospital dan fasiliti kesihatan serta memperkukuhkan sistem sokongan sosial dan emosi untuk orang awam;
5. Mendapatkan dan memperuntukkan sejumlah dana bagi tujuan perolehan peralatan perubatan dan ubat-ubatan tambahan; dan
6. Kami juga berusaha untuk meningkatkan komunikasi dengan orang awam tentang isu-isu kritikal dan akan sentiasa mengemaskini info-info semasa.
Kakitangan kami di hospital, fasiliti kesihatan dan bahagian pengurusan kini keletihan tetapi kami tetap di sini untuk anda dan akan terus bekerja bagi mengatasi krisis ini.
Apa yang boleh dilakukan oleh orang awam?
Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat yang telah memberikan kerjasama yang baik dalam menghadapi krisis ini dengan sentiasa menghadkan pergaulan sosial serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Tetapi masih terdapat beberapa langkah penting yang anda boleh lakukan untuk membantu diri anda, keluarga, komuniti serta perkhidmatan kesihatan adalah seperti di bawah. Mesej utama adalah untuk bersama-sama memutuskan rantaian penularan virus ini kepada orang lain:
1. Jika anda berada di Greater Klang Valley dan mengalami gejala Covid-19, anda perlu menganggap bahawa diri anda berkemungkinan telah dijangkiti dan perlu menjalani ujian saringan;
2. Setelah anda disahkan positif, sila jalani isolasi di rumah, membuat notifikasi dan pemantauan kendiri melalui aplikasi MySejahtera. Pengasingan kendiri di tempat kediaman adalah bagi pesakit yang tidak bergejala dan bergejala ringan yang tidak perlu dimasukkan ke hospital dan boleh sembuh sendiri.
Kami tidak mahu menyebabkan kesesakan di hospital dengan kes-kes ringan agar rawatan bagi pesakit yang lebih teruk dapat diutamakan. Kakitangan kesihatan akan menghubungi mereka yang ‘red flagged’ sebagai pesakit yang berisiko tinggi untuk tampil ke CAC ataupun hospital;
3. Sekiranya anda positif, sila maklumkan individu yang mempunyai kontak dengan anda untuk turut melakukan pengasingan kendiri selama 10 hari. Ujian tidak perlu dilakukan melainkan mereka mempunyai gejala. Apa yang penting adalah kekal duduk di tempat kediaman dan melakukan pemantauan kesihatan kendiri setiap hari;
4. Bagi individu yang beranggapan mereka telah terdedah kepada pesakit positif tetapi tidak dikenal pasti sebagai kontak rapat adalah digalakkan untuk menjalani ujian saringan di fasiliti kesihatan swasta. Ini termasuk melakukan ujian kendiri menggunakan air liur;
5. Vaksinasi akan mengurangkan risiko untuk mendapat jangkitan. Oleh itu, daftarkan diri anda dan dapatkan vaksin sebaik sahaja tarikh temu janji diberikan. Bagi kontak rapat kepada kes positif, mereka harus menangguhkan tarikh temu janji vaksin untuk sekurang-kurangnya selama 10 hari;
6. Kami juga memohon masyarakat untuk terus menyokong kami dalam usaha membendung wabak ini. Anda boleh menjadi sukarelawan untuk membantu dalam sistem kesihatan seperti di CAC, fasiliti kesihatan atau hospital. Sukarelawan juga boleh membantu dalam meningkatkan sistem sokongan sosial dan emosi kepada orang ramai.
Oleh kerana kami menggalakkan penggunaan ujian kendiri dan RTK-Ag, kami menjangkakan jumlah kes akan terus meningkat untuk beberapa hari yang akan datang. Tetapi jangan khuatir kerana kami cuba sedaya upaya untuk mengesan sebanyak mungkin kes positif bagi mengurangkan penularan wabak dalam komuniti kita.
Dengan lebih banyak kes positif dan kontak rapat, mereka akan diasingkan dan dikuarantin, kes akan mula berkurangan dalam beberapa minggu. Jika ini dapat dicapai, strategi ujian Covid-19 dapat disusun semula bagi memastikan pengesanan kes untuk pengasingan dan pemantauan adalah lebih berkesan.
Krisis ini merupakan krisis terburuk yang pernah dialami oleh komuniti dan perkhidmatan kesihatan kita sehingga kini. Namun, kami masih belum berputus asa dan akan kekal tabah untuk melakukan apa yang terbaik yang kami mampu. Kami juga amat berterima kasih kerana memahami keterbatasan kami dan atas sokongan kuat yang diberikan kepada kami.
Datuk Dr. Chong Chee Kheong
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Bagi pihak Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF)
28 Julai 2021
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Muhammad Fairus Na’iman Bin Mohd Fuzi
Pegawai Perhubungan Awam
Tel: 03-8883 4469 /+601123395609