Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat dilihat cuba mengalihkan perhatian perwakilan terhadap tanggungjawab beliau dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang berlangsung sejak semalam (12 Januari 2023).
Kekalahan paling buruk dalam sejarah UMNO mesti dipertanggungjawabkan kepada Zahid sebagai Presiden parti dan Tok Mat Hasan sebagai Timbalan Presiden yang juga Pengarah Pilihanraya menggantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dipecat.
Tok Mat Hasan dalam ucapan perasmian serentak sayap UMNO cuba mengheret perwakilan terhadap strategi menggabungkan diri bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai bijak dan betul.
Tidak cukup dengan itu Tok Mat cuba “memaksa” perwakilan sayap UMNO memeluk DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikeji dan dijadikan sasaran serangan sepanjang PAU yang lepas.
Tidak pasti apakah semua perwakilan yang hadir ini tidak hadir, tertidur atau hilang ingatan tentang PAU lepas.
Perwakilan UMNO sewajarnya mempersoalkan peranan beliau mencatur strategi UMNO menghadapi PRU-15. UMNO dilihat gah dalam dua pilihan raya negeri (PRN) – Melaka dan Johor – sebelum itu, namun menerima kekalahan terburuk dalam PRU-15 yang boleh disifatkan mengejutkan.
Ketika UMNO tewas dalam PRU-14, Datuk Seri Najib Razak mengambil tanggungjawab meletak jawatan. Ketika itu UMNO dan Barisan Nasional masih miliki 79 kerusi dengan 54 darinya kerusi UMNO.
Walaupun gagal membentuk kerajaan namun UMNO masih paling banyak kerusi jika dinilai bilangan kerusi parti, diikuti PKR 47 kerusi. Jika dilihat di sudut tanggungjawab kepada parti dan maruah seorang pemimpin Najib lebih bertanggungjawab.
Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan susulan kemerosotan kerusi BN sebelum ini walaupun masih menjadi kerajaan.
Ketika Zahid menjadi Presiden dan Tok Mat Hasan sebagai timbalan yang juga pengarah pilihanraya, prestasi UMNO dan BN merudum teruk. BN hanya tinggal 30 kerusi berbanding Perikatan Nasional (74 kerusi) dan Pakatan Harapan (82 kerus).
UMNO juga kehilangan Perlis dan menjadi minoriti di Pahang dan Perak. Ia kekalahan memalukan bagi parti kerajaan paling lama itu.
Zahid dan Tok Mat Hasan tanpa rasa bersalah mengheret perwakilan dan ahli UMNO kepada apa yang diistilahkan strategi politik dengan menjilat kahak hijau yang diludah kepada DAP dan Anwar dalam kempen PRU15 dan PAU lepas.
Paling melucukan mereka cuba pula memaksa perwakilan menerima kepimpinan gagal mereka tanpa bertanding dengan alasan mengelak perpecahan.
Perwakilan seharusnya sedar bahawa UMNO tidak akan berpecah kerana UMNO sudah hancur berderai.
UMNO memerlukan arkitek yang lebih berani bermuhasabah dan membetulkan kesilapan daripada berselindung dengan keberadaan dalam kerajaan kononnya demi kebaikan UMNO.
Apakah perwakilan UMNO akan tersihir dengan “mentera” Zahid dan Mat Hasan dalam PAU ini? Kita hanya mampu melihat bomoh dan panglima mana yang berjaya menyedarkan dan memecahkan sihir ini demi survival UMNO dan terus relevan sebagai parti melayu.
Fairuz Hafiizh Othman
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Perak
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.