Hari ini saya telah menerima kunjungan hormat oleh TYT Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Luar Negeri Singapura sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia pada 23 dan 24 Mac 2021.
Dr Vivian diiringi oleh TYT Vanu Gopala Menon, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, dan Encik Chee Wee Kiong, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri republik itu.
Turut hadir di pihak Malaysia, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri; Dato’ Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; dan beberapa orang pegawai kerajaan.
Kami berbincang mengenai pelbagai aspek hubungan dua hala Malaysia-Singapura yang melibatkan bidang seperti perdagangan, pelaburan dan kesihatan. Saya juga telah mengambil kesempatan membangkitkan mengenai keadaan semasa di Myanmar dan hala tuju ASEAN dalam menangani krisis ini.
Dalam pertemuan tadi, Dr Vivian turut menyerahkan surat jemputan daripada Perdana Menteri Singapura kepada saya untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura kali ke-10.
Saya mengambil maklum cadangan pihak Singapura untuk menjadi tuan rumah sesi pemukiman itu dalam tahun ini selepas ditangguhkan pada tahun 2020 akibat wabak COVID-19.
Saya dan Dr Vivian sependapat bahawa COVID-19 telah memberi cabaran baharu kepada negara masing-masing. Namun pandemik ini tidak seharusnya dijadikan halangan dalam usaha meningkatkan kerjasama sedia ada antara negara berjiran.
Mengenai cadangan pengiktirafan timbal balas terhadap sijil vaksin COVID-19, saya menyeru agar kerjasama di peringkat teknikal melibatkan kedua-dua negara dapat diteruskan dan dimuktamadkan pada masa hadapan.
Saya berharap agar beberapa sekatan berupa penangguhan terhadap pengaturan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara sebelum ini dapat segera ditamatkan, mengambil kira kepentingan hubungan dua hala.
Ini merangkumi pengaturan timbal balas perjalanan Reciprocal Green Lane (RGL), pengaturan perjalanan berkala Periodic Commuting Arrangement (PCA), dan pengaturan perjalanan harian Daily Commuting Arrangement (DCA).
Di akhir perjumpaan, saya menyatakan komitmen Malaysia untuk bukan sahaja meneruskan hubungan baik yang sedia terjalin dengan Singapura, malah memperkukuhkan lagi tahap hubungan sedia ada.