Kekalahan kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen Padang Serai pada 7 Disember 2022 lalu iaitu kira-kira dua minggu setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah Perdana Menteri (PM) ke-10 pada 24 November tahun sama, langsung tidak memberi isyarat yang baik buat kerajaan baharu ini.
Walaupun PM telah angkat sumpah dan kerajaan campuran telah dibentuk namun calon Perikatan Nasional (PN) boleh menang menewaskan calon pro kerajaan dengan majoriti luar biasa 16,260 undi.
Kemenangan besar ini jelas membuktikan bahang kemarahan rakyat terhadap PH dan BN, serta “Gelombang Hijau” iaitu kebangkitkan pengundi Melayu Islam yang menuntut perubahan, masih kukuh menebal dan mampu memberi ancaman pada kerajaan PM 10 yang terdiri dari pelbagai parti yang berbeza-beza mimpi itu.
Kerana itu “Gelombang Padang Serai” cepat-cepat disapu ke bawah tikar oleh PM ke-10 dengan mengalih pandangan rakyat kepada perkara-perkara lain seolah ianya boleh dimatikan begitu sahaja.
Mengalih-alih pandangan dan perhatian rakyat adalah langkah sementara, ia tidak akan kekal, bila reda ia, akan kembali menjulang “Gelombang Hijau” tadi dan kemampuan kerajaan PM 10 untuk bertahan akan terus diuji.
Hari ini pun pelbagai isu melibatkan rakyat khasnya berkaitan kos hidup dan barangan keperluan harian masih tidak selesai-selesai. Belum selesai sepenuhnya isu minyak masak, bangkit pula isu bekalan telur, kemudian bangkit isu bekalan dan harga ayam.
Harga minyak petrol tidak turun-turun. Pada sesi pembukaan sekolah rakyat berhadapan pula dengan kos makanan di kantin-kantin sekolah yang naik serta tambang bas sekolah.
Kerajaan PM 10 serabut menguruskan isu-isu ini kerana mereka sendiri pada hakikatnya adalah satu campuran yang berserabut. Dalam PH selain PKR, parti PM 10, ada juga DAP dan PAN. Apabila PM 10 memutuskan untuk bercampur dengan BN/UMNO bagi membentuk kerajaan, ramai dalam kalangan PH yang tidak selesa terutamanya daripada DAP dan PAN.
Bukan mudah menerima tangan musuh politik yang diserang dan dimaki hamun, dan mereka juga sama menyerang dan memaki hamun tiba-tiba demi membentuk kerajaan dan menyelamatkan tengkok pihak tertentu, masing-masing memaksa diri berdamai dan hari ini terpaksa duduk dalam satu Kabinet.
Mengikut maklumat seorang pemimpin kanan DAP enggan menyertai Kabinet kerana di dalamnya ada tokoh-tokoh yang sebelum ini mereka label sebagai perompak dan penyamun.
Suasana tidak selesa dan curiga mencurigai sesama mereka ini sudah pasti tidak sihat dan bagaimana mungkin kerajaan campuran ini boleh kekal bercampur kiranya ada di dalamnya bibit-bibit perseteruan.
“Gelombang Padang Serai” dijangka melambung pula apabila kerajaan campuran ini berhadapan dengan PN dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) – Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tahun ini.
Kemenangan 100 peratus PN di kerusi-kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu, Perlis dan kecuali satu kerusi iaitu Sungai Petani di Kedah adalah indikator bahawa rakyat di negeri-negeri itu tidak akan memberi ruang buat PM 10 dan parti kerajaan campurannya di sana.
“Gelombang Hijau” hampir pasti akan bergelora kembali memenangkan PN khasnya calon-calon PAS.
Porak-peranda antara parti dijangka berlaku apabila PH dan BN membahagi-bahagi kerusi untuk ketiga-tiga negeri ini. DAP mungkin tertumpu pada satu atau dua kerusi, tetapi itupun terpaksa mengambil kira MCA dan MIC.
Bagaimana pula kerusi-kerusi Melayu? Adakah UMNO akan mengalah dan memberi laluan pada PKR atau PAN? Pasti UMNO mahu menjadi teraju di Kelantan, Terengganu dan Kedah jika menang.
Persoalannya, apakah PKR dan PAN akan beri lebih kerusi pada UMNO? PAN dahulu bercita-cita mahu gantikan PAS, takkanlah dapat sekadar 10 ke 15 peratus kerusi di sana.
Sementara itu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing juga akan berebut kerusi.
Di negeri-negeri ini, DAP pasti mahu menyapu bersih kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu, masuk akalkah untuk DAP beri laluan walau satu dua kerusi untuk ditandingi MCA dan MIC? Dalam pada itu DAP juga sudah mula menguasai kerusi-kerusi campuran. Ahli-ahli MCA dan MIC dijangka memberontak.
Di Selangor, DAP penyandang kerusi DUN Dusun Tua yang kini 63.03 peratus pengundinya Melayu, selain Sungai Pelek 58.24 peratus Melayu dan Kuala Kubu Baharu (50.30 peratus Melayu). Mahukah DAP korbankan kerusi-kerusi ini kepada PKR dan PAN apatah lagi buat UMNO, MCA atau MIC?
Apakah UMNO tidak mahu berkuasa kembali di Negeri Sembilan? Siapakah yang akan berputih mata nanti?
Kerusi PAS dan Bersatu di Selangor dan Pulau Pinang juga akan jadi rebutan. DUN Sijangkang, Selangor dengan 75.70 peratus Melayu adalah kubu kuat PAS sejak 2008. Adakah UMNO akan bertanding di sana atau PKR atau PAN akan tuntut?
Kerusi DUN Penaga yang dimenangi PAS di Pulau Pinang, adakah PH akan beri laluan pada UMNO atau mereka sendiri mahu? Siapakah akan mengigit jari, sama-sama kita lihat.
DAP sendiri sebelum ini (Utusan Malaysia 21 Febuari 2022) telah umumkan akan bertanding beberapa kerusi majoriti Melayu di Selangor termasuklah DUN Selat Klang (77.54 peratus Melayu) yang kini disandang Bersatu dan DUN Semenyih (71.40% peratus Melayu) yang dimenangi UMNO.
Apakah tuntutan mereka akan dilayan atau adakah UMNO akan dapat atau PKR atau mungkin PAN?
Ternyata kesepakatan antara PH dan BN akan diuji dalam PRN enam negeri ini. Masing-masing mahu tunjuk taring, ahli-ahli UMNO sudah pasti tidak akan mendiam diri kiranya kerusi-kerusi tradisi mereka dirampas untuk ditandingi PKR atau PAN apatah lagi DAP.
UMNO kalah teruk dalam PRU Parlimen baru-baru ini dengan hanya bertahan di 26 kerusi Parlimen seluruh negara, apakah mereka akan semakin mengecil angkara politik PH nanti? PH lah nampaknya yang akan mengkuburkan UMNO, bukan PN – Bersatu atau PAS.
Semoga perkembangan ini membuka mata dan hati penyokong PH dan BN khasnya ahli-ahli UMNO yang sejak kebelakangan ini telah berkorban jiwa dan raga buat pimpinannya namun prestasi UMNO terus merosot dan ditolak rakyat.
Bayangkan UMNO pernah satu ketika dahulu dijulang rakyat kerana di hadapan dalam perjuangan memerdekakan negara tapi hari ini malang ia dipandu dan diarah pihak lain.
Perikatan Nasional diwaktu ini terbukti merupakan gabungan politik yang lebih mantap dan diterima rakyat dengan menguasai 74 kerusi Parlimen.
Perjuangan membela nasib bangsa, agama dan negara mestilah berprinsip dan bermaruah. Ia tidak boleh bersandar pada politik matlamat menghalalkan cara sehingga terpaksa mengorbankan dasar dan prinsip lantaran perjuangan atau agenda peribadi atau mana-mana kelompok tertentu.
Kembalilah ke jalan perjuangan sebenar atau bersedialah digulung “Gelombang Hijau Rakyat”.
Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.