1. Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador membuat kecaman keras terhadap Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang didakwanya banyak mencampuri urusan PDRM terutama yang membabitkan pertukaran pegawai-pegawai pasukan polis.

Tan Sri Abdul Hamid Bador membidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin susulan campur tangan dalam pengurusan Polis Diraja Malaysia.
2. Beliau melontarkan kecaman ini di dalam ucapan terakhirnya di hadapan wakil-wakil media sebelum persaraannya Selasa depan.
3. Hamid Bador tanpa kesipuan lagi mendakwa berlakunya unsur rasuah di kalangan pemimpin politik sehingga berlakunya lompat melompat parti di kalangan mereka yang terbabit. Apakah beliau terlupa kerja melompat parti ini juga berlaku dengan pesatnya semasa Tun Dr Mahathir menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) lagi.
4. Kredibiliti SPP turut disinggungnya dengan mendakwa berlakunya kelemahan di peringkat pengurusan agensi berkenaan termasuk memperlecehkan kononnya SPP sendiri tidak mempunyai pejabat tetap untuk menguruskan hal ehwal pentadbirannya.
5. Semua dakwaan yang dilemparkan itu kelihatannya dituju kepada Hamzah, sekaligus ia memperlihatkan wujud ketegangan dan ketidak serasian di antara mereka selama ini.
6. Tindakan Hamid di akhir khidmatnya ini dilihat tidak bijak kerana beliau begitu terburu dengan emosi yang berbaur dengan sentimen politik sedangkan beliau tidak selayaknya bercakap politik seperti orang politik.
7. Menggesa SPRM menyiasat dakwaan terhadap bossnya sendiri juga menyerlahkan lagi sifat dendam yang tersembunyi dirinya terhadap Menteri Dalam Negeri itu.
8. Hamid dilantik menjadi KPN dalam kerajaan PH pada 4 Mei 2019. Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri ketika itu merasakan khidmat Hamid diperlukan untuk negara walaupun dia telah bersara wajib. Membawanya semula dalam pasukan setelah bersara sebagai Timbalan KPN adalah jalan pintas untuk dirinya mengambil alih jawatan KPN yang sedang disandang oleh Tan Sri Muhamad Fuzi Harun pada masa itu.
9. Sepintas lalu melihat tindakannya yang menuding jari terhadap Hamzah sebelum khidmatnya ditamatkan 3 Mei ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan apatah lagi melihat sejarah kemasukan semula beliau di dlm pasukan adalah atas kehendak Dr Mahathir.
10. Beliau menjadi taruhan Dr Mahathir untuk melengkapkan lagi agenda membenam Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh mantan PM itu. Hamid mungkin tidak terfikir kejatuhan kerajaan PH setelah sifunya Dr Mahathir sendiri meletakkan jawatan PM.
11. Kalau Hamid Bador tidak senang hati dengan Hamzah yang dilantik sebagai Menteri KDN dalam kerajaan PN, seharusnya dia sendiri meletakkan jawatan KPN lebih awal. Tak payahlah menabur buruk sangka mendakwa itu dan ini.
12. Hamid mungkin dilihat cemerlang semasa berkhidmat dalam kerajaan PH, namun dia dilihat bermasalah sejak kerajaan PH tumbang. Kerajaan PN mungkin melihat dia tidak sesuai lagi menerajui PDRM.
13. Apa pun setinggi ucapan tahniah kpd Datuk Seri Acryl Sani bin Abdullah Sani yang telah dilantik Ketua Polis Negara yang baharu. Kepada Hamid, Selamat Bersara!