1) Dakwaan beberapa pihak termasuk mantan Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan dan Naib Presiden AMANAH, Mahfuz Omar yang mempertikai sokongan bersyarat Perikatan Nasional (PN) terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku calon Perdana Menteri ke-9 Malaysia bersifat putar-belit dan hasutan.
2) Kedua-dua mereka mendakwa kononnya sokongan 50 ahli parlimen PN bagaikan tidak menepati kehendak Istana Negara yang mahukan sokongan tanpa syarat terhadap mana-mana calon Perdana Menteri.
Walhal apa yang mereka tidak perincikan ialah arahan Istana Negara itu ternyata untuk individu Ahli-Ahli Parlimen ketika mengisi surat akuan bertulis kepada Yang di-Pertuan Agong, bukannya ditujukan terhadap pendirian kumpulan politik tertentu.
3) Sepertimana rakyat di negara ini, Istana Negara juga terikat dengan Perlembagaan Persekutuan yang tidak menghalang mana-mana kelompok untuk menetapkan apa-apa syarat untuk menyokong mana-mana individu sebagai Perdana Menteri.
Bezanya sama ada syarat itu diumumkan atau tidak saja. Dan syarat pula tidak semestinya berupa ugutan. Memadai sekadar menekankan prinsip serta nasihat.
4) Saya mahu tanya Ambiga dan Mahfuz di manakah salahnya isi kandungan syarat PN terhadap Datuk Seri Ismail Sabri itu? Apakah meminta bakal Perdana Menteri supaya memilih individu yang berintegriti menyertai Kabinet itu salah?
Adakah menyeru prinsip Raja Berperlembagaan itu tidak betul? Yang pasti tiada pun ayat berbaur ugutan terhadap tuan punya badan. Kenapa pula Ambiga dan Mahfuz yang ‘sentap’?
5) Kita tahu akhir-akhir ini ada pihak yang melaungkan istilah kerajaan perpaduan dan Kabinet perang. Sungguhpun ia tidaklah melanggar undang-undang negara namun konsep tersebut tidak pula ditulis secara terperinci dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana hanya prerogatif Perdana Menteri saja yang berhak menentukan jenis kerajaan atau Kabinet yang mahu dibentuk selagi negara ini tidak berada di bawah Mageran dan Parlimen pula masih boleh berfungsi.
6) Alasan kononnya kerajaan perpaduan atau Kabinet perang itu diperlukan demi kestabilan politik juga hanyalah retorik puak yang sebenarnya menjadi punca riuh rendah suhu politik negara ini terutamanya di Parlimen dan media-media.
Mereka yang berkomplot untuk mengoyang dan menjatuhkan kerajaan tetapi mereka yang sama juga acah-acah mahu penyatuan setelah menghidu peluang untuk ke Putrajaya.
7) Jika benar mahu membantu pemulihan negara dari masalah wabak Covid-19 dan kesan ekonomi darinya, kenapa tidak memainkan peranan selaku wakil rakyat serta pembangkang yang membina?
Kenapa dalam Parlimen dan dalam media semua usaha kerajaan dihentam belaka? Tetapi dalam waktu yang sama simpan pula niat untuk menyertai kerajaan PN atas nama kerajaan perpaduan. Ini opportunis dan munafik namanya.
8) Bagaikan terdapat suatu komplot yang senada antara pembangkang (terutamanya Pakatan Harapan) dengan beberapa NGO-NGO dan penganalisa-penganalisa politik anti-PN serta kelompok Kluster Mahkamah untuk memberi tekanan kepada Datuk Seri Ismail Sabri dan Istana Negara agar PM ke-9 nanti terpaksa akur menerima konsep kerajaan perpaduan, yakni tiada lagi pembangkang untuk proses semak imbang di Parlimen.
Apakah mereka mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim diselitkan menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia?
Dr Muhammad Faiz Bin Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia