Saya masih ingat ketika Dr Maszlee Malik menjadi Menteri Pendidikan, dia pernah memberikan markah 9.95/10 kepada dirinya. Saya tidak pasti jika ketika itu dia sedang berjenaka atau serius – apa yang pasti kenyataan ini mendapat kecaman kerana komunikasinya dengan rakyat dilihat lemah.
Selama ini kita tidak mempunyai kaedah untuk menilai wakil-wakil rakyat yang telah dipilih; akibat daripada hal ini, politikus dengan dengan kaedah kempen populis sering dilihat sebagai ahli politik yang baik, padahal mereka tidaklah memberi impak yang besar.
Sudah masanya seseorang memperkenalkan indeks yang berhormat; atau saya lebih suka ia digelarkan sebagai indeks baju hitam, kerana YB-YB ini gemar berbaju hitam tebal walaupun berada di bawah terik matahari.
Yang Berhormat selalu dinilai daripada perwatakan dan kelayakan sebelum dipilih menjadi wakil rakyat
Apabila kita baru berpindah dari sebuah syarikat ke syarikat yang baharu, kita tidak akan dinilai berdasarkan prestasi kita di syarikat terdahulu. Prestasi di syarikat terdahulu mungkin membantu kita untuk mendapatkan kerja baharu, tapi keutamaannya adalah prestasi di tempat baru.
Konsep ini perlu difahami oleh rakyat; seseorang itu mungkin memiliki kelayakan yang hebat sebelum menjadi wakil rakyat, tapi YB harus dinilai melalui kerja-kerjanya semasa menjadi wakil rakyat. Boleh sahaja seseorang sebelum menjadi YB pernah menerajui syarikat besar, seorang ulama, ahli sukan, ahli akademik dll.
Semua gelar dan jawatan sebelum menjadi YB tidak akan memberi jaminan seseorang itu tidak akan menjadi seorang YB yang jadong (jahat, bodoh, sombong).
Kewujudan indeks baju hitam yang saya sebutkan ini akan merangsang YB-YB untuk bekerja sepanjang penggal mereka dipilih. Masalahnya di Malaysia, sering berlaku YB-YB hanya akan muncul ketika musim pilihan raya semakin hampir.
Ketika masa ini tiba, maka kita akan lihat ramai daripada mereka melakukan aksi-aksi yang melucukan – paling popular mereka menjadikan rumah orang miskin sebagai studio untuk bergambar.
Indeks ini akan menyebabkan mereka akan sentiasa dinilai, jika mereka menghilang sepanjang penggal – mereka harus diberikan markah yang rendah.
Sudah tentu persoalan yang sukar berkenaan indeks ini adalah siapa yang akan bertanggungjawab memberikan markah kepada wakil rakyat? Apa jua mekanisme indeks baju hitam ini – ia perlu melibatkan ramai pihak, terutamanya pemegang taruh kawasan yang diwakili oleh YB-YB ini.
Kita boleh meminta rakyat melalui badan-badan bebas untuk melakukan tinjauan, melihat kadar kehadiran ke kawasan, keterlibatan dalam perbahasan di Parlimen dan kriteria-kriteria lain yang difikirkan sesuai. Pada akhirnya, kita mahu wakil-wakil rakyat yang dipilih ini tidak terlalu selesa. Kalau mereka tidak selesa, tak adalah wakil rakyat yang bercuti sampai tiga bulan di luar negara.
Memperkenalkan indeks ini bermaksud kita menjadikan kempen politik lebih objektif
Saya pasti ramai yang muak dengan kaedah kempen pilihan raya yang sering digunakan oleh parti-parti politik – terutamanya mereka yang menggunakan sentimen agama dan perkauman.
Dengan memperkenalkan indeks yang memiliki nilai empirikal seperti ini, kumpulan-kumpulan yang dahulunya bergantung kepada sentimen perlu bekerja keras untuk mendapatkan indeks yang baik.
Para politikus juga tidak boleh sesuka hati untuk mengatakan mereka telah melakukan kerja yang baik tanpa memberikan sebarang bukti – seperti yang biasa berlaku pada hari ini.
Idea indeks baju hitam ini boleh dimurnikan lagi dengan memperkemaskan mekanisme pelaksanaannya, tapi saya ingin tegaskan ia sesuatu yang penting dan mampu mengubah lensa demokrasi di Malaysia.
Saya masih ingat diceritakan seorang rakan – dikatakan dahulu di Eropah, ahli politik akan ditimbang berat badan pada hari pertama menjadi wakil rakyat, jika beratnya bertambah setelah sesinya tamat; dia boleh dituduh mengambil rasuah.
Saya tidak pasti kebenaran cerita ini, apa yang saya pasti adalah memperkenalkan indeks untuk menilai ahli politik kita adalah sesuatu yang diperlukan segera.