Di dalam arena politik, ada pepatah Bahasa Inggeris “no news is bad news” yang membawa erti seseorang ahli politik atau sesuatu isu yang tidak mendapat liputan media merupakan suatu perkara yang buruk.
Dan untuk beberapa bulan kebelakangan ini, bekas Menteri Pakatan Harapan, Khalid Samad, hampir lenyap dari liputan media.
Maklum lah, beliau bukan lagi seorang Menteri, malah telah tumpas di pilihanraya umum ke-15 tahun lepas di Parlimen Titiwangsa kepada Datuk Seri Johari Ghani dari Umno. Bagi pengamal media, Khalid, yang cuma pengarah komunikasi Amanah, tidak membawa banyak nilai berita lagi.
Tetapi minggu lepas, Khalid berjaya menjadi fokus media setelah mengeluarkan kenyataan bahawa Lembaga Pengampunan harus menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan pengampunan di-Raja.
Belum sempat pun Lembaga tersebut menilai permohonan Najib, Umno telah meroyan dan melenting dengan kenyataan Khalid. Sebagai contoh, Umno Kelantan mengugut untuk memutuskan kerjasama dengan parti Amanah di negeri tersebut.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Puad Zakarshi turut menyifatkan kenyataan Khalid sebagai “kawan makan kawan”.
Dalam sekelip mata, Khalid muncul sebagai antara individu yang paling menonjol di media massa selepas kenyataannya mencetuskan krisis dalaman kerajaan perpaduan.
Tetapi tidak sampai pun 24 jam kontroversi ini “meletup”, presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengeluarkan kenyataan bahawa pandangan Khalid bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian parti.
Timbalan presidennya pula, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut memohon maaf kepada Umno kerana kenyataan Khalid telah mengguris perasaan pemimpin parti tersebut.
Begitulah “takutnya” parti Amanah kepada bekas musuh politik, Umno. Amanah hanya mampu mengangguk sahaja dengan kehendak- kehendak Umno sambil menjaga kepentingan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bukankah Amanah sebelum ini pernah memomokkan rakyat bahawa Najib seorang penyamun yang menggondol kekayaan negara menerusi 1MDB? Ramai masih ingat video lucu Mohamad Sabu semasa kempen menjatuhkan Barisan Nasional tentang bagaimana “Najib tanya Najib tanya Najib tanya Najib” untuk mencuri wang 1MDB.
Di dalam politik negara, sudah menjadi lumrah untuk politikus bertukar pendirian demi kelangsungan politik. Kerana dinoda kuasa dan kekayaan, ada sesetengah yang sanggup menipu, membelakangi prinsip dan menggadaikan maruah.
Tetapi Khalid tidak begitu. Walaupun bos-bos parti Amanah telah “cover line” ekoran kontroversi yang dicetuskan oleh Khalid, beliau sendiri tetap dengan pendirian bahawa Najib tidak patut mendapatkan pengampunan di-Raja meskipun ia menimbulkan kemarahan Umno.
Pemimpin politik yang tidak gentar dengan asakan dan ugutan politik seperti Khalid harus disanjungi. Tak kisahlah samada pendirian tersebut mempunyai asas atau merit yang kukuh. Yang penting, seseorang pemimpin politik harus tegas dan tidak mudah goyah.
Persoalannya sekarang adakah Khalid akan hanya membisu setelah mencetuskan kontroversi yang nyaris menjatuhkan kerajaan perpaduan yang berusia tidak sampai enam bulan? Apakah pengarah komunikasi Amanah akan terus bercanggah pendirian dengan pimpinan tertinggi parti tentang isu pengampunan untuk Najib?
Seelok-eloknya, Khalid patut meletak jawatan sebagai ahli Amanah atas dasar prinsip. Yakinlah, pemimpin yang mempunyai prinsip akan disanjung rakyat, tidak kira platform atau parti mana yang diwakilinya.
Imej Khalid telah “up” di kalangan masyarakat umum kerana berpendirian tegas di dalam isu pengampunan Najib. Langkah seterus untuknya adalah meninggalkan parti Amanah. Jika tidak, reputasi Khalid akan jatuh merudum kerana beliau tidak ada beza dari oportunis politik lidah bercabang yang hanya berminat mencari publisiti murahan.
Daniel Mohd Shukri
Petaling Jaya
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.