Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara Bilangan 6 tahun 2021 pada petang ini, dengan tiga kertas dibentangkan.
Mesyuarat bermula dengan taklimat daripada YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan, mengenai perkembangan terkini indikator-indikator berkaitan Covid-19, strategi pemberian dos penggalak (booster) dan langkah pengawalan serta pencegahan varian baharu Omicron.
Mesyuarat seterusnya diberikan taklimat oleh Jawatankuasa Tindakan Khas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengenai isu aliran tunai dan pembiayaan yang diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Mesyuarat juga telah mendengar taklimat daripada Jawatankuasa Tindakan Khas PKS mengenai tenaga kerja yang diterajui Kementerian Sumber Manusia.
Setelah meneliti pembentangan-pembentangan tersebut, Majlis Pemulihan Negara mengesyorkan 3 perkara berikut:
I) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memperkasakan kempen kesedaran ujian saringan Covid-19 kendiri dan mendapatkan suntikan dos penggalak sebagai langkah berwaspada dalam penularan virus Covid-19.
Majlis juga berpendapat perlunya langkah yang proaktif dan lebih ketat dalam mengambil kira kemungkinan ancaman varian Omicron dengan terus mematuhi SOP yang ditetapkan. Ini penting dalam mengimbangi kepentingan kesihatan awam dan ekonomi negara.
II) Setelah meneliti cadangan-cadangan oleh Jawatankuasa Tindakan Khas PKS ini dan secara dasarnya, Majlis bersetuju supaya ia disusuli lebih lanjut.
Dalam hal ini, Majlis turut berpandangan bahawa cadangan-cadangan bantuan kepada sektor PKS perlu lebih bersasar dengan memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang kritikal.
III) Memandangkan isu kekurangan tenaga kerja sering dibangkitkan kepada Majlis, maka Majlis mensyorkan agar pengambilan tenaga pekerja asing juga perlu diperluaskan untuk sektor-sektor ekonomi selain peladangan untuk memastikan sektor-sektor ekonomi yang telah dibuka semula ini dapat beroperasi dengan kapasiti pra-pandemik.
Dalam hal ini juga, pelaksanaannya perlu juga disegerakan dan terselaras agar tidak timbul kesulitan kepada pihak industri yang sedang dalam proses pemulihan. Namun, Majlis menyarankan agar Jawatankuasa Tindakan Khas PKS mencari penyelesaian untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dalam jangka masa panjang.
Dengan segala cabaran yang telah kita hadapi dalam tahun 2021, di penghujungnya ada sinar harapan. Selaras dengan pembukaan semula ekonomi negara seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara, indikator-indikator utama ekonomi semakin menunjukkan momentum pemulihan yang mengalakkan bagi suku tahun keempat 2021. Petunjuk keyakinan perniagaan bagi suku tahun keempat 2021 turut bertambah baik.
Majlis optimistik bahawa momentum pemulihan ini akan berterusan memasuki tahun 2022.
Proses pemulihan negara ini perlu diperkukuhkan lagi dengan memastikan semua dasar dan inisiatif pemulihan yang telah diumumkan di bawah Bajet 2022 dilaksanakan dengan segera, terselaras, cekap dan berkesan. Dalam hal ini, Majlis akan terus menyokong usaha Kerajaan dalam memulih semula dan meningkat daya tahan semua segmen sosioekonomi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara
17 Disember 2021