Saya mendengar beberapa kali kenyataan Tan Sri Abdul Hamid Bador tentang isu rasuah politik. Ianya satu kenyataan yang saya rasa wajar di ambil perhatian serius kerana datang daripada pegawai tertinggi PDRM:
Beliau berkata, “saya melawan rasuah dalam PDRM dan saya lihat politik rasuah berlaku merata-rata tempat. Why cant they think about it? mabuk kuasa, sanggup melakukan perbuatan membeli sana, mengugut orang ini, itu rasuah nama dia”.
1. Ini adalah kenyataan yang sangat serius datang daripada IGP. Sebagaimana kita tahu sebelum PRN Sabah, kita tahu terdapat gerakan pada masa itu yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan Perikatan Nasional untuk membeli dan mengugut para pemimpin dalam Warisan Plus di Sabah.
Tekanan diberikan menggunakan jabatan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, SPRM dan lain-lain. Masih ingatkah lagi kes yang melibatkan seorang YB yang diintip hingga ke rumah hingga mendorong YB tersebut membuat laporan polis?
Tidak lama selepas itu, rumah beliau di datangi pegawai LHDN?
2. Tidak cukup dengan tekanan, proses beli dan ugut juga telah dimulakan malah kita di kejutkan dengan pembebasan mengejut Tan Sri Musa Aman daripada 42 tuduhan rasuah tanpa melalui perbicaraan mahkamah. Tidak lama selepas itu berlaku gerakan besar-besaran pada masa itu heboh yg dikatakan didalangi oleh Tan Sri Musa malah di khabarkan telah membuat tawaran-tawaran terhadap wakil-wakil rakyat Warisan, PKR dan DAP dan terdapat laporan polis dibuat pada masa itu oleh YB-YB yang didatangi oleh para ejen dan sehingga ke hari ini, laporan polis tersebut tiada satu pun yang diambil tindakan.
3. Di antara pemimpin yang kerap turun ke Sabah menggunakan jet peribadi ketika itu tidak lain tidak bukan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Tiba-tiba ada seorang sudah melompat. Dari mana datangnya duit? Adakah IGP merujuk kepada Hamzah Zainuddin yang mana umum mengetahui, lawatan Hamzah Zainuddin ke Sabah membawa kepada sidang media dan pengumuman pertama yg dibuat oleh dua orang YB pada masa itu mengumumkan sokongan kepada PN.
Diikuti oleh beberapa siri lawatan beliau ke Sabah menggunakan jet peribadi, pertemuan dengan Tan Sri Musa Aman juga telah mengakibatkan kemasukkan beramai-ramai YB kepada pasukannya menyebabkan Shafie terpaksa membubarkan DUN.
4. Menyentuh tentang ugutan yang disebut oleh IGP, umum mengetahui beberapa kes rasuah melibatkan beberapa pemimpin daripada kalangan PH telah dimulakan. Tekanan diberikan dan akhirnya beberapa siri lompatan berlaku. Persoalannya, hasil daripada lompatan tersebut, tiba-tiba siasatan terhadap para pemimpin tersebut menjadi senyap.
Apa status kes-kes ini? Oleh itu, kita ingin lihat agar siasatan terhadap kes-kes berprofil seperti kes rogol melibatkan bekas pemimpin DAP yang telah melompat ke PN, kes melibatkan kementerian yang dipimpin oleh YB Dr. Xavier perlu di teruskan walaupun beliau telah melompat ke PN.
Adakah ini yang di maksudkan oleh kenyataan IGP tentang tekanan diberikan kepada individu tertentu?
5. Kenyataan IGP tentang “bagaimana boleh wujud katak di sini dan katak di sana?” memberi gambaran bahawa budaya membeli YB adalah sesuatu yg dibolehkan dalam politik malaysia walhal realitinya, ini adalah budaya rasuah yang tidak sewajarnya berlaku dalam politik negara kita.
Ini juga adalah satu kenyataan yang sewajarnya disiasat oleh SPRM kerana selaku ketua PDRM, Tan Sri Abdul Hamid Bador pastinya mengetahui sesuatu yang mana SPRM wajar siasat. Apa tindakan SPRM terhadap kenyataan yang cukup serius daripada IGP ini?
Selaku bekas timbalan menteri dalam negeri, saya bersetuju dengan saranan Tan Sri Abdul Hamid Bador, Pengerusi SPP perlu diketuai oleh seseorang yg mempunyai kredibiliti dan integriti dan tidak dipengaruhi oleh kuasa-kuasa politik malah bukan PDRM sahaja malah agensi-agensi penguat kuasa yang lain juga sewajarnya dipimpin oleh seseorang yang tidak di mpengaruhi oleh kuasa politik bagi memastikan ianya bebas daripada tekanan politik atau digunakan sebagai alat untuk kepentingan politik parti pemerintah.
Kedua, kenyataan Tan Sri Abduls Hamid Bador juga wajar dijadikan sebagai asas di mana kes-kes yang dilepaskan sebelum ini wajar dibuka semula terutama yang melibatkan Tan Sri Musa Aman yang ternyata mengejutkan ramai pihak kerana beliau dibebaskan sebelum perbicaraan dimulakan.
Adakah pembebasan tersebut ada kaitan dengan gerakan politik untuk menjatuhkan kerajaan Warisan yang mana ketika itu memilih untuk tidak menyokong kerajaan PN walaupun setelah dipaksa dan dipujuk untuk berbuat demikian?
Ketiga, kes-kes melibatkan bekas-bekas pemimpin PH yang telah melompat ke PN yang tiba-tiba menjadi senyap setelah mereka beralih arah amat WAJAR DIBERI PERHATIAN DAN PALING PENTING DITERUSKAN kerana kita tidak ingin memberi gambaran bahawa mana-mana pemimpin yang telibat dengan kesalahan jenayah dan sedang dalam siasatan hanya perlu menyokong kerajaan yang memerintah bagi memastikan kes mereka didiamkan.
Datuk Mohd Azis Jamman
Ahli Parlimen Sepanggar
1 Mei 2021