Kempen bendera putih tanda solidariti rakyat saling tolong-menolong

Baru-baru ini, seorang kolumnis Bloomberg, Daniel Moss, telah menerbitkan satu artikel berjudul “Malaysia Is Staggering Down the Road to Failed Statehood’, yang mana menurut pandangan kami adalah berat sebelah, tidak menceritakan perihal sebenarnya serta boleh merosakkan pandangan masyarakat mengenai imej baik Malaysia.

Kami di sini ingin memberikan pandangan yang lebih seimbang.

Pertama sekali, negara gagal adalah sebuah negara di dalam kekacauan dengan sistem kesihatan yang tidak berfungsi, agensi-agensi kerajaan dengan budaya makan suap yang tiada penghujungnya, kemudahan prasarana yang parah dengan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) yang amat rendah. Tiada satu pun ciri-ciri ini ada pada Malaysia.

Inisiatif bendera putih ini tidak berkait langsung untuk menggambarkan Malaysia adalah sebuah negara yang menuju kegagalan. Inisiatif ini adalah bukti dan manifestasi bahawa rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum serta agama, saling membantu dan menyayangi di antara satu sama lain. Perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini adalah resepi utama kenegaraan Malaysia yang dicemburui kebanyakan negara-negara di dunia.

Sekiranya Malaysia benar-benar menuju kegagalan, majoriti warganya akan tersungkur ke kancah kedaifan dalam waktu terdekat dengan seluruh negara dibelenggu kekacauan tidak berkesudahan. Namun, kerajaan yang mentadbir masih lagi kekal menerajui Malaysia walaupun terdapat usaha-usaha untuk menjatuhkannya. Malaysia diiktiraf sebagai negara yang stabil pada tahun 2020 menurut ‘Fragile State Index’ terbitan majalah Foreign Policy.

Walaupun Malaysia berhadapan wabak ini, kadar kemiskinan di Malaysia kekal di bawah 10% daripada keseluruhan penduduknya pada tahun 2020.

Agensi-agensi kerajaan Malaysia masih beroperasi dan berfungsi dengan cekap, terutamanya sistem kesihatan yang sedang berusaha memerangi Covid-19. Kedua-dua Kementerian dan Jabatan Kesihatan Malaysia bekerja seiringan dengan pelbagai agensi dan pertubuhan lain dalam memastikan kesemua pesakit Covid-19 dirawat dengan baik tanpa ada yang tercicir.

Pada awalnya, Malaysia telah berjaya membendung penularan wabak ini. Ketika negara-negara dunia pertama seperti United Kingdom (UK), Itali, Amerika Syarikat dan Perancis berhempas pulas melawan virus bahaya pada Julai tahun lalu, Malaysia telah berhasil membebaskan diri dengan kadar jangkitan sifar.

Menjelang November 2020, Reuters melaporkan bahawa UK telah gagal dalam peperangan melawan wabak ini apabila jumlah kematian melepasi 50,000. Meskipun majoriti rakyat UK sudah divaksinasi, negara tersebut pada hari ini merekodkan lebih 128,000 kematian dengan kes kebolehjangkitan melebihi 545,000. Malaysia pula pada hari ini telah merekodkan 6000 kematian dengan 81,000 kes aktif.

Negara UK kekal sebagai salah sebuah negara dengan kes Covid-19 tertinggi di dunia. Varian baru kini sedang perlahan-lahan menular di negara tersebut dan berpotensi melumpuhkan seluruh Eropah.

Berdasarkan laporan the Guardian tahun lalu, sebanyak 700,000 rakyat Britain telah dilaporkan tersungkur ke kancah kedaifan akibat Pandemik ini. Perlu diingat bahawa UK adalah sebuah negara dunia pertama yang memiliki kekuatan ekonomi yang tidak dimiliki Malaysia. Berdasarkan fakta-fakta yang telah disebutkan ini, adilkan untuk seseorang untuk membuat kesimpulan bahawa UK adalah sebuah negara gagal?

Di sebalik tuduhan 1MDB dan pelbagai tohmahan kleptokrasi, Malaysia telah berjaya untuk mendatangkan wang simpanan sebanyak RM2 trillion – suatu fakta tak tersangkal yang diakui sendiri bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum beliau meletakkan jawatan secara sukarela pada awal 2020. Bagaimana mungkin sebuah negara gagal yang ditadbir kerajaan yang mengamalkan kleptokrasi berjaya menyimpan wang sebanyak itu?

Kerajaan-kerajaan yang banyak mengamalkan kleptokrasi adalah seperti kerajaan-kerajaan pimpinan Mobutu Sese Seko di Zaire (kini Congo) dan Jean Bedel Bokassa di Republik Afrika Tengah. Sebagai contoh, Mobutu Sese Seko telah membelanjakan wang negara untuk membina istana peribadinya di kota Gbadolite siap dengan lapangan terbangnya sendiri.

Jean Bedel Bokassa pula telah berbelanja sakan melebihi 1/3 KDNK negaranya untuk penabalan beliau sebagai ‘Maharaja Republik Afrika Tengah’ pada tahun 70an mengakibatkan kedua-dua negara kini menjadi antara yang paling miskin di dunia.

Keadaan ini bukanlah sesuatu yang lazim di Malaysia, yang merupakan antara salah sebuah negara yang memiliki ekonomi paling kompetitif di dunia, menurut Forum Ekonomi Dunia. Rakyat Malaysia juga menikmati kemudahan infrastruktur yang cukup moden dan memuaskan, meskipun terdapat beberapa kelemahan. Jauh sekali bagi Malaysia untuk disenaraikan sebagai salah sebuah negara termiskin di dunia seperti Congo dan Republik Afrika Tengah.

Walaupun Malaysia kini berperang dengan kes harian jangkitan Covid-19 yang tinggi, ini walaubagaimanapun, harus diimbangkan dengan jumlah warga yang divaksinasi setiap hari.

Kolumnis Bloomberg berkenaan, Daniel Moss, gagal untuk menyedari bahawa Malaysia kini telahpun meningkatkan kadar vaksinasi dengan 10% penduduknya telah divaksinasi sepenuhnya dalam jangka masa sebulan. Kadar vaksinasi juga telah meningkat dari hari ke hari dan dijangka mencapai imuniti kelompok dalam masa beberapa bulan yang terdekat.

Di sebalik wabak ini, projek-projek mega seperti MRT2, LRT3 dan lebuhraya-lebuhraya baru di Lembah Klang, antaranya, masih dibangunkan dengan aktif. Menurut laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Malaysia pada tahun 2020 telah merekodkan HDI yang amat tinggi, setanding negara-negara maju yang lain. Ini bukanlah ciri-ciri sebuah negara gagal

Oleh itu, agak keterlaluan bagi kolumnis berkenaan untuk melabelkan Malaysia sebagai negara yang menuju kegagalan, hanya kerana kempen bendera putih yang sedang dijalankan di Malaysia. Kempen ini menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia saling membantu dan saling menjaga, walau apa pun rintangannya.

Malaysia negara gagal? Jauh panggang dari api.

Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli dan Dr. Fareed Mohd Hassan adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Dr. Mohd Hazmi juga adalah felo bersekutu kanan di Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.