
Data Tanah Rizab Melayu sehingga 2014.
Saya sudah banyak kali menulis dan membawakan cadangan-cadangan mengenai isu Tanah Rizab Melayu kepada semua kerajaan yang memerintah, sama ada BN pra-PRU15, PH, PN dan BN pasca PRU14. Kini, saya membawakannya pula kepada kerajaan PH pasca PRU15 pula.
Pertama sekali, kita perlu memahami bahawa ksu Tanah Rizab Melayu (TRM) adalah isu yang besar dan penting kerana jumlah tanah berstatus demikian berkurangan dengan mendadak daripada lebih 50 peratus suatu ketika dulu kepada hanya 12 peratus atau kurang pada ketika ini.
Pelbagai isu dan masalah yang telah dibongkarkan di mana isu kehilangan dan penyusutan TRM berpunca daripada daripada sikap tamak atau kapitalistik pemilik-pemilik Melayu dan kelemahan pengurusan oleh pihak-pihak kepentingan iaitu pentadbiran tanah negeri-negeri.
Oleh itu dicadangkan kepada pihak kerajaan untuk :-
1. Membentuk sebuah suruhanjaya khusus bagi menyiasat dan menyemak kedudukan sebenar TRM dan mengenakan tindakan saman atau denda kepada mana-mana pihak yang menggadaikan TRM tanpa mengira kedudukan dan pangkat.
2. Memansuhkan kuasa pihak ketiga terhadap mana-mana tanah milikan orang Melayu yang diserahkan kepada mereka dalam bentuk dengan memberikan PA. Ini termasuk kepada TRM yang dimiliki oleh pihak lain tetapi mendaftar atas nama orang melayu sebagai “proksi”
3. Menggantikan segera semua TRM yang hilang dengan tanah-tanah lain yang sama tara, sama taraf dan sama nilai seperti yang termaktub dalam peruntukan Kanun Tanah Negara 1966.
4. Menyediakan peruntukan RM10 billion setiap tahun selama 10 tahun melalui agensi dan GLC seperti UDA, Tabung Haji, PNB, Petronas, MARA dll bagi membeli tanah-tanah yang strategik dan menukarkan statusnya kepada TRM.
5. Menukarkan status tanah-tanah yang ada di tempat-tempat yang strategik tanpa perlu membeli, kepada TRM. Ini boleh dilakukan oleh kerajaan seperti dalam peruntukan undang-undang.
6. Membentuk satu Lembaga Amanah TRM untuk menjadi sebuah badan bebas yang diberi kuasa menurut undang-undang Persekutuan untuk mentadbir, mengurus dan membangun Tanah Rizab Melayu. Perlantikan ahli Lembaga ini tidak boleh diberikan kepada orang politik.
7. Melaksanakan segera semua cadangan yang diberikan oleh Ketua Audit Negara di dalam laporannya pada 2013 mengenai TRM.
8. Mengazetkan Kampung Bharu sebagai TRM bagi memastikan ia kekal milik orang Melayu.
Mungkin ada sudah jemu dengan apa yang ingin saya perjuangkan ini, namun saya tidak pernah berasa jemu demi masa hadapan anak bangsa saya.
Saya sangat mengharap agar kerajaan kali ini dapat mempertimbangkan cadangan-cadangan ini. Tetapi jika tidak, saya akan terus istiqamah memperjuangkannya lagi.
Jika benar kerajaan terutamanya Perdana Menteri kisah mengenai bangsa dan maruah orang-orang Melayu, tolonglah sahut seruan ini.
Janganlah kita biarkan tergadai lagi tanah-tanah ini. Fikirkanlah anak bangsa kita pada waktu hadapan. Fikirkanlah perit jerih nenek moyang kita.
Jika kita sudah tidak peduli, boleh jadi anak dan cucu cicit kita sendiri akan menjadi penggadai tanah-tanah ini. Fikir-fikirkanlah.
Aminuddin Yahaya
Gagasan Bangsa
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.