Penganut agama Buddha baru sahaja meraikan Hari Wesak yang memperingati kelahiran pengasas agama, Siddharta Gautama; pencapaian kecerahan agung beliau dan kemangkatannya. Di dalam agama Buddha – dan juga beberapa lagi ajaran lain yang berasal dari India seperti Hindu – konsep “karma” adalah antara prinsip asas kepercayaan penganut-penganut tersebut.
“Karma” adalah perkataan Sanskrit yang membawa maksud “perbuatan”. Tetapi dalam konteks ajaran agama-agama seperti Buddha dan Hindu, ia membawa maksud “balasan”. Dalam bahasa mudah, perbuatan (termasuk kata-kata) yang baik dan bermanfaat akan membuahkan balasan baik, dan begitu juga sebaliknya.
Sebagai contoh, seorang pencuri akan dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal, manakala seorang dermawan yang ikhlas akan disanjung oleh masyarakat, dan mendapat pahala, samada di hayat ini, atau hayat seterusnya (penganut Buddha dan Hindu percaya kepada kelahiran semula atau reincarnation).
Setiap insan tidak boleh lari dari karma, termasuk ahli-ahli politik. Tetapi, apakah karma dapat menjawab punca pergolakan politik yang melanda negara sejak pilihanraya umum ke-15 (PRU15) tahun lepas?
Kini, khabar angin kencang bertiup mengatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijatuhkan tidak lama lagi apabila beberapa Ahli Parlimen menarik sokongan mereka terhadap Kerajaan Perpaduan.
Malah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menyuarakan kebimbangan baginda dengan desas-desus berkenaan kestabilan kerajaan. Kebimbangan baginda memang mempunyai asas yang kukuh.
Apakah ketidakstabilan politik negara kini adalah juga disebabkan karma? Untuk cuba menjawab persoalan ini, kita perlu menyingkap sejarah kejatuhan dan kenaikan kerajaan di luar pilihanraya di Malaysia.
Hakikatnya, di dalam sejarah politik negara, usaha menarik sokongan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pihak lawan untuk menjatuhkan kerajaan bukanlah suatu perkara yang baharu.
Contohnya pada tahun 1994, Parti Bersatu Sabah (PBS) telah memenangi pilihanraya negeri yang diadakan pada Feb 18 dan 19. Tetapi, beberapa ADUN PBS telah lompat parti sejurus selepas pilihanraya tersebut, mengakibatkan Datuk Seri Pairin Kitingan, yang baru sahaja mengangkat sumpah jawatan, disingkirkan sebagai Ketua Menteri.
Dalang dalam komplot meraih sokongan “katak-katak” dari PBS tersebut adalah tidak lain, tidak bukan, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Empat belas tahun kemudian, Anwar yang pada ketika itu pemimpin pembangkang, sekali lagi cuba menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional. Pada ketika itu, BN berada di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang baru sahaja kehilangan majoriti dua-pertiga Dewan Rakyat semasa pilihanraya, untuk buat pertama kali sejak 1969.
Dengan laungan “I have the numbers” (saya mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi), Anwar secara terang-terang menyuarakan keyakinan yang kerajaan BN akan tumbang menjelang Sept 16, 2008, iaitu kira-kira enam bulan selepas PRU. Dakwanya, ramai Ahli Parlimen BN akan berpaling tadah dan menyokongnya sebagai Perdana Menteri. Tarikh itu tiba dan berlalu, dan kata-kata besar Anwar sebelum ini cuma tinggal “sembang kari” semata-mata.
Pada Sept 2020, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, Anwar sekali lagi cuba menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi kaedah memancing Ahli Parlimen pihak lawan.
Sekali lagi, Anwar mendabik dada dengan dakwaan bahawa beliau memiliki “strong, formidable, convincing majority” (majoriti kuat, hebat dan menyakinkan) untuk membentuk kerajaan baharu.
Tetapi cita-cita beliau tidak kesampaian apabila Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Yang Di-Pertuan Agong tidak menerima senarai ahli-ahli Parlimen yang menyokong Anwar di dalam majlis menghadap.
Pada tahun berikutnya, selepas perletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kesembilan, Anwar sekali lagi menyatakan “I have the numbers”. Keyakinan Anwar bersandarkan kepada keyakinan beliau terhadap sokongan dari beberapa Ahli Parlimen “kluster mahkamah” pihak lawan seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Malangnya, mimpi Anwar ketika itu hanya tinggal mimpi sahaja – sehingga Nov tahun lepas apabila PH memenangi 82 buah kerusi Parlimen dan beliau dinobatkan sebagai PM kesepuluh.
Natijahnya, di dalam sejarah politik moden Malaysia, Anwar adalah individu yang paling licik dan kerap berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan dengan meraih sokongan pihak lawan, dan bukan menerusi pilihanraya umum.
Kini Anwar, sebagai Perdana Menteri, berdepan dengan permasalahan yang pernah direncanakan sendiri oleh beliau untuk pihak lawan di masa lampau. Apakah ini karma?
Adakah komplot menjatuhkan Anwar sekarang balasan ke atas usaha-usaha lepas beliau yang melangkau prinsip dan semangat demokrasi? Apakah kini senjata makan tuan? Adakah sejarah pentas politik negara telah berulang tetapi dengan watak-watak bertukar tempat?
Tiada siapa pun yang dapat menjawab persoalan-persoalan ini dengan pasti. Mungkin karma telah memainkan peranan dalam pergolakan politik di Malaysia. Mungkin pahala dan balasan dari perbuatan baik dan buruk sedang tertunda atau terlewat. Atau mungkin karma sedang sibuk mengejar politikus-politikus yang membelot untuk kepentingan peribadi mereka, siapa tahu?
Yang pasti, setiap politikus akan berhadapan dengan karma mereka sendiri mengikut masa yang telah ditakdirkan. Dan bila saat itu tiba, setiap insan akan mendapat balasan setimpal untuk perbuatan atau kata-katanya di masa lampau, tidak kira baik ataupun mudarat.
Chew Kwang Yew
Pembaca Agenda Daily
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.