‘Traffic Jam’ dah jadi macam perkataan Melayu sebab semua orang termasuk makcik dan pakcik di kampung pun cakap ‘traffic jam’ kalau dia orang bercakap pasal kesesakan jalan raya.
Masalah ‘traffic jam’ khasnya di negeri-negeri tertentu terutamanya di Kuala Lumpur yang bertambah teruk kebelakangan ini langsung takde siapa yang nak fikir cara mengatasinya.
Dengar sini…. Kalau aku jadi ‘Menteri Traffic Jam’, aku akan jadikan tujuh hari seminggu sebagai hari bekerja secara bergilir-gilir untuk menggurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.
Mengapa rigid sangat tetapkan lima hari bekerja yang menyeksakan sedangkan ada dua hari lagi yang tidak digunakan sepenuhnya. Mengapa semua orang nak cuti hari Sabtu dan Ahad?
Di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, takde masalah pun kerja hari Ahad. Di negeri-negeri ini pulak, jika perlu, ada kumpulan yang dibenarkan bekerja pada hari Jumaat, jika tujuannya untuk mengurangkan traffic jam.
Mungkin ada yang berkata Sabtu dan Ahad orang buat majlis kahwin. Tak semestinya. Kahwin lah hari lain, apa salahnya. Kalau majlis itu hari bekerja datanglah pada waktu makan tengah hari. Lagi jimat belanja.
Waktu bekerja dan balik pula dilakukan secara berperingkat supaya mereka tidak keluar dan balik serentak sebagaimana sekarang. Ada masuk jam 8.00 pagi, 10.00 pagi dan 12.00 t/hari. Contoh, kalau masuk jam 12.00 t/hari sekali pun balik pukul 8.00 malam.
Sebelum ini pun jika mereka balik pukul 5.00 petang sekali pun pun sampai rumah pukul 8.00 atau 9.00 malam juga sebab sangkut di jalan raya. Jadi, mereka boleh uruskan anak sekolah sebelah pagi dulu. Lagi jimat masa.
Pasar basah hanya dibuka jam 9.00 pagi selepas orang bekerja jam 8.00 pagi masuk kerja atau selepas hantar anak ke sekolah.. Jadi, kumpulan ini tak bertembung.
Pusat beli-belah atau mall hanya dibuka pada jam 12.00 tengah hari supaya tak bertembung dengan orang yang masuk kerja pukul 10.00 pagi. Selama ini pun orang datang ke mall tengah hari. Tutup mall pukul 12.00 malam sebab dibuka dua jam lewat daripada biasa.
Kementerian termasuk perkhidmatan di kaunter boleh buat sistem bekerja macam kerja di kilang. Bank pun sama kecuali Jabatan yang ada hubungan transaksi dengan luar negara.
Rawatan kesihatan di hospital boleh dibuat secara berperingkat dan masa perkhidmatan boleh dipanjangkan mengikut kesesuaian.
Kalau penyuraian traffic boleh dilakukan dengan perubahan waktu bekerja, masalah traffic jam boleh dikurangkan.
OK lah aku bagi sikit dulu. Senang-senang nanti, aku bagi lagi.
Kalau idea aku munasabah, kau orang boleh sokong dan tokok tambah. Kalau idea aku mengarut, kau orang boleh sama-sama belasah.
Itu sahaja
Mior Kamarul Mior Shahid
Bekas Ketua Pengarang
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.
Berita tepat dan menyeluruh.