Kelmarin, timbul satu isu berkenaan dengan dakwaan seorang pelajar atas galakan perbuatan rogol oleh seorang guru lelaki di sekolah terbabit.
Ia telah menimbulkan kekesalan serta kegusaran masyarakat terhadap tingkah laku ini yang semakin membimbangkan dari sehari ke sehari.
Budaya bermudah-mudah mengeluarkan perkataan-perkataan lucah ini dianggap jijik dan bertentangan dengan tuntutan Allah SWT terhadap penjagaan mulut oleh setiap orang yang beriman.
Dari Abu Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda;
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam. (Riwayat Bukhari)
Oleh itu, mengeluarkan kata-kata lucah adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Nabi Muhammad SAW membawa ajaran agama Islam melalui wahyu daripada Allah SWT telah mengangkat martabat manusia sebagai sebaik-baik makhluk ciptaanNya.
Para wanita yang ketika di zaman Jahiliyyah, mereka dijadikan bahan permainan kaum lelaki tanpa punya harga diri telah dibela dengan turunnya ayat-ayat hukum untuk memelihara kehormatan dan maruah wanita.
Mereka adalah golongan yang penuh dengan kelembutan dan kecantikan maka Islam meletakkan mereka pada tempatnya yang teristimewa.
Maka apakah setelah itu, manusia kembali menjadi jahil dengan mempermain-mainkan wanita samada secara terang-terangan atau tersembunyi itu adalah satu akhlaq yang mulia?
Oleh itu, SIGMA menyarankan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian khusus oleh pihak-pihak tertentu:
1. Ibu bapa merupakan madrasah pendidikan pertama anak-anak yang akan melahirkan generasi masyarakat di masa hadapan. Oleh itu, mereka hendaklah sentiasa memantau perkembangan psikologi anak-anak serta mewujudkan biah solehah yang membentuk peribadi yang baik.
2. Institusi pendidikan pula tidak terkecuali kerana ia merupakan salah satu institusi yang akan melahirkan anak bangsa dalam membina ketamadunan masyarakat dan negara. Oleh itu, mereka hendaklah sentiasa memastikan integriti pendidik anak bangsa dipantau.
3. Pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula disarankan agar segera mengambil tindakan yang sewajarnya keatas isu-isu yang kian liar berlegar kini supaya hak wanita dan masyarakat terpelihara daripada anasir-anasir yang membimbangkan ini.
Menerajui siswi sejahtera
Nur Amirah Mohd Yahya
Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi (Sigma)