1. Tulisan ini hanya khusus untuk mereka yang mahu membaca. Kepada Cybertroopers Jajaran Baru boleh ‘skip’ tulisan panjang ini dan terus kepada bahagian komen menjalankan tugas anda.
2. Saya dapati sejak beberapa hari ini terdapat usaha untuk meletakkan kekecohan sokongan UMNO kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerjasama dengan DAP ke atas DYMM Seri Paduka Baginda, Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah.
3. Ada pemimpin Umno dan penyokong mereka yang menjawab UMNO terpaksa mengadakan kerjasama ini kerana titah YDPA untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
4. Seolah-olah UMNO tiada pilihan kecuali bekerjasama dengan Anwar dan DAP atau menderhaka kepada YDPA. Adakah ia benar atau ini satu lagi pendustaan politik?
5. Alasan untuk mengkambinghitamkan institusi YDAP ini tidak harus berlaku kerana usaha untuk mengadakan kerjasama jajaran baharu ini bukan baharu. Ia bermula sejak Oktober 2020 lagi. Ini telah pun diketahui oleh Istana Negara.
6. Kita lupakan sejarah.
7. Kita lupakan semua surat taat setia kepada Anwar Ibrahim oleh DS Ahmad Zahid, akuan bersumpah penggal lepas dan panggilan telefon yang membuat penjelasan kepada Anwar mengapa UMNO terpaksa luluskan ketetapan No Anwar, No DAP dan Tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU.
8. Kita lihat fakta hari ini!
9. Apabila keputusan PRU-15 diumumkan, hanya ada dua calon Perdana Menteri yang boleh menubuhkan kerajaan. Anwar Ibrahim (82 kerusi) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (73 kerusi). Kedua-dua mereka mendakwa ada sokongan mencukupi.
10. Di hadapan YDPA dan juga dalam mesyuarat Barisan Nasional kemudiannya telah terbongkar dua perkara berikut:
– Muhyiddin mempunyai cukup 115 ahli Parlimen bersama beliau. Ini termasuk 10 orang ahli Parlimen BN.
– Anwar mempunyai sokongan 112 Ahli Parlimen iaitu melalui PH 82, dan surat Pengerusi Barisan Nasional menyatakan sokongan 30 orang Ahli Parlimen BN kepada Anwar.
11. Benar ada 10 orang ahli Parlimen BN membuat keputusan menyokong Muhyiddin kerana mereka tahu pilihan hanya antara PN dan PH. Mereka juga tahu telah ada usaha menjual parti sejak sebelum PRU kepada Anwar.
12. Mereka mesti berbuat sesuatu menghalang keadaan ini. Mereka juga menggunakan hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika parti tidak berpuas hati boleh gantung atau pecat mereka.
13. Manakala surat Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN telah menyatakan sokongan 30 ahli Parlimen BN kepada Anwar tanpa sebarang mesyuarat dan keputusan bersama Ahli-Ahli Parlimen BN.
14. Sama ada beliau salah atau tidak ia di pentas lain untuk dibahaskan.
15. Namun inilah bukti penting bahawa kerjasama UMNO-Anwar dan DAP telah dirancang oleh pimpinan UMNO sebelum cadangan kerajaan perpaduan oleh YDPA.
16. Dalam masa yang sama kerjasama dengan Dap telah berlaku di DUN Perak dengan restu Presiden UMNO. Ini juga berlaku sebelum sebarang pertemuan dengan YDPA.
17. Keputusan MKT UMNO kemudiannya, sebelum pengumuman Perdana Menteri, juga jelas menyatakan hanya bersetuju menyertai kerajaan perpaduan yang tidak dipimpin oleh Perikatan Nasional. Jadi bukan PN pastilah PH.
18. Mereka berkata terpaksa adakan kerjasama kerajaan Perpaduan dengan DAP kerana titah tuanku.
19. Namun MKT Umno jelas memberi syarat kepada Istana Negara bahawa kerajaan perpaduan boleh dibuat dengan syarat bukan PN.
20. Jadi mengapa menjual nama YDPA untuk menghalalkan keputusan bekerjasama dengan DAP?
21. Jika hendak adakan kerjasama mengaku sahaja, cari sahaja alasan demi rakyat atau negara, bukannya cuba kaitkan dengan titah dan derhaka.
22. Sudah bentuk kerajaan bersama, fikirlah untuk bangunkan negara ini, bukannya mencari alasan menipu orang Melayu.
Ab Jalil Backer
Penulis merupakan seorang aktivis politik dan banyak mengulas berhubung isu semasa dan politik negara
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.