Beberapa pihak khususnya parti tertentu tidak berpuas hati apabila saya menjawab soalan tentang isu-isu kaitan agama yang menimbulkan persepsi negatif rakyat di bawah pentadbiran yang lepas.
Ini semasa saya menjawab soalan moderator semasa program SEMBANG SANTAI beberapa hari lalu. Saya mulanya enggan memanjang sub tajuk ini. Ia bukan isu pokok. Namun, memandang beberapa pemimpin AMANAH mengulas termasuk YB Dr Mujahid sendiri, maka di sini saya ingin meringkaskan jawapan balas.
Latar isu ialah; semasa menjawab soalan menjawab soalan tentang isu-isu di bawah Menteri Agama yang lepas, saya menyebut: “Saya bagitahu menteri berkenaan…yang transgender you panggil datang, yang pendakwah ini kalau tak setuju pun panggillah datang. Masa itu tidak mahu, masa tu tak nak”.
Kenyataan ini dianggap sebagai satu tuduhan kepada Dr Mujahid kerana dalam laporan pada 13 Mac 2019 Dr Mujahid bertemu dengan Dr Zakir Naik.
Penjelasan:
1. Pertemuan Dr Mujahid dengan Nisha Ayub pada pada 11 Ogos 2018. Ketika itu timbul kenyataan mereka boleh menggunakan tandas wanita dan isu YB Menteri menggunakan ungkapan ‘she’ merujuk kepada Nisha. Umat Islam ramai yang membantah sehingga terpaksa ditarik balik kenyataan.
2. Pada Bulan Julai dan seterusnya 2018, isu Dr Zakir Naik menjadi begitu panas. Pemimpin-pemimpin PH khususnya DAP menggesa Dr Zakir Naik diambil tindakan. Mereka mahu Dr Zakir Naik ditangkap dan dihantar pulang ke India.
3. Saya dan beberapa tokoh serta NGOs membantah pemimpin-pemimpin PH yang terlibat ingin mengambil tindakan pada Dr Zakir Naik. Saya mengkritik Dr Ramasamy dan meminta beliau berdebat dengan Dr Zakir Naik. Laporan menjadi panas isu tersebut. Umat Islam juga mula bangkit membantah DAP khususnya Dr Ramasamy dan beberapa pemimpin lain. Isu penglibatan Dr Ramasamy dengan LTTE mula dibangkitkan. Banyak bahan-bahan dijadikan bukti. Umat Islam mula marah. Ribuan laporan Polis dibuat ke atas Dr Ramasamy.
4. Pada 28 Julai 2018, menurut laporan media MK, Dr Mujahid membuat kenyataan bahawa tuduhan kepada Dr Ramasamy adalah “tuduhan liar”. Bahkan Dr Mujahid menyifatkan Dr Ramasamy sebagai kawan baik beliau.
5. Pada Bulan penghujung 2018, Dr Mujahid menghubungi saya meminta satu pertemuan antara saya dan Dr Ramasamy. Beliau telah mengistiharkan hal itu kepada media. Pada awalnya saya berat hati sebab mood Umat Islam ketika itu ialah membantah. Namun, atas pertimbangan ingin menjaga kestabilan kerajaan yang baru dibentuk, keharmonian negara, sikap yang cenderung kepada perdamaian dan maruah Menteri ketika itu, saya pun sudi hadir. Semua laporan itu boleh dibaca dalam FB saya dan media massa.
6. Pada 27 September 2018, media melaporkan kenyataan Dr Mujahid “Dakwah Dr Zakir Naik Tak Sesuai Di Negara Ini”. Sekali lagi beliau dikritik hebat kerana dilihat berpihak kepada sentimen DAP.
7. Saya sebenarnya tidak mahu memberitahu hal perhubungan secara peribadi. Namun, memandang YB Dr Mujahid telah menulis, saya terpaksa menyebut di sini dan beliau mengetahui kebenaran apa yang saya sebut ini. Semasa polemik panas isu DZN, saya menghantar mesej peribadi kepada beliau mencadangkan beliau bertemu DZN sendiri. Jawapan beliau kepada saya semasa itu beliau enggan. Alasan beliau: “Mereka ini dah macam menyembah Zakir Naik”. Beliau merujuk kepada para pembela DZN. Saya tidak simpan mesej itu lagi. Allah menjadi saksi apa yang saya sebut. Maka, atas alasan inilah, saya menyebut dalam dialog tersebut “masa itu tidak mahu, masa tu tak nak”.
8. Selepas kes demi kes yang menyebabkan Umat Islam resah, persepsi terhadap Menteri Agama amat dahsyat. Kebanyakannya berpunca daripada kenyataan yang dibuat. Isu mengangkat tangan Bersama JK -seolah kemenangan- di kuil antara yang paling panas. Rakyat Malaysia yang hidup semasa itu boleh menilai sendiri kenyataan ini.
9. Pada 13 Mac 2019, barulah YB Dr Mujahid berjumpa dengan Dr Zakir Naik. Namun, ketika itu segala bantahan, pengalaman dan persepsi sudah cukup menebal. Keadaan dan imej PH di mata majoriti Umat Islam sukar diselamatkan. Sikap Tun M semasa itu menyelamatkan DZN.10. Dengan itu, semoga mereka yang tidak berpuas hati faham ungkapan saya tersebut. Kata orang Arab: ضربي وبكى، شتمني واشتكى (dia pukul aku, dia pula yang menangis. Dia maki aku, dia pula yang mengadu)