Sempena ucapan sulung saya dalam Dewan yang mulia ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pengundi di Parlimen Kuantan yang telah memberikan kepercayaan kepada saya pada PRU ke-15 yang lalu, khususnya anak-anak muda yang bangkit bersama mahukan perubahan dengan memilih Perikatan Nasional. Teruskan anak-anak muda.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyentuh berkenaan perlu diberikan tumpuan terhadap penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam. Antaranya baginda menyatakan keresahan berkaitan kesusahan rakyat khususnya kumpulan B40 dalam aspek pemilikan rumah.
Kajian Universiti Sains Malaysia di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana rendah kira-kira 25 peratus daripada 400 orang responden masih menyewa rumah, sedangkan 30 peratus daripada pendapatan mereka digunakan untuk membayar sewa rumah. Kenapa ini berlaku? Faktornya ialah harga rumah dan hartanah yang terlalu tinggi.
Saya memohon kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mengawal harga barang- barang pembinaan yang setiap tahun mengalami kenaikan seperti simen, besi, pasir, atap dan lain-lain. Jika bahan pembinaan ini dikawal, adalah lebih mudah untuk pihak kerajaan mengawal kenaikan harga rumah.
Saya juga mencadangkan agar pihak kerajaan menyediakan pelan pinjaman pembelian rumah khusus kepada golongan B40 ini kerana ada di antara mereka yang tiada slip gaji dan menyukarkan mereka mendapat pinjaman bank.
Saya ingin mengambil perhatian Kementerian Kerja Raya berkenaan dengan infrastruktur mengenai jalan rosak dan berlubang. Masalah ini berlaku di mana-mana seluruh negara termasuk di Parlimen saya, Kuantan.
Ramai yang salurkan rasa tidak puas hati kerana ada berlaku kemalangan yang melibatkan nyawa, juga melibatkan kerugian harta benda. Ramai juga yang mengadu berkaitan lampu jalan tiada, saluran longkang tersumbat.
Kita terkilan juga apabila ada beberapa isu yang lambat diambil tindakan kerana masalah peruntukan. Oleh itu tindakan kerajaan dan Kementerian Kewangan yang ingin mengurangkan peruntukan perlu diteliti semula khususnya yang melibatkan kepentingan orang awam.
Tuan Yang di-Pertua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong ada menyentuh berkenaan pengurusan risiko bencana seperti banjir yang berlaku setiap tahun.
Alhamdulillah, Kuantan telah dibina projek tebatan banjir bagi kawasan penempatan Sungai Isap. Dengan terlaksananya projek ini, risiko banjir besar dapat dikurangkan. Maksudnya, projek tebatan banjir dan sistem pam adalah berkesan bagi mengurangkan risiko banjir. Kini ia telah dilanjutkan ke kawasan yang berisiko banjir seperti di Inderapura, Taman Guru dan kawasan sekitar.
Saya ingin menekankan kepada pihak yang berautoriti untuk sentiasa melakukan kawalan dan pemantauan rumah-rumah pam di sekitar sistem saliran untuk memastikan ia berfungsi dengan baik termasuk penyediaan peralatan lengkap dengan segera. Contohnya, di kawasan saya terdapat rumah pam masih menggunakan sistem genset untuk mengepam air keluar apabila banjir iaitu di Bunut Rendang, Teluk Mahang dan Kampung Kurnia.
Tuan Yang di-Pertua, di tempat saya juga di Kampung Cherok Paloh dan Ubai situasinya unik, tidak hujan, sedar-sedar banjir. Ini kerana apabila hujan di sebelah Pahang Barat dengan lebat maka tiba-tiba air melimpah ke hilir sungai.
Mereka merupakan petani tradisional. Saya ingin mencadangkan kepada pihak kementerian agar melihat kembali bentuk bantuan yang perlu disalurkan kepada mereka. Tidak cukup hanya bantuan benih dan baja. Cadangan saya, agar kerugian itu dikira berdasarkan kos kerugian semasa.
Saya juga hendak mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada anggota keselamatan iaitu polis dan tentera termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Amal Malaysia dan yang terkini guru-guru yang sentiasa berkorban membantu rakyat ketika bencana seperti banjir walaupun pada ketika itu kediaman mereka sendiri dilanda banjir.
Saya juga ingin membangkitkan beberapa situasi di mana berlaku banjir disebabkan pembangunan projek perumahan. Mengambil contoh yang berlaku di Kuantan, ada beberapa buah kawasan perumahan tidak pernah banjir sebelum dari tahun 2018. Dalam tempoh pembangunan 10 tahun terakhir banyak kawasan perumahan yang dibangunkan dan kawasan baharu ini ditambun dengan tanah yang lebih tinggi.
Apabila hujan lebat, kawasan yang lama seperti Kempadang Makmur, Kampung Kempadang, jalan utama Taman Andenland di Pak Mahat, air bertakung kerana sistem saliran yang tidak teratur. Saya ingin mencadangkan di kawasan ini juga disediakan sistem pam untuk membawa air keluar dari tempat air bertakung. Saya juga memohon pihak kerajaan mengambil perhatian yang serius bagi menyelesaikannya.
Sebagai sebuah ibu negeri di negeri Pahang masih terdapat lokasi kemudahan internetnya yang masih lemah seperti di Pantai Sepat, Kuala Penor dan Cherok Paloh. Saya memohon agar Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia membuat sesuatu agar mereka juga dapat menikmati limpahan pembangunan yang berlaku di Kuantan. Tuan Yang di-Pertua, saya nampak istilah madani ini adalah retorik politik semata.
Saya sendiri menghantar surat untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa buah agensi kerajaan di Kuantan bagi membincangkan isu-isu berkaitan. Ada jabatan dan agensi menerima. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka. Namun, ada juga yang sangat mendukacitakan apabila kami dimaklumkan ada arahan daripada pihak atasan agar tidak membenarkan mereka berjumpa dengan Yang Berhormat pembangkang. Di manakah ihsan dan hormat yang dicanangkan?
Pada 6 Februari 2023 baru-baru ini hujan lebat di Kuantan. Ada tempat yang airnya naik. Kami Yang Berhormat menerima panggilan telefon bertanya “Bilakah hendak pindah? Di manakah kami hendak pindah?”. Saya terpaksa mencari maklumat dengan kenalan-kenalan. Saya hendak beritahu dalam Dewan ini Tuan Yang di- Pertua, bahawa kami tujuh orang Ahli Parlimen dan 17 orang ADUN pembangkang di Pahang tiada wakil dalam jawatankuasa bencana daerah.
Saya tanya pegawai yang terlibat dengan pengurusan bencana ini kenapa tidak libatkan kami dalam jawatankuasa bencana agar setiap yang dibincangkan untuk persiapan menghadapi bencana kita dapat ketahui lebih awal. Namun, beliau memaklumkan tidak mendapat arahan untuk libatkan MP atau ADUN pembangkang.
Inikah contoh Kerajaan Madani yang dicanangkan? Saya harap agar titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan semua pihak perlu mengelakkan politik sempit ini yang merugikan rakyat perlu di hadam oleh semua pihak.
Kami dimaklumkan berkaitan kegusaran di beberapa buah lokasi berkaitan dengan judi online yang berselindung di sebalik premis-premis lain. Saya mohon pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia bertindak dengan tuntas bagi mengekang aktiviti perjudian. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah yang mengambil tindakan proaktif bagi mengekang aktiviti perjudian.
Sebelum saya mengakhiri perbahasan ini, saya ingin mengajak semua Ahli Parlimen agar mencari jalan untuk mewujudkan suasana harmoni di antara kaum dalam negara kita ini agar Kembali kepada pembentukan perlembagaan negara.
Tidak perlu hendak desak jika ia bukan hak. Hormat-hormatilah di antara kita. Juga kepada Yang Berhormat Menteri yang baharu, saya mencadangkan apabila pergi ke mana-mana Parlimen untuk urusan kerja maklumlah sepatah agar ia lebih beradab. Saya akhiri dengan serangkap pantun.
Sungai Pahang Gunung Tahan,
Bumi bertuah pahlawan keramat;
Kepercayaan rakyat kami pertahan,
Dengan tekad kami berkhidmat.
Wan Razali Wan Nor
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Kuantan.
Ini adalah petikan ucapan semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.