Keputusan Mesyuarat
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-52/2021
19-20 Mac 2021/6-7 Sya’ban 1442
Hukum berurus niaga dengan syarikat yang dimiliki oleh non-muslim
1. Hukum bermuamalah dengan non-muslim termasuk menjual produk mereka adalah harus, tertakluk kepada beberapa garis panduan seperti berikut :
a) Barang, produk atau perkhidmatan adalah halal.
b) Program perniagaan tidak mengandungi unsur gharar, penipuan, riba dan perkara-perkara yang menyalahi syarak.
c) Perniagaan tersebut tidak menyumbang secara terang, nyata dan langsung kepada permusuhan terhadap umat Islam, pengukuhan kepercayaan selain dari akidah Islam dan penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam.
2. Perlu diketahui, sesuatu perniagaan yang sah dari segi akad boleh menjadi haram disebabkan perkara lain seperti jual-beli yang membantu kepada kemungkaran. Dari segi perniagaan adalah sah, namun dari segi kesan sampingan adalah haram.
3. Dalam masa yang sama, umat Islam digalakkan untuk memajukan diri mereka di dalam dunia perniagaan dengan menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti dan tolong menolong antara satu dengan yang lain.
(Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 2/2021 pada 22 Mac 2021)