Assalamualaikum.
Pagi tadi saya hadir ke Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-68 yang diadakan di Kedah.
Saya bagi pihak Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan muktamar tahunan kali ini.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri Muktamar Tahunan PAS.
Muktamar kali ini amat penting kerana berlangsung dalam suasana semua parti politik termasuk PN bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pada tahun ini.
Besarlah harapan saya agar muktamar ini bukan sahaja menjadi medan bagi memperkukuhkan parti Pas tetapi juga memperkuatkan PN khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.
Saya juga mengucapkan tahniah kepada Presiden Pas, YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di atas ucapan dasar beliau yang selari dengan matlamat perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, berintegiriti dan bebas rasuah ke arah mewujudkan Malaysia Sejahtera.
Saya turut terharu mendengar komitmen dan iltizam berterusan Pas bagi memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam PN seterusnya menetapkan hala tuju yang lebih jelas bagi menghadapi pilihan raya.
Sebagai rakan dalam komponen PN, Bersatu menghormati setiap pandangan yang dikemukakan oleh saf kepimpinan Pas dan para perwakilan demi kebaikan bersama.
Selamat bersidang.