Elemen penting kenapa Mahkamah Rayuan bebaskan Ku Nan

Pada 21 Disember 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta ke atas Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) setelah mendapati beliau (selaku tertuduh) sabit kesalahan atas pertuduhan berikut:

“Bahawa kamu, pada 14 Jun 2016, di CIMB Bank Berhad Cawangan Pusat Bandar Damansara, Level 1, Lot A4, Block A, Pusat Bandar Damansara, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk diri kamu sendiri suatu barang berharga dengan tiada balasan, iaitu wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank bernombor 136822 milik syarikat Aset Kayamas Sdn. Bhd. yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn. Bhd. no. akaun 8001179747 yang di dalamnya kamu mempunyai kepentingan, yang mana kamu ketahui syarikat Aset Kayamas Sdn. Bhd. ada hubungan dengan kerja-kerja rasmi kamu sendiri, dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.”

Perhatikan, Ku Nan tidak dituduh melakukan kesalahan menerima rasuah atau sogokan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Jika tuduhan dibuat di bawah Seksyen 17(a) akta itu, hukuman yang boleh dikenakan ke atasnya apabila sabit kesalahan adalah penjara 20 tahun, denda tidak kurang lima kali suapan yang diterima atau RM10,000 (mana yang lebih tinggi). Hukuman di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah jauh lebih ringan, iaitu penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ku Nan kemudian merayu terhadap sabitan dan hukuman itu ke Mahkamah Rayuan. Pada 16 Julai lalu, dengan keputusan majoriti (2:1), mahkamah putuskan sabitan Mahkamah Tinggi ke atasnya itu adalah ‘tidak selamat’, menyebabkan Ku Nan kini lepas dan bebas daripada segala hukuman.

Pada petang Sabtu lalu, saya berjaya mendapatkan salinan Ringkasan Penghakiman Mahkamah Rayuan setebal 12 halaman dari portal rasmi mahkamah. Keputusan majoriti disampaikan oleh Hakim Datuk Suraya Othman manakala penghakiman bertentangan disampaikan oleh Hakim Datuk Abu Bakar Jais.

Elemen penting

Mengikut Mahkamah Rayuan, salah satu elemen penting kesalahan yang perlu dibuktikan oleh pendakwa adalah wang RM2 juta itu diberi kepada perayu (Ku Nan) untuk kegunaannya sendiri dan bukan untuk kegunaan orang atau entiti lain.

Sekiranya elemen penting ini tidak dibuktikan melampaui keraguan munasabah, perayu sepatutnya dillepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Kata Mahkamah Rayuan lagi, peguam perayu telah menghujah hakim bicara telah membuat kesilapan di sisi undang-undang dan fakta apabila tidak mengambil kira keterangan saksi pendakwa serta keterangan pegawai penyiasat yang menyokong hujah peguam perayu bahawa wang RM2 juta itu adalah satu derma politik kepada UMNO untuk menampung perbelanjaan dua pilihan raya kecil.

Sambil merujuk kepada kes Lim Guan Eng lwn. Pendakwa Raya (1998), Mahkamah Rayuan menegaskan, pendakwa adalah terikat dengan keterangan saksinya sendiri. Mahkamah juga menyatakan, pendakwa gagal memeriksa semula saksi pentingnya yang semasa disoal balas oleh peguam perayu telah menyatakan wang itu adalah satu derma politik untuk UMNO.

Sabitan tidak selamat

Selanjutnya Mahkamah Rayuan menyatakan, dalam alasan penghakiman bertulisnya, hakim bicara langsung tidak memikirkan tentang kegagalan pendakwa memeriksa semula saksinya, dan kegagalan hakim bicara ini merupakan satu ‘kegagalan arah diri yang menjadikan sabitan ini tidak selamat.’

Mahkamah juga menyatakan, keterangan saksi pendakwa bahawa dia telah terima resit pembayaran wang itu kekal tidak tercabar dan tidak dibuktikan sebaliknya oleh pendakwa. Keterangan ini juga tidak diberi pertimbangan oleh hakim bicara.

Tegas Mahkamah Rayuan, sepatutnya hakim bicara membuat inferensi dalam hal ini yang menyebelahi perayu.

Oleh yang demikian, Mahkamah Rayuan menyatakan, kegagalan hakim bicara memberi pertimbangan kepada keterangan saksi pendakwa yang tidak tercabar merupakan ‘satu salah arah diri yang serius yang menghendaki intervensi di peringkat rayuan.’

Kata Mahkamah Rayuan lagi, pendakwa menghujah bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh adalah satu rekaan semata-mata. Hujah pendakwa itu tidak boleh diterima. Pada pendapat mahkamah, hujah pembelaan bahawa wang itu adalah satu derma bukan satu rekaan semata-mata oleh perayu.

Kesimpulannya, Mahkamah Rayuan menyatakan, hakim bicara telah melakukan satu kegagalan arah diri dan salah arah diri mengenai undang- undang dan keterangan. Perayu sepatutnya dilepas dan dibebaskan oleh hakim bicara.

Oleh itu, intervensi mesti dilakukan, rayuan ini diluluskan, sabitan dan hukuman diketepikan, dan perayu hendaklah dilepas dan dibebaskan.

Saya sedar, keputusan Mahkamah Rayuan ini mengandungi banyak perkara yang teknikal (legal jargon), yang barangkali sukar difahami oleh orang biasa. Malangnya, ia tidak dapat dielakkan.

Saya yakin kes ini tidak berhenti di sini sahaja. Kita difahamkan pendakwa akan mohon izin untuk membawa kes ini seterusnya ke Mahkamah Persekutuan.

Datuk Salleh Buang
Bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.