Kali ini ujian yang cukup getir bagi kami petugas kesihatan di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan.
Kami petugas Covid di Kelantan khususnya diuji dengan peningkatan kes yang mendadak seminggu selepas berakhirnya cuti sekolah yang ‘happening’ dengan kenduri, orang ramai ke sana ke sini, majlis itu ini dan sebagainya.
‘The aftermath??’ Kluster baharu muncul setiap hari. Kes meningkat mendadak. Dah beberapa hari melebihi 300 setiap hari dan semalam >600.
Ada yang menganggap ini sebagai satu bahan gurauan? Kelantan juara? Tapi hakikatnya hanya petugas kesihatan yang terlibat tahu, 300 , 400 , 600 bukan satu joke bagi kami.
Di hospital, wad demi wad dibuka, katil-katil ICU (unit rawatan rapi) terpaksa ditambah ke bilangan maksimum untuk menampung pesakit Covid kategori 3, 4 dan 5 serta pesakit yang berisiko.
Tolak katil ke sana, tolak katil ke sini untuk transfer pesakit. Tiap-tiap malam ‘sleepless’ fikirkan strategi untuk ‘optimize ward’ yang ada, strategi kemasukan pesakit ke wad, bagi memastikan pesakit selamat dan diberi rawatan awal dan juga memastikan keselamatan petugas-petugas kesihatan semasa mengendalikan pesakit.
Pusat kuarantin Covid risiko rendah (PKRC) semuanya berfungsi pada kapasiti penuh dan PKRC baharu diwujudkan bagi menampung pesakit-pesakit kategori 1 dan 2.
Rakan-rakan kami di kesihatan awam mengeluh keletihan terpaksa mengesan satu persatu kes-kes yang disahkan Covid-19 untuk dibuat penilaian sama ada perlu dimasukkan ke wad, PKRC atau sekiranya sesuai dibuat isolasi di rumah di bawah pemantauan harian.
Ambulans bergerak mengambil dan menghantar pesakit ‘non stop’. Yang bertugas di lapangan juga membuat pengesanan kes berskala besar di khemah pusat saringan, di bawah panas terik mentari Ramadhan dalam PPE yang berlapis-lapis.
Makmal menerima beribu-ribu sampel untuk diproses dan memastikan keputusan dikeluarkan seberapa segera yang mungkin.
Petugas-petugas di bahagian analisa juga bertugas siang dan malam bagi memastikan data dapat dilaporkan setiap hari. Dan dari maklumat ini kami merangka strategi setiap hari bagi memastikan rangkaian jangkitan dapat diputuskan dan kes dikawal dan memastikan rawatan terbaik diberi.
Dalam pada itu, sayu hati melihat keadaan dalam wad dan ICU. Pesakit yang bergantung kepada oksigen serta alat bantuan pernafasan tanpa dapat ditemani ahli keluarga.
Doktor dan jururawat masuk memberi rawatan secara berkala dan pada masa yang lain memerhati dari ruang pemerhatian luar yang dipisahkan dengan dinding kaca dan tingkap.
Dan, beberapa pesakit berisiko yang mendapat komplikasi teruk Covid-19 meninggal dunia… ada anak yang tidak dapat mengiringi ayahnya ke liang lahad, ada isteri yang menangisi pemergian suaminya di rumah sahaja, tanpa dapat melihat wajah yang tersayang buat kali terakhir.
Dan, masih ada yang mengatakan data-data pesakit yang dipaparkan setiap hari direka-reka, diada-adakan, sedangkan kami ini saban hari pening memikirkan mana lagi nak letak pesakit-pesakit yang positif untuk rawatan terutama yang memerlukan rawatan hospital.
Hanya Allah yang tahu… setiap tuduhan, tohmahan, kami hadap sahaja… semoga Allah beri petunjuk kepada mereka yang mencemuh….life goes on…
Syukurlah, berbanding dengan gelombang pandemik tahun lepas di mana ramai kakitangan KKM turut dijangkiti dan dimasukkan ke hospital, tahun ini hampir semua ‘frontliners’ telah lengkap mendapat vaksin dan insya-Allah ada perlindungan dari jangkitan dan kami boleh terus menjalankan tugas dengan selamat.
Semoga Allah memberi sebaik-baik ganjaran pada semua petugas kesihatan KKM, ‘frontliners’, ‘backliners’ atau ‘sideliners’ dan mendapat pahala berganda-ganda terutama di 10 akhir Ramadhan nanti.
ا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ
“Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata”.
Roger and out
Anila Jelani