DAP dan Musang King, mengapa pertahan pekebun durian haram?

Daerah Raub Pahang, merupakan antara pusat kegiatan paling aktif pengganas komunis di negara ini semasa Insurgensi Pertama (1948-1960) dan Insurgensi Kedua (1969-1989). Sebagai sebahagian daripada jajaran Banjaran Titiwangsa, keadaan geografinya yang berbatu dan berbukit-bukau merupakan lokasi amat strategik untuk pengganas komunis menjalankan kegiatan subversif mereka.

Rejimen Ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) yang berpengkalan di Temerloh, Pahang dikatakan antara pasukan pengganas paling agresif menjalankan penentangan bersenjata di negara ini sepanjang tempoh tersebut.

Mengikut rekod pasukan keselamatan, banyak pertempuran yang dicatatkan di sekitar kawasan Bentong, Raub, Mentakab dan Jerantut didalangi oleh rejimen ke-10 PKM ini. Daerah Raub juga disifatkan antara kubu kuat pengganas komunis termasuklah kawasan yang kini dikenali sebagai Lembah Klau yang ketika itu merupakan hutan belantara.

Ramai anggota pasukan keselamatan yang telah gugur semasa pertempuran dengan pengganas komunis di sekitar kawasan tersebut dan tidak kurang juga yang tercedera.

Antara peristiwa-peristiwa tercata dalam lipatan sejarah hitam negara adalah pertempuran di Sungai Ruan, Sungai Lui, Sungai Chalit, Sungai Liang dan beberapa kawasan lagi semasa beberapa operasi pasukan keselamatan seperti Operasi Bentong (1956), Operasi Jejak Musuh di Sungai Liang, Raub menghala ke Bentong pada 11 November 1971 dan sebagainya.

Bagi mengekang ideologi komunis daripada terus berkembang kerajaan mengambil langkah untuk membina atau membangunkan kawasan penempatan baru seperti Cheroh (1948), Sang Lee (1948), Sungai Ruan (1948), Sungai Chetang (1948), Bukit Koman (1949), Sempalit (1950), Sungai Lui (1950), Tras (1950) dan Sungai Klau (1960).

Di samping itu, beberapa juga Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) diwujudkan pada 1978 di RPSK Peruang, RPSK Merapoh, RPSK Sungai Chalit dan RPSK Jekoh. Ada juga di kalangan mereka yang terlibat di dalam kegiatan pengganas komunis dan menyerah diri atau mempunyai pertalian keluarga menetap di kawasan penempatan semula ini.

Melihat daripada sudut politik, sejak pilihanraya umum (PRU) pertama pada 1959 sehinggalah ke PRU ke-4, kawasan Raub diwakili oleh ahli parlimen berbangsa Melayu dari Parti Perikatan. Ahli parlimen berbangsa Cina seterusnya mendominasi kerusi parlimen Raub sejak PRU ke-5 (1978) sehinggalah ke PRU ke-12 (2008) yang mewakili parti Barisan Nasional atas pertimbangan kawasan ini mempunyai bilangan pengundi berbangsa Cina yang agak signifikan.

Tsunami politik yang berlaku semasa PRU ke-13 (2013) memperlihatkan perubahan parti yang memenangi kawasan parlimen ini. Parti Tindakan Demokratik (DAP) berjaya memenangi PRU ke-13 dan PRU ke-14 (2018) yang diwakili oleh dua calon Melayu. Ironinya, Rejimen ke-10 PKM dulunya juga dikatakan pernah diketuai oleh Shamsiah Fakeh dan Abdullah CD.

Bentuk mukabumi Raub kini bukan sahaja praktikal untuk kegiatan subversif, malah dikatakan jenis tanah paling sesuai bagi tanaman durian ‘musang king’ yang digunakan sebagai alasan supaya perniagaan ini mampu mengumpul dana bagi menampung kegiatan DAP menentang kerajaan.

Adakah ini bentuk subversif cara baru? Mengapakah Ronnie Liu sanggup merentas negeri demi memberi sokongan kepada penceroboh tanah kerajaan yang telah mengaut keuntungan sejak bertahun lamanya? Kini UMNO sebagai sebuah parti Melayu terbesar di negara ini pula dilihat sedang berusaha membentuk pakatan jajaran baru politik bersama parti DAP.

Wajar sekiranya kerajaan menganugerahkan tanah-tanah tersebut kepada pesara anggota pasukan keselamatan terutamanya anak jati Pahang yang telah mempertaruhkan nyawa mempertahankan kawasan tersebut daripada diberikan kepada mereka yang dilihat cuba menghidupkan kembali ideologi komunis di tanah pertiwi ini.

Pitt A. Rahman
Seorang pembaca Agenda Daily dan pemerhati isu semasa

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.