Dana KWAN boleh digunakan untuk perbelanjaan vaksinasi COVID-19, kenapa pembangkang kecoh?

Baru baru ini beberapa “pakar ekonomi” dan pemimpin politik terutamanya dari pembangkang, kecoh apabila Kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) Pindaan 2021 (KWAN) yang membolehkan kerajaan menggunakan dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Antara mereka yang bersuara adalah mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak, Mantan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammad Khalid dan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Mereka mengkritik bahawa ordinan ini tidak wajar kerana ini adalah dana untuk masa hadapan dan tidak boleh digunakan sekarang.

Apa sebenarnya KWAN ini? Mengikut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan PETRONAS.

Menurut seksyen 5 (c) akta itu, sumbangan boleh dibuat oleh mana-mana negeri di Malaysia yang mendapat royalti daripada petroleum dan sumber alam lain yang akan habis.

Sumbangan ke dalam KWAN juga boleh datang dari mana-mana orang atau pihak berkuasa yang perniagaannya merangkumi penyelidikan atau pengembangan sumber alam yang akan habis.

Ordinan Darurat yang diwarta baru baru ini menambah subseksyen baru ke dalam Seksyen 6 akta itu dengan membenarkan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Subseksyen tersebut hanya mengehadkan dana KWAN digunakan untuk program vaksinasi untuk menyelamatkan nyawa rakyat. Kenapa pembangkang dan penyokongnya beria-ia menentang ordinan ini yang jelas bertujuan untuk menyelamatkan nyawa rakyat?

Nampak sangat pembangkang hanya berminat untuk bermain politik dan tidak ikhlas dalam kesungguhan menyelamatkan rakyat. Bangkang, kritik, tak setuju, ugut….

Bila kerajaan bentangkan pakej rangsangan ekonomi dan belanjawan- sibuk kritik peruntukan kerajaan tak cukup, kerajaan perlu lebih berani berbelanja.

Bila kerajaan mahu mempermudahcara membuat perbelanjaan vaksinasi untuk selamatkan nyawa dan pulihkan ekonomi dengan cepat, suara suara ini mula merubah nada, dan mengalihkan tiang gol, berpaling mengkritik kerajaan berbelanja!

Kalau kerajaan tak berbelanja untuk membeli vaksin secepat dan sebanyak mungkin, bagaimana masa depan rakyat dan ekonomi? Kita berlumba dengan masa…

Pada hemat saya, kerajaan borong semua vaksin yang ada, cepatkan proses vaksinasi, dan selamatkan rakyat dan ekonomi Malaysia secepat mungkin.

FIkirkanlah… Jangan terpedaya dengan hujah yang opportunis dan sekadar mengkritik. Kerajaan terus jalan dan jayakan program vaksinasi secepat mungkin.

Dr Azmi M Khadir