
Kementerian Kesihatan mengenakan kompaun RM10,000 terhadap Barisan Nasional kerana mengadakan majlis tanpa mematuhi prosedur operasi standard Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara di PWTC, malam tadi. – Gambar Agenda Daily
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pejabat Kesihatan Kepong mengeluarkan kompaun terhadap Barisan Nasional (BN) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) malam tadi.
Memuat naik gambar surat kompaun itu di laman Facebooknya jam 12.12 tengah malam tadi, KKM berkata kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Surat kompaun itu ditujukan kepada Setiausaha Eksekutif BN kerana gagal memastikan penjarakan fizikal yang merupakan arahan Ketua Pengarah KKM.
Tawaran kompaun RM10,000 itu akan tamat tempoh pada 9 November 2021.
BN malam tadi melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan dianggarkan dihadiri 5,000 penyokong yang memenuhi ruang Dewan Tun Hussein Onn tanpa mematuhi SOP, terutama membabitkan penjarakan fizikal.
Pelancaran itu diadakan di ibu negara, bukannya di Melaka, susulan larangan mengadakan sebarang perhimpunan berkaitan pilihan raya di negeri Hang Tuah tersebut baru-baru ini oleh KKM. Berita berkaitan
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuai pelancaran jentera malam tadi dengan turut dihadiri rakan karibnya Datuk Seri Najib Razak yang telah diamanahkan menjaga UMNO sepanjang ketiadaan beliau yang akan ke Jerman bagi merawat sakit belakangnya.
Turut sama Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, calon Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, di samping barisan tertinggi UMNO yang lain.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO dan beberapa menteri UMNO yang lain, termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang berada di kem lain daripada team Zahid/Najib, tidak hadir.
Penganjur majlis itu dikenakan kompaun setelah pejabat kesihatan berkenaan menerima laporan mengatakan ada majlis yang melanggar SOP iaitu tidak melakukan penjarakan fizikal.
Tetapi, apalah sangat jumlah kompaun sebanyak RM10,000 itu jika hendak dibandingkan dengan kekayaan pemimpin-pemimpin UMNO yang memiliki berjuta-juta ringgit simpanan hasil ‘sumbangan politik’ pihak tertentu kepada mereka.
Malah, RM10,000 itu hanya dicelah gigi Najib dan UMNO sahaja yang sudah memperoleh RM114 juta wang sitaan dari Pavilion Residences, milik Obyu Holdings Sdn Bhd, pada 14 Jun lalu.
Pemulangan wang itu dilakukan selepas pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan melucut hak wang tunai bernilai jutaan ringgit itu kepada kerajaan.
Sementara Najib pula tidak bercakap langsung mengenai apa yang dilakukan terhadap ‘wang panas’ itu setelah menerimanya semula.
Jumlah kompaun itu bagi pemimpin BN dan UMNO juga tidak seberapa dengan sumbangan politik yang mereka terima daripada pelbagai pihak yang tidak pernah meminta sebarang balasan.
Lagipun, seperti mana kata Bendahari Agung UMNO yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, duit poketnya sahaja sebanyak RM2 juta.
Kata-kata itu diluahkannya Tengku Adnan atau mesra dengan panggilan ‘Ku Nan’ di Mahkamah Tinggi pada Mac tahun lalu, ketika perbicaraannya yang dituduh menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan, Chai Kin Kong.
Menurut laporan media, Ku Nan menegaskan bahawa jumlah RM2 juta itu adalah tidak terlalu besar buat beliau sebaliknya hanya sekadar duit poket.
Apapun surat kompaun yang dimuat naik dalam FB KKM itu terus tular, sementara BN dan UMNO serta pemimpin yang hadir menerima kecaman daripada netizen.
Dari segi moralnya, BN, terutama pemimpin UMNO, dilihat cakap tak serupa bikin. Dalam bermanis mulut menasihatkan orang ramai supaya menjaga SOP, diri sendiri senang-senang melanggarnya.
Jika peraturan kecil sedemikian pun tidak boleh dipatuhi, bagaimana rakyat hendak mempercayai mereka mentadbir negeri sekecil sekangkang kera seperti Melaka.
Mungkin orang UMNO ini bukan setakat kebal daripada hukuman dan undang-undang, tetapi juga tidak lut dengan virus Covid-19 yang mengancam negara sekarang. Mereka terus berjalan dengan mendongak ke langit!
Dan, rakyat Malaysia bertuah kerana telah ditakdirkan juga kluster mahkamah ini tidak kembali memimpin negara setelah tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), dan selepas mereka menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tok Akhi
Pemerhati politik kampung
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.