Salam profesor. Tiga tahun melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma TANPA LAPTOP, saya tetap mampu dapat 4.0 GPA tiga semester berturut-turut. Ini cerita saya.
Aku sebolehnya tak mahu get into the scene dalam most viral news di Malaysia. Selang sehari mesti ada cerita baru, tapi aku sangat terasa dengan video itu semalam.
Dari jam 2 pagi aku menonton sampai hari ini, masih terngiang ayat “Kau suruh kakak kau jual emas dia, belikan kau laptop”. Alangkah bahagia kalau kita diberi privilege begini. Semudah itu dia beri solution.
Aku cuma ada satu soalan pada professor dan semua yang menyokong ini – Sebenarnya kalian faham atau tidak struggle anak B40 ini? Apa kau ulang, kau ulas, kau kupas, kau sedar atau tidak realiti mereka ini sebenarnya?
Keluarga aku sebenarnya agak sederhana dari sudut kewangan masa aku di bangku sekolah, tapi takdir menimpa ayah aku diberhentikan kerja serta-merta ketika aku di Tingkatan 4. Tiada simpanan, tiada komisen, pampasan. Nothing, zilch, nada.
Ayah aku tetap usaha cari barang seringgit dua untuk keluarga, dari gaji RM1,800 sebulan, dia gali ruang rezeki sehingga sanggup menjadi tukang kebun sekolah kembar aku, gaji jauh lebih rendah dari sebelum ini. Tapi dia rasa dia ada tanggungjawab, kami masih belum habis SPM.
Dari seminggu ke sebulan ke setahun ayah aku kerja, sampai penyakit parkinson memakan diri dia sedikit demi sedikit. Pekerja pekerja tukang kebun seolah olah menghalau ayah aku, menyusahkan mereka katanya terpaksa jaga ayah aku. “Patut duduk di rumah dah tua macam ni”. Ma aku tak pernah bekerja seumur hidup.
Aku sambung pelajaran di Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Kuantan. Elaun aku RM265. Itulah wang aku sara diri aku. Sehari-hari aku cuba tidak minta sesen dari Ma.
Alhamdulillah aku ada kakak yang teramat penyayang, kalau ada tugasan yang memerlukan wang lebih, pasti kakak aku akan beri yang sedayanya. Ayah aku sudah terlantar di rumah, tak berdaya nak naik motor, nak laungkan Azan macam selalu.
Aku ingat lagi pernah sekali aku ada tugasan berkumpulan di Melaka, Ramadan 2010. Bendahari kecik kumpulan kami dah beritahu, jumlah perbelanjaan seorang RM150 termasuk makan. Aku pinjam duit kakak aku RM200, cadangnya boleh beli hadiah sikit untuk dia dan Ma dengan baki duit yang ada.
Jadi cukup perbelanjaan aku di sana. Alhamdulillah. Tiba-tiba masa perjalanan pulang, bas berhenti di satu Petronas untuk berbuka. Bendahari aku pun announce “Ok. Duit kita kumpul tu kita makan di restoren di Kuantan. Sekarang pakai duit sendiri dulu beli gapo gapo.” I dont even a cent in my pocket.
Aku ingat lagi aku berlari ke belakang Petronas, cari tandas, aku teguk air paip dalam tandas itu. Aku terlalu dahaga. Aku naik semula dalam bas, aku tak tahu dari masa sixth sense kawan aku yang seorang ini, terus dia hulur RM5.00 pada aku.
“Kau pergi beli roti, Asri”. Thank you so much Zunika. I still owe you that RM5.00. Sekarang kalian beritahu aku, gelang emas mana yang aku kena cari untuk aku selfishly gadai untuk aku pakai buat assignment aku?
Sepanjang aku di kolej, tak pernah sekali aku rasakan ketiadaan komputer riba aku itu satu kecacatan akademik aku. Pensyarah-pensyarah aku tidak pernah sekali terpacul dari mulut mereka persoalkan kemiskinan aku. Instead, mereka lah yang selalu bantu aku dan kawan-kawan dalam proses pelajaran kami.
Empati mereka maha karya. Begitu mulia jiwa mereka. Perpustakaan kolej aku dah jadi rumah kedua. Habis kelas, berkampunglah aku kat situ.
Tiap hari pukul 7.30 pagi aku duduk di luar perpustakaan tunggu staff buka pintu untuk aku lunaskan kerja-kerja pensyarah. Sahabat-sahabat aku di kolej tak pernah lekang suruh aku pakai laptop mereka, terutama kawan aku yang seorang ini – Shahril Sharrizad Saharan.
This guy is something else. Tiap hari lepas kelas aku akan pakai komputer library sampai jam 6 petang, aku simpan segala document dalam satu pendrive. Tutup saja library aku solat Maghrib dan Isyak, aku jenguk bilik Shahril. Biasanya malam-malam dia dengan member-member dia main game kat bilik dia.
Tiap kali dia pandang aku jenguk bilik dia, dia stop main game dan bagi laptop dia pada aku untuk aku pakai. Dan banyak kali laptop dia kena virus dari pendrive aku. Tak pernah sekali dia marah aku. Tetap dia beri aku pakai laptop dia sampai aku siap assignment aku.
Dari semester satu sampai semester lima. Aku ingat lagi aku jumpa Shahril semula setahun lepas aku sambung belajar di New Zealand. Dia kata folder assignment aku masih ada dalam laptop dia. Masih di situ. Saksi jiwa murni seorang sahabat.
Alhamdulillah. Dari pelajar kampung yang tak tahu nahu bahasa Inggeris sampai berjaya dapat 4.0 GPA tiga semester berturut-turut, berjaya menjadi Pelajar Terbaik Keseluruhan KPM SeMalaysia 2011, mendapat tiga tawaran pelajaran menyambung Ijazah Sarjana Muda, dua daripadanya adalah tawaran dari luar negara. Siapa kata tiada laptop aku akan dropout?
Tiada satu perkataan yang keluar dari mulut profesor itu aku akan terima. Ada yang bahaskan “Bukankah orang dulu-dulu sanggup jual tanah untuk pastikan anak-anak belajar? Apa salahnya kata prof itu?”
Habis kalau tidak ada sekangkang tanah pun untuk dijual, tidak ada seurat emas pun untuk digadai, tidak ada hak untuk belajar? Hilang terus kudrat untuk menuntut ilmu?
Ma aku mula bekerja di umur 60 tahun. Seumur hidup dia tak pernah kerja apa-apa selain menjadi suri rumah. Di saat orang lain sudah golden handshake, menikmati wang pencen, Ma aku mula kerah tenaga bekerja di kedai keropok lekor ketika umurnya 60 tahun. Demi kelangsungan hidup.
Apa yang kita mahu ajar anak-anak bangsa kita ini? Kita mahu beri pelajaran pada semua anak Malaysia. Tanpa kenal warna kulit, asal, kasta, bangsa. Supaya tidak ada seorang cendiakawan lagi yang berani merendahkan anak bangsa tanpa rasa empati lagi selepas ini.
Terima kasih KPM Indera Mahkota.
Mohd Asri Jusoh
Bekas pelajar KPM Indera Mahkota
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.