Firman Allah Taala dalam Surah Al-Anfal ayat 33 bermaksud “Dan Allah tidak akan sesekali mengazab mereka sedangkan kamu (Muhammad) berada diantara mereka (umat). Dan tidak pula Allah mengazab mereka sedangkan mereka memohon ampun (yakni beristiqfar)”.
Istiqfar ini adalah memohon keampunan kepada Allah yang sudah dilakukan oleh para anbia, umat terdahulu dan salafus soleh serta menjadi wirid amalan umat Nabi Muhammad SAW.
Ia juga menjadi amalan yang dirutinkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW hingga ada riwayat menukilkan baginda beristiqfar kepada Allah sebanyak 70 hingga 100 kali dalam satu majlis sedangkan Rasulullah adalah maksum iaitu terpelihara daripada perbuatan dosa.
Kenapa Rasulullah memilih beristiqfar. Ini kerana amalan beristiqfar ini mempunyai pelbagai keistimewaannya yang tersendiri.
Istiqfar adalah anak kunci untuk membuka pintu kenikmatan baik yang disediakan oleh Allah dan secara tidak langsung menahan azab atau bencana kepada hambanya seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda “Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah).
Muktahir ini, dunia dikejutkan oleh pandemik Covid19 yang tidak terkecuali melanda negara kita sejak setahun lalu.
Pelbagai usaha dan ikhtiar yang sudah kerajaan lakukan bagi menangani wabak yang sudah berlarutan sejak setahun yang lalu. Pentadbiran utama negara tidak pernah berdiam diri dan sentiasa melakukan perancangan demi perancangan dalam menanganinya.
Pandemik yang tidak pernah terlintas dalam benak sebahagian besar usia kita ini sememangnya memberi kesan dalam setiap jiwa bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.
Kerajaan tidak pernah berputus asa dan sentiasa berazam untuk bangkit kembali dengan mencari solusi terbaik bagi menanganinya dan seterusnya memberi kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhannya.
Justeru, segala usaha yang kerajaan jalankan kini memerlukan dokongan semua rakyat tanpa ada yang terkecuali. Apa yang lebih penting, kita berharap segala ikhtiar yang dilaksanakan ini mendapat keredhaan Allah kerana kita sedar yang kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang maha suci yang akan menentukan keberuntungan perancangan kita.
Sahabat besar Rasulullah SAW, Abu Musa Al-Asyari pernah berkata “Dahulu kami mempunyai dua penjaga dari bencana di dunia ini. Yang satu sudah pergi selama-lamanya dan kini tinggal satu sahaja.
Yang telah pergi itu ialah keberadaan Rasululullah SAW di tengah-tengah umat dan satu lagi yang tersiksa adalah istiqfar. Jika yang satu ini juga sudah hilang, maka celakalah kita semua”.
Justeru marilah kita semua umat Islam di Malaysia untuk kita sama-sama beristiqfar kepada Allah setiap saat dan ketika. Mudah-mudahan kita bukan sahaja mendapat pengampunan daripada tuhan yang maha Esa tetapi juga diangkat wabak Covid19 daripada bumi tercinta dan seterusnya dikurniakan limpahan rahmat berupa ekonomi yang mantap dan kesihatan yang berkekalan, InsyaAllah.
#malaysiaberistiqfar
Setawar
Penulis merupakan pembaca Agenda Daily dan bekas wartawan.