Saudara Pengarang,
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan bahawa Akta Kawalan Produk Tembakau dan Rokok yang baharu yang akan memastikan rokok dan segala produk alternatif rokok diharamkan untuk mereka yang lahir pada tahun 2005 ke atas melalui polisi Generation End-Game (GEG) akan dibentangkan dan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam sidang kali ini.
Namun menurut Khairy, GEG sekarang hanya akan bermula dari tahun 2007 dan bukan 2005 seperti yang dinyatakan beliau sendiri sewaktu mesyuarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) awal tahun ini.
Perubahan daripada tahun 2005 ke 2007 membuktikan bahawa terdapat tentangan yang dihadapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meraih sokongan ahli-ahli parlimen dalam meluluskan Akta baharu ini.
Khabarnya, Akta Kawalan Produk Tembakau dan Rokok ini telah lama dirangka oleh KKM, namun keputusan untuk membawa Akta ini sudah ditunda beberapa kali kerana tiada Menteri yang benar-benar bersungguh dan berani dalam menghapuskan gejala merokok sehingga Khairy dilantik memegang jawatan Menteri Kesihatan.
Pujian harus diberikan kepada Menteri dari parti UMNO yang berani dan tegas.
Akta yang baharu amat diperlukan kerana Akta yang digunakan sebelum ini sudah lapuk dan seperti mana yang kita sedia maklum, landskap produk tembakau di seluruh dunia sudah berubah.
Vape dan rokok elektronik telah menjadi medium baharu untuk mendapatkan nikotin. Pada tahun 2021, dianggarkan terdapat lebih 70 juta pengguna vape di dunia, dan jika ditambah kepada produk alternatif rokok yang lain, dianggarkan bilangan pengguna produk tembakau elektronik adalah melebihi 120 juta orang. Ini jauh lebih kecil berbanding 1 billion perokok konvensional di dunia.
Tidak dinafikan, kemunculan alternatif kepada rokok yang bebas asap dan berasaskan elektronik telah berjaya menurunkan kadar perokok tegar di seluruh dunia. Ramai yang dahulunya menghisap rokok sudah mula beralih kepada vape, rokok elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan, dan kemudiannya meninggalkan terus tabiat buruk ini.
Tambahan lagi, pelbagai kajian saintifik juga mendapati bahawa produk alternatif rokok ini kurang memudaratkan berbanding rokok. Namun apa yang jelas, ia masih mendatangkan bahaya dan mudarat kepada pengguna, walaupun tidak seburuk rokok konvensional yang dibakar.
Di Malaysia, dianggarkan lebih terdapat lebih kurang 1 juta pengguna vape dan rokok elektronik berbanding 5 juta perokok. Ini sangai ironi, kerana penjualan vape meningkapkan sedangkan penjualan vape itu diharamkan Kerajaan sebelum ini. Mengharamkan sesuatu tabiat, tidak bermakna tabiat itu akan berkurang. Oleh itu, adalah lebih penting untuk Kerajaan mengawal selia sesuatu tabiat melalui regulasi yang progresif dan inklusif.
Justeru, saya amat berharap bahawa Ahli-Ahli parlimen memberi perhatian kepada klasifikasi produk alternatif ini dalam debat di parlimen.
Sememangnya, kita semua sedia maklum vape tidak sama dengan rokok, tetapi antara produk alternatif yang lain vape, rokok elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan perbezaan kategori-kategori perlu dijelaskan di dalam Akta baharu tersebut.
Jangan ada kekeliruan dan kawasan “kelabu” dalam regulasi yang boleh mengundang masalah lain di masa hadapan. Regulasi yang baik adalah regulasi yang jelas dan bersifat kontemporari.
Sekarang ini, apabila bercakap tentang Akta baharu, semua orang hanya fokus kepada isu GEG. Isu GEG hanya sebahagian daripada Akta baharu yang ingin diperkenalkan. Adakah ini sebahagian daripada strategi KKM- gunakan GEG untuk memastikan Ahli Parlimen keliru dan tidak fokus isu sebenar ialah untuk menggubal Akta Kawalan Produk Tembakau dan Rokok yang baharu.
Diharapkan agar Ahli Parlimen bertindak bijak dan membincangkan keseluruhan Akta ini dan bukan sahaja GEG. GEG adalah langkah yang baik dan jika perlu pisahkan sahaja daripada Akta yang ingin dibentangkan.
Kaji sedalam-dalamnya dan pastikan segala butiran dan kajian dilakukan sebaik mungkin untuk memastikan satu Akta Kawalan Tembakau yang mendepani zaman dapat dizahirkan. Jangan terburu-buru dan tergesa-gesa menggubal Akta separuh masak yang hanya akan di U-turn apabila berlaku perubahan dalam pasaran dan industri di masa akan datang. Jangan hanya fikir untuk jadi hero di dalam dewan dan tersilap langkah kerana salah mentafsir sentimen rakyat.
Mengharamkan sesuatu adalah jalan mudah untuk memperkenalkan sesuatu undang-undang. Saya melihat ini juga merupakan pengakuan terbuka bahawa Kerajaan sudah gagal dalam kempen menentang rokok sebelum ini dan seolah-olah telah “give-up” untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik rakyat untuk mengurangkan gejala ini di masa hadapan.
Ir. Hj. Hamid Shukri
Pembaca Agenda Daily berasal dari Semenyih, Selangor
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.