Bagaimana masa depan graduan?

1. Tadi saya di majlis konvokesyen sebuah universiti. Ramai graduan bergambar dengan jubah masing-masing, mengambil kenangan tempat mereka belajar sebelum menempuh fasa lain dalam kehidupan.

2. Saya tertanya, senangkah mereka selepas ini? Apakah mereka akan mempunyai pekerjaan? Sedih mengenangkan hal ini kerana data menunjukkan masih ramai graduan yang menganggur. Peluang pekerjaan tidak banyak untuk mereka, tetapi yang pastinya hutang PTPTN menanti mereka.

3. Jika mengikut laporan Ketua Perangkawan Malaysia, majoriti graduan memasuki pasaran pekerjaan pada tahun 2020 menerima anggaran gaji antara RM1,001 hingga RM1,500 sebulan berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 pada tahun 2019.

4. Murahnya gaji graduan ini. Jika RM1000 sahaja gajinya, maka ini lebih rendah dari gaji minimum yang ditetapkan kerajaan dan sama jumlahnya dengan gaji pertama yang saya terima 36 tahun lalu.

5. Semalam Menteri Ekonomi menyatakan keadaan ini akan pulih dalam tiga hingga bulan lagi. Bagaimana akan pulih tidak pula dinyatakan? Maka, saya kasihan melihat harapan para graduan yang berjubah tadi. Masa depan mereka masih lagi tidak pasti.

6. Biarpun berkelulusan, hidup mereka susah, apatah lagi yang tinggal di bandar. Jika melihat kepada graduan sebelum ini, ada yang bekerja dengan syarikat penghantar barang, Grab, Food Panda, e-hailing dan berjualan secara online. Bagi yang bekerja kerajaan pula, khidmat mereka adalah secara kontrak sahaja yang belum tahu bilakah waktunya akan diserapkan secara tetap.

7. Bank Negara Malaysia menyatakan gaji layak untuk individu bujang yang tinggal di Kuala Lumpur ialah sebanyak RM2700. Data ini adalah untuk tahun 2016 dan saya tidak pula berusaha untuk dapatkan data terkini. Bayangkan gaji layak untuk tahun 2021? Tentunya lebih tinggi lagi.

8. Pertanyaannya, berapa ramai anak muda yang tinggal di Kuala Lumpur menerima pendapatan melebihi RM2700? Tentunya tidak ramai. Jika diandaikan gaji graduan muda ini hanya RM2000 dan tinggal di Kuala Lumpur, setelah ditolak biaya makan, sewa rumah dan pengangkutan, berapakah lagi bakinya yang ada? Masih adakah baki untuk menabung bagi simpanan untuk kahwin dan hantar kepada orang tua di kampung? Pendek kata, susahnya kehidupan mereka.

9. Apakah yang telah kerajaan buat untuk mengatasi masalah ini? Jika telah ada, alangkah bagusnya jika perancangan kerajaan ini diumumkan. Pengumuman itu janganlah sekadar ucapan politik sahaja, tetapi mestilah disertakan dengan maklumat dan data yang tepat serta pernyataan polisi yang jelas supaya graduan ini berasakan mereka ada harapan.

10. Saya fikir melakukan hal-hal sebegini adalah lebih baik daripada bercakap tentang lompat masuk parti dan penjajaran baharu. Kerajaan jagalah ‘kuasa’ itu, tetapi pada masa yang sama jangan lupa menjaga kesejahteraan hidup graduan muda yang mula resah dengan masa depan mereka ini.

11. Melalui tempat konvokesyen tadi, ia betul-betul menginsafkan. Saya dapat merasakan graduan berjubah tadi masih terkapai-kapai mencari jawapan kepada masa depan kehidupan mereka.

Prof Mohammad Agus Yusoff
Penganalisis dan pemerhati politik