Awasi golongan munafik

Diceritakan, dahulu adanya golongan munafiq yang berusaha untuk melambatkan perjalanan tentera Islam ke Tabuk dengan cara mendirikan masjid yang cantik lagi indah bagi menggoda Rasulullah SAW supaya datang meraikan mereka di masjid itu.

Mereka ini diketuai oleh seorang yang bernama Abu ‘Amir al-Rahib yang merancang untuk mengagalkan usaha Islam dengan pergi menemui musuh untuk menyerang Madinah.

Allah SWT mendedahkan tujuan golongan munafiqin bahawa mereka mendirikan masjid bukan kerana Allah SWT.

Sebaliknya, mereka bertujuan jahat menipu kaum Muslimin sehingga menjadikan mereka berpecah belah yang boleh membawa kemudaratan.

Pada masa yang sama, masjid itu menjadi markas pengintipan untuk musuh-musuh Islam, di samping memberikan peluang kepada mereka untuk menyerang Islam dan penganutnya yang bertapak di dalam negara Islam Madinah.

Pemimpin golongan munafiq yang bernama Abu ‘Amir al-Rahib mengarahkan pengikutnya supaya mendirikan masjid dan bersedia dengan senjata, seterusnya dia akan menjemput bala tentera Rom untuk datang menyerang Madinah dan menghalau orang-orang Islam keluar darinya.

Akhirnya, Rasulullah SAW menggelarkannya dengan panggilan Abu ‘Amir al-Fasiq. Serentak dengan itu, Baginda mengarahkan dua orang sahabat RA supaya segera bertindak memusnahkan masjid yang bergelar sebagai ‘Masjid Dhirar’ itu.

Mukjizat al-Quran yang berterusan hingga Hari Kiamat mengingatkan umat Islam bahawa ‘projek Dhirar’ hakikatnya berterusan sehingga hari ini dengan berbagai-bagai cara. Ini bertujuan untuk menipu dengan menggunakan kerja pada zahirnya Islam, tetapi matlamatnya menentang Islam.

Benarlah ucapan Amir al-Mu’minin ‘Ali KW:

“Kalimah yang benar namun bertujuan kebatilan.”

Akhirnya, Allah SWT menggagalkan perancangan jahat munafiqin bersama kegagalan tentera Rom Timur untuk menghapuskan Islam.