Pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang telah memberikan kebenaran kepada pelajar IPT untuk pulang beraya di kampung halaman merupakan satu berita gembira kepada semua masyarakat kampus di Malaysia.
Sesuai dengan ‘mood’ raya yang penuh dengan kemeriahan dan kegembiraan, begitulah perasaan mahasiswa sekarang ini.
Hampir keseluruhan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini telah memulakan semester baharu pada awal Mac tempoh hari dan perlu mengehadkan pergerakan mereka hanya di dalam kampus di samping mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.
Sepanjang tempoh tersebut mahasiswa telah patuh dengan baik segala arahan dan meneruskan pembelajaran dengan selamat di kampus masing-masing.
Setelah pengumuman kebenaran pulang beraya diumumkan oleh pihak KPT, tentunya gembira mendengar berita yang baik ini. Keluarga yang menunggu di rumah juga pasti ternanti-nanti hari kepulangan anak-anak mereka.
Namun, Syawal tahun ini tidak berbeza dengan tahun sebelumnya kerana rakyat Malaysia perlu menyambut lebaran dengan penuh kesederhanaan dan kepatuhan kepada SOP. Jangan sampai PDRM pula yang ‘beraya’ di rumah kita.
Mahasiswa juga diseru untuk kekal tenang dan menjaga diri selama menunggu tarikh pulang ke kampung halaman yang telah dijadualkan. Elakkan tempat sesak dan sempit bagi memastikan diri tidak menjadi pembawa ke kampung halaman masing-masing.
Patuh pada pengarahan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal 1 meter. Ingat akan ibu ayah kita yang berada di kampung halaman.
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak KPT yang sentiasa prihatin terhadap mahasiswa dan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik buat semua masyarakat kampus.
Mahasiswa juga sekali lagi dinasihatkan untuk menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan patuhlah pada semua arahan dan SOP yang telah ditetapkan.
Nur Adila Bt Ramli
Timbalan Pengerusi 3 Majlis Politik Nasional GAMIS