Kegagalan untuk membina kepercayaan pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula dari saat Idris Haron dan Noor Azman Hassan diterima oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai calon. Mana pergi prinsip menolak katak politik?
Anwar Ibrahim ibarat halalkan apa cara sekalipun jika menguntungkan. Beza sangatkah dengan kritikan dilontar kepada PAS setiap kali Hadi Awang dan Ibrahim Man bila mempertahankan salahlaku oleh kerajaan?
Tidak dapat dinafikan peratusan pengundi lebih rendah dari PRU-14 dan PRN Sabah menjadi faktor. Tetapi bukan alasan bagi Anwar kerana gagal memimpin parti dan gabungan pembangkang.
Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar yang gagal di Paya Rumput juga satu mesej jelas Anwar ditolak rakyat. Ramai tertanya-tanya dimanakah skuad pelapis PKR?
Adakah calon-calon bertanding terdiri daripada ahli politik berpengalaman atau berkemampuan? Jika PRN Sabah dahulu ramai pemimpin PKR turun berkempen, mana pergi Nurul Izzah dan Rafizi Ramli di Melaka? Adakah mereka memboikot kerana tidak bersetuju dengan keputusan Anwar mengambil katak politik?
Peratusan pengundi rendah sudah boleh diagak tetapi mengapa pembangkang tidak utamakan usaha meyakinkan ahli sendiri pergi mengundi?
Anwar sedang hadapi krisis kepercayaan dalam PKR dan PH saat ini. Sudah masa untuk tegas dalam hala tuju politik agar rakyat diberi pilihan di PRU-15.
Ramai berkata Tsunami undi Melayu memenangkan Umno di Melaka. PH tidak akan menjadi pilihan pengundi Melayu selagi DAP bersama mereka. Anwar perlu berbincang semula dengan pemimpin PKR sebelum dicabar oleh orang-orang kanan dalam parti.
Ismai Hasnan
Pengundi Melaka
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.