Antara ekonomi, mak datin kena Covid dan menarik rambut dalam tepung

Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Kita tahu kesukaran kerajaan untuk membuat apa sahaja keputusan berkait orang ramai tatkala berdepan pandemik Covid-19 yang semakin menular bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia sekarang ini.

Negara-negara jiran kita seperti Indonesia, Thailand dan Singapura juga tidak lepas daripada mengalami situasi sama seperti Malaysia, malah Indonesia kini paling teruk hingga diletakkan sebagai negara ‘paling panas wabak Covid-19’ bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di Asia.

Melihat situasi dalam negara, perkembangan mutakhir agak membimbangkan dengan kes harian paling tinggi direkodkan adalah pada Khamis lalu iaitu sebanyak 13,215 jangkitan, sementara sehari kemudian 12,541 kes dicatat, berbanding 4,244 kes pada 23 Jun. Tidak sampai sebulan kes melonjak hampir dua kali ganda.

Data dan statistik tidak kira rendah atau tinggi kes baharu atau kematian yang disuapkan kepada orang ramai setiap hari, bukan bertujuan menunjukkan kerajaan gagal menangani pandemik. Tetapi, angka-angka yang dinyatakan itu adalah sebagai peringatan kepada kita semua supaya sentiasa mematuhi protokol kesihatan.

Salah sendiri jika dijangkiti kerana tidak patuh kepada peraturan dan nasihat diberikan. Jangan pula tuding jari kepada kerajaan jika keluarga kita dijangkiti, sedang pada masa sama kita gagal mengikut arahan.

Kerajaan tidak menghalang rakyat mencari rezeki, malah kita melihat rakyat Malaysia mampu melakukan apa sahaja untuk mempertahankan ekonomi keluarga. Cuma patuhi peraturan.

Kita lihat, jurutera, juruterbang, pramugari dan banyak lagi yang hilang kerja akibat Covid-19, sebaliknya mampu berdikari membuka bisnes kecil-kecilan – tidak terlalu bergantung kepada kerajaan walaupun ada bantuan diberikan. Tahniah kepada mereka kerana menjarakkan diri daripada digelar ‘masyarakat subsidi’.

Jangan pula menjadi seperti sesetengah pihak, menangis dalam Facebook meminta kerajaan mengambil tindakan lebih tegas menutup sepenuhnya perniagaan kerana keluarganya dijangkiti Covid-19. Seolah-olah kerajaan lah yang bersalah. Rakan-rakan Facebook pula mengiakan.

Tiada yang bertanya ‘bagaimana datin dan keluarga boleh dijangkiti?’ Ada keluar ke mana-mana? Atau ada tak anjur atau hadir sesuatu majlis? Bukan kita hendak cari salah sesiapa, tapi lihat lah juga beberapa hari sebelum dijangkiti, apa yang ‘mak datin’ itu lakukan bersama keluarganya. Adakah mereka mengikut protokol kesihatan walaupun menganjurkan majlis perpisahan buat pembantu rumah dan di rumah sendiri?

Itu cerita ‘mak datin’ yang desak tindakan menutup perniagaan dilakukan secara lebih meluas lagi. Tapi ada pula usahawan kecil-kecilan meminta kerajaan membenarkan mereka beroperasi. Dua kumpulan masyarakat yang membuatkan kerajaan terpaksa berhati-hati ‘menarik rambut dalam tepung’.

Pun begitu kita juga kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang langsung tidak membantu sebaliknya hanya mencari salah kerajaan, sedangkan tidak ada mana-mana kerajaan di dunia ini yang mahu melihat hidup rakyatnya susah, atau membiarkan mereka mati kelaparan.

Hanya mereka yang membaca dan boleh berfikir sahaja memahami situasi semasa di mana kerajaan menjalankan pelbagai usaha bagi menangani wabak Covid-19.

Tetapi bagi pendendam politik dan mencari untung diri, mereka ini sengaja mencetuskan sentimen kebencian terhadap kerajaan dengan alasan gagal menangani Covid-19. Cuba tunjukkan kerajaan mana sekarang yang sudah berjaya membebaskan negara mereka daripada wabak berbahaya ini?

Seperkara lagi yang kita lihat adalah rancangan kerajaan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Terus terang kita berpendapat belum tiba masanya masyarakat yang melengkapkan dua dos suntikan mendapat imuniti bagai diplomat untuk bergerak merentas daerah atau negeri. Vaksin bukan menjadikan seseorang itu kebal terhadap Covid-19, apa lagi munculnya varian Delta yang paling pantas dan mudah berjangkit.

Kita menolak rancangan ini berdasarkan apa yang dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam. Beliau memberikan pecahan kategori-kategori kes yang dilaporkan pada Jumaat sebanyak 12,541 jangkitan.

Beliau berkata daripada jumlah jangkitan pada Jumaat, 6,504 kes atau 51.9 peratus membabitkan Kategori 1 iaitu tidak bergejala, Kategori 2 (gejala ringan – 5,848), Kategori 3 (radang paru-paru – 86), Kategori 4 (radang paru-paru memerlukan oksigen – 49), dan Kategori 5 (kritikal dan bantuan alat pernafasan – 54 kes).

Perhatikan kepada Kategori 1. Lebih separuh daripada kes positif pada hari berkenaan adalah individu yang tidak bergejala. Dan kita percaya kumpulan ini dikesan menerusi saringan bersasar di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Jika tidak dibuat saringan sudah tentu kumpulan ini tidak tahu bahawa dalam badan mereka mempunyai virus Covid-19 dan mereka sebenarnya adalah pembawa.

Bermakna, kumpulan daripada Kategori 1 ini berselerak di dalam masyarakat, tanpa mereka sendiri dan masyarakat sekelilingnya mengetahui bahawa virus Covid-19 turut bersama ketika mereka bertemu di mana sahaja.

Sebab itu penerima dua dos suntikan vaksin tidak boleh diberi kelonggaran, terutama untuk merentas daerah atau negeri, khususnya menjelang sambutan Aidil Adha minggu depan, kerana kumpulan Kategori 1 itu berselerak di mana-mana.

Pada masa sama, kita berpendapat dalam kerajaan hendak membuat sebarang keputusan berkait dengan orang ramai biarlah bagai ‘menarik rambut dari dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak’.

Tok Akhi
Pemerhati politik kampung

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.