Angkara Selangor, negeri lain sengsara!

Kes jangkitan Covid-19 negara masih lagi turun naik sejak sebulan ini. Ada hari grafnya menurun, ada hari angka bilangannya menaik walaupun tidak mencanak seperti beberapa bulan lalu.

Beberapa buah negeri mula menunjukkan penurunan mendadak sehingga kepada angka sifar seperti Perlis.

Kelantan, Terengganu, Perak dan Putrajaya pula mencatat dua angka manakala negeri-negeri lain mencatatkan tiga angka jangkitan.

Selangor pula sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sentiasa menduduki carta pertama kes paling tinggi di negara ini. Sejak beberapa minggu ni kes jangkitan harian di negeri itu berada pada paras 1,000 kes dan mula melepasi angka 2,000 sehari dua ini.

Peningkatan kes di negeri berkenaan berpunca daripada kluster tempat kerja terutama di kilang.

Penurunan bilangan kes di negeri-negeri lain membuktikan prosedur operasi standard (SOP) terutama berkaitan larangan rentas daerah dan rentas negeri yang dikuatkuasakan sejak sebulan lalu sangat berkesan.

Kes jangkitan yang tinggi di Selangor menjadi penyumbang kepada jumlah kes kumulatif di seluruh negara melebihi 5,000 kes. Keadaan ini menyebabkan Fasa 1 Perintah Kawalan di bawah Pelan Pemulihan Negara disambung lagi sedangkan di kebanyakan negeri lain kes-kes jangkitan sudah menurun dengan ketara sekali.

Keadaan ini menyebabkan ada cadangan daripada beberapa pihak agar pelan pemulihan dilaksanakan mengikut keadaan di sesebuah negeri berdasarkan kepada nilai ambang yang berlainan, kes harian dan jumlah yang sudah menerima vaksin.

Sebilangan negeri yang mencatat kes jangkitan satu, dua dan tiga angka sudah bersedia untuk beralih ke fasa seterusnya dalam pelan pemulihan. Bagaimanapun hasrat tersebut terbantut hanya kerana kes di Selangor masih tidak turun-turun.

Melihat kepada tahap `geger bagai nak rak’ kerajaan negeri Selangor dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang akur dan patuh kepada apa sahaja keputusan kerajaan dalam menangani isu pandemik Covid-19, sedikit pun tidak logik kes jangkitan di negeri itu tidak dapat dikurangkan.

Dalam berhadapan dengan isu pandemik ini, kerajaan negeri Selangor `gah’ dan berbangga kerana kononnya mempunyai segala jenis pakar perubatan termasuk bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Tahun lalu kerajaan negeri Selangor mengumumkan penubuhan Pasukan Tindakan Khas Covid-19 yang diketuai oleh Dr. Dzulkefly sendiri dan dianggotai oleh pakar-pakar kesihatan hebat seperti Dr. Siti Mariah Mahmud, Datuk Dr. Christopher Lee Kwok Choong, Datuk Dr. Prof. Adeeba Kamarulzaman, Datuk Dr. Fadzilah Kamaludin, Prof. Dr. Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dr. Yap Wei Aun.

Selangor juga memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi berhadapan dengan pandemik ini seperti peruntukan kewangan khas bernilai RM555 juta, ujian saringan Covid-19 percuma serta Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) untuk mempercepatkan sasaran imuniti kelompok dalam kalangan penduduk negeri tersebut.

Beberapa pakar kesihatan `hebat’ lantikan kerajaan negeri ini pula tidak habis-habis mengkritik dan menyerang kerajaan yang dituduh gagal menangani pandemik Covid-19, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) lembab serta pelbagai lagi.

Bagaimanapun di sebalik segala kehebatan pakar dan `persiapan rapi’, kes jangkitan di negeri tersebut tidak juga turun-turun. Angka jangkitan naik dan terus naik melebihi 2,000 kes. Beberapa hari ini kes di negeri tersebut semakin membimbangkan. Kes-kes pandemik di Selangor seolah-olah seperti tidak terkawal.

“Justeru apa yang pakar-pakar kesihatan lantikan kerajaan negeri ini buat?”

Di sesetengah kawasan di negeri lain, jika kes jangkitan naik mendadak, kawasan terlibat sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Bagaimanapun keadaan ini tidak berlaku di Selangor.

Kenapa tidak turut dikuatkuasakan? Benarkan dakwaan mengatakan kerajaan negeri sendiri tidak bersetuju PKPD dikuatkuasakan kerana bimbang boleh menjejaskan ekonomi negeri tersebut?

Sudahlah `degil’, kerajaan negeri Selangor juga tidak mahu mengaku salah dan tidak habis-habis membuat tuduhan semberono ke atas kerajaan Pusat dalam isu pemberian vaksin di negeri tersebut.

Baru-baru ini Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud mendakwa beberapa Pusat Pemberian Vaksin di negeri tersebut akan kehabisan bekalan vaksin dalam tempoh beberapa hari lagi dan aktiviti pemberian vaksin terpaksa dihentikan sekiranya tidak menerima bekalan baharu.

Bagaimanapun dakwaan itu tidak benar apabila Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Prof. Madya Dr. Mohd. Ghows Mohd. Azzam menjelaskan Selangor mempunyai kira-kira 339,000 dos vaksin dan mampu bertahan.

Dengan kadar penggunaan sebanyak 40,000 dos sehari, bekalan cukup untuk seminggu. Bekalan tersebut juga akan ditambah dari semasa ke semasa melalui penghantaran yang sudah dijadualkan pada 28, 29, 30 Jun dan 1, 2, 3 dan 4 Julai. Terbaharu timbul pula satu dakwaan kononnya kerajaan negeri mula menjual vaksin kepada orang ramai dan kilang-kilang atas alasan mahu mempercepatkan pemberian vaksin kepada penduduk negeri itu.

Rakyat di negeri lain terpaksa menanggung akibat yang sangat besar angkara negeri Selangor. Fasa 1 Perintah Kawalan Pelan Pemulihan Negara sepatutnya sudah beralih kepada Fasa 2 tergendala. Apabila bersambung lagi, bermakna rakyat negeri lain terpaksa akur dengan segala larangan dan SOP yang telah dikuatkuasakan.

Kehidupan seharian mereka, aktiviti sosial dan ekonomi tidak dapat dijalankan seperti biasa walaupun kes jangkitan sudah banyak berkurangan. Semuanya hanya kerana disebabkan kes di Selangor tidak turun-turun.

Justeru adilkah jika negeri-negeri lain yang taat dan mematuhi segala SOP sehingga berjaya melandaikan lengkung jangkitan pandemik ini terus dihukum dengan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh hanya kerana Selangor yang kesnya tidak turun-turun? Adilkah?

Oleh : Che Man Che Wil
Pembaca Agenda Daily yang sentiasa mengikut isu semasa dalam negara berkaitan sosial, politik dan isu-isu am.